30 MP UMNO Disiasat Polis

Berita dari dalam UMNO menyatakan seramai 30 orang ahli parlimen UMNO telah dipanggil polis untuk disoalsiasat. Tujuan siasatan ini ialah untuk menilai kesetiaan mereka kepada Mahathir dan mencari salahlaku mereka. Dengan ini mereka akan diingatkan supaya berhati-hati dan tidak menyeberang ke parti lawan. Ahli-ahli parlimen ini akan digertak secara halus.

Langkah ini menggambarkan betapa terdesaknya Mahathir ketika ini. Dia telah mula meragui kesetiaan pemimpin-pemimpin partinya. Malahan, menurut sumber dari kalangan UMNO Kedah, Mahathir mungkin akan terpaksa menggantikan sehingga 2/3 dari ahli parlimen yang ada sekarang ini kerana kesetiaan mereka kepadanya tidak terjamin. Bagi mereka yang jelas bersimpati dengan DSAI, Mahathir akan sengaja meletak mereka sebagai calun di kerusi-kerusi yang sukar dipertahankan. Ini termasuklah mereka seperti Zahid Hamidi, Ibrahim Saad, Affifuddin Omar, Mokhtaruddin, Abu Zahar Ujang, Muhiyuddin Yasin, Nung Sari, Husni Hanazlah dan Ruhani Ahmad. Malahan sebahagian dari mereka, seperti Nung Sari dan Husni mungkini
tidak akan dicalunkan langsung. Kerusi-kerusi yang Mahathir rasakan selamat akan diberikan kepada orang-orang kuatnya seperti Daim Zainuddin, Ibrahim Ali, Badaruddin, Megat Junid,  Sanusi Junid dan anaknya sendiri Mokhzani.

Menurut sumber dari Kedah ini orang-orang yang kurang penting akan dibiarkan di kerusi mereka kini dan dibiarkan berikhtiar sendiri bagaimana mempertahankannya. Golongan ini termasuklah Abdul Hamid Othman, Rafidah Aziz, Abdullah Badawi, Ghaffar Baba, Siti Zaharah, Suleiman Mohd,  Annuar Musa dan Sharizat Jalil.

Masalah yang menghantui Mahathir kini ialah menentukan kerusi manakah benar-benar selamat. Dia sendiri tidak pasti dapat mempertahankan kerusinya di Kubang Pasu. Teknik-teknik penipuan yang akan digunakannya mungkin sukar digunakan di semua kerusi. Oleh itu, ia akan ditumpukan untuk menyelamatkan kerusinya dan  orang-orang kuatnya.

Maklumat yang diperolehi juga menunjukkan sehingga 60 orang ahli parlimen UMNO akan dipanggil polis. Nampaknya peranan polis bukan lagi menjaga ketenteraman negara. Sebaliknya, mentidaktenteramkan semua orang, termasuklah pemimpin-pemimpin UMNO.

Ibn Fansuri