KENYATAAN AKHBAR

Taktik Keji Dr. Mahathir Mohamed
Di Dalam Perhimpunan Agung UMNO 1999

Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 1999 baru-baru ini, jelas menunjukkan sikapnya yang desperado dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mengembalikan keyakinan rakyat, khususnya ahli UMNO terhadapnya.

Di dalam ucapan dasar Presiden pada hari Jumaat 18hb. Jun  yang lalu, Dr. Mahathir telah menyatakan bahawa, Dato’ Seri Anwar bersekongkol dengan kuasa asing untuk menjatuhkan beliau dan mengambil kesempatan dengan keadaan ekonomi yang gawat untuk menjatuhkan beliau. Dr. Mahathir cuba meyakinkan rakyat dengan menyebut beberapa dasar yang dilakukan oleh Dato’ Seri Anwar yang kononnya sengaja menjurus kepada keadaan ekonomi yang lebih gawat. Dr. Mahathir juga menyebut agensi antarabangsa, khususnya IMF dan cuba mengaitkan agenda Dato’ Seri Anwar untuk menjatuhkannya dengan dasar agensi antarabangsa tersebut. Dr. Mahathir juga cuba memperkukuhkan dakwaan beliau dengan kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Kuala Terengganu selepas beliau dipecat, di mana di dalam ucapan beliau keapada masyarakat Terengganu, beliau telah mengaku menyuruh Dato’ Zahid Hamidi, Ketua Pemuda UMNO, untuk menimbulkan isu kronisma, nepotisma dan rasuah yang berleluasa di dalam kerajaan. Kenyataan Dato’ Seri Anwar itu, digunakan oleh Dr. Mahathir di dalam ucapan dasarnya Jumaat lalu untuk membuktikan bahawa Dato’ Seri Anwar memang mempunyai agenda untuk menjatuhkan beliau. Dengan itu nampak sempurna dan meyakinkan hujah Dr. Mahathir bahawa Anwar memang mempunyai agenda menjatuhkan beliau dan menggunakan kesempatan dengan keadaan ekonomi gawat untuk mencapai cita-citanya menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

Dr. Mahathir sebenarnya telah berbohong kepada perwakilan UMNO dan rakyat Malaysia. Beliau telah menggunakan kesempatan dan ruang sebagai Presiden UMNO,  menipu di dalam ucapan dasar Presiden untuk menyelamatkan dirinya yang semakin dikritik dan dicerca oleh rakyat.

Dato’ Seri Anwar tidak pernah mempunyai agenda untuk menjatuhkan Dr. Mahathir. Apa yang berlaku ialah bagaimana seorang Perdana Menteri/Presiden UMNO terlalu takut kepada pengaruh timbalannya yang cukup meluas di kalangan rakyat serta ahli UMNO dan sentiasa mahu mempastikan timbalannya itu tidak akan menentangnya. Ketakutan seorang Perdana Menteri tua ini menjadi-jadi sebaik sahaja seorang lagi diktator tua, Presiden Suharto tumbang di Indonesia pada bulan Mei 1998. Semenjak dari tarikh itu, hampir setiap kali Dato’ Seri Anwar menemuinya di pejabat setiap pagi, Dr. Mahathir akan meminta Dato’ Seri Anwar mempastikan bahawa Dato’ Seri Anwar tidak akan menentangnya. Masih segar di ingatan saya, sebagai seorang setiausaha politik, mendengar Dato’ Seri Anwar sentiasa merungut kerana Dato’ Seri Dr. Mahathir terlalu takut dengan kemungkinan ditentang dan dalam setiap pertemuan Dr. Mahathir akan membawa perbincangan kepada soal Pemilihan UMNO 1999 dan setelah itu meminta Dato’ Seri Anwar bersumpah untuk tidak menentangnya. Hal ini berlaku bukan sekali, tetapi hampir setiap hari setelah Suharto tumbang di Indonesia. Saya sendiri pernah dimarahi dan diberi amaran diberhentikan 24 jam oleh Dato’ Seri Anwar sekiranya betul dakwaan yang dibuat oleh sesetengah pihak yang disampaikan kepada Dr. Mahathir bahawa saya mula mengatur strategi untuk Dato’ Seri Anwar menentang Dr. Mahathir di dalam Pemilihan UMNO 1999.

Rupa-rupanya saya ditegur oleh Dato’ Seri Anwar kerana Dr. Mahathir sendiri membawa cerita ini dan menggunakan cerita ini untuk terus menekan Dato’ Seri Anwar untuk terus bersumpah tidak akan menetang beliau. Dr. Mahathir takut dengan kegawatan ekonomi bukan kerana dia takut rakyat melarat tetapi kegawatan ekonomi telah menyebabkan seorang diktator selama 32 tahun tumbang di Indonesia!

Dato’ Seri Anwar tidak pernah mengambil kesempatan kegawatan ekonomi untuk menjatuhkan Dr. Mahathir. Malah, pengaruh beliau sudah cukup kuat sejak beberapa tahun sebelum itupun untuk menentang dan menewaskan Dr. Mahathir sekiranya beliau mahu. Maknanya beliau tidak perlu tunggu ekonomi gawat untuk menjatuhkan Dr. Mahathir. Tetapi Dato’ Seri Anwar memang seorang yang setia kepada Dr. Mahathir. Walaupun beliau mengakui sering berbeza pendapat dengan Dr. Mahathir, namun untuk menentangnya jauh sekali kerana beliau menganggap Dr. Mahathir sebagai bapanya dan beliau tidak mahu UMNO berpecah sekiranya pertandingan antara beliau dan Dr. Mahathir berlaku.

Ingin saya tegaskan di sini sekali lagi bahawa Dato’ Seri Anwar dipecat bukan kerana bersekongkol dengan kuasa asing dan bukan juga kerana kononnya salahlaku moral Dato’ Seri Anwar tetapi semata-mata kerana Dr. Mahathir takut serta gentar beliau akan ditentang oleh Dato’ Seri Anwar dan peristiwa kejatuhan Suharto di Indonesia benar-benar menghantui diktator tua ini.

Dalam masa yang sama, kuncu-kuncunya yang tidak senang dengan Dato’ Seri Anwar disebabkan kepentingan politik dan ekonomi mereka akan tergugat oleh ketegasan Dato’ Seri Anwar menentang penyelewengan kuasa, rasuah dan salahlaku seks yang begitu berleluasa di kalangan mereka. Untuk itu, mereka terus memperkuatkan strategi dan hujah mereka untuk meyakinkan Dr. Mahathir bahawa Dato’ Seri Anwar memang telah melakukan persiapan rapi untuk menentangnya sebagai Presiden UMNO menjelang  pemilihan UMNO 1999.

Pengakuan Annuar Musa semasa berucap di Perhimpunan Agung UMNO membuktikan bagaimana mereka telah lama mencuba melaga-lagakan Dato’ Seri Anwar dan Dr. Mahathir. Annuar Musa pula hanya merupakan tokoh kecil jika dibandingkan dengan Tun Daim, Tun Ghafar, Rahim Tamby Chik, Megat Junid dan Aziz Shamsudin yang lebih lengkap perancangan serta persiapan jahat mereka menjatuhkan Dato’ Seri Anwar. Mereka memberi jawapan kepada keresahan seorang diktator tua dalam usaha mencari jalan untuk terus berkuasa.

Diktator tua yang rakus kuasa dan kuncu-kuncunya tadi yang memang berdendam dengan Dato’ Seri Anwar telah berjaya melengkapkan satu konspirasi menjatuhkan seorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat.

Sehari selepas ucapan dasar Presiden, Kementerian Kewangan mengeluarkan senarai apa yang dikatakan senarai projek penswastaan yang telah diberikan kepada syarikat-syarikat swasta dan tawaran saham yang diagihkan kepada syarikat-syarikat bumiputera dalam tempoh Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan. Ini merupakan satu lagi tipu helah Dr. Mahathir untuk mengaburi mata rakyat khususnya perwakilan UMNO kerana :

Pertama : Semua permohonan dan cadangan bagi projek pengswastaan oleh syarikat-syarikat swasta dibuat di bawah satu unit yang dikenali sebagai Unit Perancang Ekononmi (EPU), Jabatan Perdan Menteri, yang terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri bukannya Menteri Kewangan.

Kedua : Senarai projek pengswastaan yang disenaraikan adalah tidak lengkap. Tidak semua ahli lembaga Pengarah syarikat yang diberikan sesuatu projek penswastaan disenaraikan. Hanya ahli lembaga Pengarah yang diketahui rapat dengan Dato’ Seri Anwar didedahkan dan hampir semua mereka adalah pemegang saham minoriti. Pemegang saham majoriti yang merupakan kroni Dr. Mahathir seperti Tan Sri Vincent Tan yang menjadi pemegang saham terbesar di dalam sekurang-kurangnya dua syarikat yang disenaraikan tersebut dengan jumlah hampir RM20 billion tidak disenaraikan langsung. Malah, umum mengetahui syarikat tersebut diberi projek pengswastaan kerana Tan Sri Vincent Tan adalah pemegang saham utamanya dengan perhatian dan kelulusan terus dari Perdan Menteri sendiri.

Ketiga : Walaupun ada bebarapa rakan Dato’ Seri Anwar terlibat dengan syarikat yang mendapat projek penswastaan tersebut (walaupun jumlah saham mereka amat kecil dibandingkan dengan yang lain). Dato’ Seri Anwar tidak terlibat langsung dengan keputusan tersebut kerana Unit Perancang Ekonomi adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri bukan Menteri Kewangan.

Keempat : Senarai syarikat-syarikat yang mendapat saham juga adalah satu penipuan kerana pengagihan saham-saham tersebut dibuat oleh kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan bukannya Kementerian Kewangan. Kementerian Kewangan memang juga diperuntukkan kuasa untuk mengagihkan saham kepada syarikat-syarikat dan individu bumiputera tetapi hanya bagi badan-badan kerajaan yang diswastakan dan bukan bagi syarikat-syarikat swasta yang disenaraikan di BSKL. Malah sudah beberapa kali Dato’ Seri Anwar mencabar kerajaan untuk mengeluarkan senarai saham yang di agihkan oleh Kementerian Kewangan di bawah beliau dan juga semasa Tun Daim menjadi Menteri Kewangan supaya rakyat dapat melihat betapa Tun Daim telah menggunakan kuasa tersebut memperkayakan sebilangan kecil rakan-rakannya dengan jumlah berbilion ringgit sementara Dato’ Seri Anwar menggunakan kuasa itu mengagihkan hanya 10 lot (10 ribu unit) saham bagi setiap syarikat yang berdaftar di bawah Kementerian Kewangan tidak mengira darjat dan kedudukan. Sehingga hari ini senarai tersebut tidak dikeluarkan malah mereka telah menipu dengan mengeluarkan senarai lain yang di bawah bidang kuasa MITI.

Jelas sekali Dr. Mahathir dan kuncunya telah menggunakan Perhimpunan Agung dengan kerjasama RTM untuk menipu perwakilan UMNO dan seluruh rakyat Malaysia.

Kerana menyedari keadaannya yang semakin terhimpit dengan kutukan rakyat, Dr. Mahathir sanggup melemparkan dakwaan-dakwaan yang cukup serius khususnya tentang apa yang dikatakan campurtangan kuasa asing dan peranan Dato’ Seri Anwar dengan kuasa asing yang tentunya menarik perhatian rakyat dan mengalih pandangan rakyat daripada isu sebenar. Dakwaan pengkhianatan kepada negara apatah lagi seorang bekas pemimpin negara adalah perkara serius. Justeru itu, saya mencabar Dr. Mahathir menubuhkan satu Suruhanjaya Di Raja atau badan penyiasat bebas untuk menyiasat dakwaan ini dan membentangkan kepada Parlimen hasil siasatan mereka terhadap apa yang dikatakan campurtangan kuasa asing yang membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Sekiranya Dr. Mahathir masig berdalih dan tidak bersedia untuk siasatan menyeluruh diadakan, jelas sekali Dr. Mahathir adalah seorang penipu besar dan telah menggunakan Perhimpunan Agung UMNO dab media kerajaan untuk terus mempertahankan kuasanya semata-mata. Perbuatan memfitnah Dato’ Seri Anwar apatah lagi di dalam keadaan belau di dalam tahanan, adalah satu perbuatan yang menjijikkan yang dilakukan oleh seorang Presiden UMNO dengan menggunakan perhimpunan Agung UMNO. Wajarlah orang sepertinya merasa bahang yang amat sangat dengan sindiran tajam Profesor Shahnon Ahmad di dalam buku SHIT. Memanglah jelas sekarang Dr. Mahathir adalah Presiden UMNO ynag paling kotor dalam sejarah perjuangan UMNO dan yang lebih malang lagi beliau sanggup menjadikan Perhimpunan Agung UMNO, medan perjuangan dan kebangkitan bangsa Melayu sejak tahun 1946 sebagai perhimpunan yang menjijikkan hanya kerana mahu membersihkan namanya yang sudah jijik di mata rakyat Malaysia.

Mohamad Ezam Mohd. Nor
Ketua Pergerakan Pemuda
Parti KeADILan Nasional (KeADILan)

20hb. Jun 1999