KENYATAAN AKHBAR

Parti Keadilan Nasional (keADILan) yang dilancarkan dua bulan yang lalu, kini semakin mendapat sokongan rakyat pelbagai lapisan.  Perjuangan menegakkan keadilan dan membebaskan rakyat dari belenggu pemerintahan zalim dan kejam, semakin mantap dan diterima.

Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengumumkan kemasukan tiga orang tokoh yang kebetulan berasal dari negeri Perak ke dalam KeADILan.  Mereka ialah Senator Hamzah Mohd. Zain, Dr. Mohd. Nur Manuty dan Saudara Mustaffa Kamil Ayub.

Senator Hamzah, merupakan bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional bagi Parlimen Chenderoh.  Beliau juga merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Perak dan sehingga kemasukan beliau ke dalam KeADILan, beliau merupakan pemimpin dan tokoh UMNO bagi negeri ini.

Manakala Dr. Mohd. Nur Manuty, adalah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).  Beliau merupakan bekas Dekan Hal Ehwal Pelajar UIA dan juga bekas Presiden ABIM.

Saudara Mustaffa Kamil Ayub pula kini masih memegang jawatan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).  Beliau merupakan pemimpin mahasiswa yang dikenali ramai dan masih memegang jawatan sebagai Presiden Majlis Belia ASEAN.

Saya percaya, kemasukan mereka ke dalam KeADILan akan memantapkan lagi perjuangan KeADILan menegakkan keadilan sejagat. Kesediaan mereka menyertai KeADILan adalah langkah berani demi mendaulatkan keadilan di negara ini, walaupun akan berhadapan dengan pelbagai risiko.
 
 

“ Jangan Bicara Tentang Perjuangan, Jika Takut Pada Risiko “
 
 

Sekian, terima kasih.
 

DR. WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
25 Jun 1999