Make your own free website on Tripod.com
 
ABDULLAH HUSSAIN, 1996
 

Dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah. Dari tahun 1926-1931 beliau menerima pendidikan di Sekolah Melayu Sungai Limau hingga lulus Darjah V. Beliau menyambung pelajaran di Sekolah St. Michael Alor Setar (1932-1933) dan Anglo Chinese School, Alor Setar hingga lulus Darjah VII (1935).

Setelah menamatkan alam persekolahan, beliau menjawat pelbagai jawatan. Jawatan pertama yang beliau sandang ialah sebagai Penjaga Stor sebuah perusahaan lombong bijih di Pahang (1939). Setelah itu beliau mula menceburkan diri dalam bidang penerbitan dengan menjawat jawatan sebagai Pembantu Pengarang Akhbar Sabahat (1939), Pembantu Pengarang Akhbar Saudara (1940), Pengarang Majalah Puspa di Medan (1950). Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Polis daerah Langsa, Ketua Polis Pulau Sabang (1947).

Sekembalinya ke Singapura pada tahun 1951, beliau menjalankan pelbagai tugas seperti Kerani Syarikat Perkapalan, pemberita akhbar dan majalah Indonesia, Pengurus Syarikat Perfileman, Pengarang majalah hiburan dan filem, Pengurus firma import dan eksport, dan beberapa tugas lain membawanya ke Vietnam, Filipina dan Hong Kong. Beliau juga pernah berkhidmat di Oxford University Press (1 Januari 1961 - 31 Disember 1964), Franklin Book Programme (1965-1968),Dewan Bahasa dan Pustaka (1 Mac 1968-1979). Abdullah pernah menerima beberapa anugerah seperti S.E.A. Write Awards (1981), Pingat Jasa Hukom Ngon Adat Lembaga Adat Kebudayaan Aceh (LAKA) (1995), Anugerah Sastera Negara (1996) dan Darjah Dato' Setiau Diraja Kedah (DSDK) (1996).