PENGHAYATAN SASTERA STPM
Hikayat Amir Hamzah:  Pengangkat Semangat Juang Sastria Melayu
Oleh Hasan Baseri Budiman

SESUAI dengan sifatnya sebagai sastera yang berbentuk kepahlawanan (heroic literature), Hikayat Amir Hamzah yang termuat dalam Warna Sari Sastera Melayu Tradisional, telah digolongkan ke dalam sastera epik, yakni sastera yang mementingkan nilai-nilai kepahlawanan dan kewiraan unggul dengan watak utamanya mempunyai sifat keberanian, kegagahan dan kepintaran yang luar biasa, terutamanya dalam hal-hal yang bersangkutan dengan peperangan.

 Wira dalam konteks cerita-cerita epik ini biasanya terdiri daripada tokoh-tokoh legenda yang mempunyai peribadi mulia, penuh dengan sifat kemanusiaan yang murni, sambil sifat diri tokoh itu dilebih-lebihkan menjadi super human, dengan tujuan untuk menonjolkan sanjungan masyarakat terhadap tokoh berkenaan.  Tokoh tersebut selalunya dipandang sebagai sumber yang memancarkan cahaya yang dapat menerangi kegelapan masyarakat setempat.

 Dan ini jelas dapat dilihat kepada Amir Hamxah yang dianggap sebagai tokoh sastera epik daripada sumber Islam, yang secara umumnya telah berjaya menjadi sanjungan bukan sahaja di kalangan masyarakat Arab, tetapi juga sanjungan itu telah meresap sama ke dalam masyarakat Melayu sejak kedatangan Islam ke rantau ini lagi.  Kemasukan cerita-cerita bercorak kepahlawanan Islam ke alam Melayu, khasnya Hikayat Amir Hamzah  ini, sebenarnya mempunyai tujuannya yang tersendiri, iaitu untuk meninggikan semangat juang hulubalang-hulubalang Melaka ketika menentang Portugis seperti yang diceritakan dalam Sejarah Melayu.

Maka Tun Indera Segara pun masuk menghadap Sultan Ahmad.  Maka segala sembah orang itu semuanya dipersembahkannya kepada ke bawah duli Sutal Ahmad.  Maka oleh Sultan Ahmad dianugerahkan Hikayat Amir Hamzah.  Maka titah Sultan Ahmad pada Tun Indera Segara, "katakan kepada segala anak tuan-tuan itu, hendak pun kita anugerahkan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, takut tiada akan berani segala tuan-tuan itu seperti Muhammad Ali Hanafiah, hanya jikalau dapat seperti Amir Hamzah pun padalah, maka kita beri Hikayat Amir Hamzah.
      (Shellabearm 1978: 203)
 

 Sebagai sebuah hikayat bercorak Islam, Hikayat Amir Hamzah  lebih menekankan kepada kesejagatan agama Islam.  Hikayat ini telah berjaya menonjolkan agama Islam sebagai agama universal yang boleh dianuti oleh manusia di seluruh pelosok dunia tanpa mengira bangsa, kelas dan warna kulit.  Sesungguhnya agama Islam boleh menjadi pegagan setiap manusia sama ada raja mahupun hamba.  Dan di sinilah kesesuaian Islam itu untuk dijadikan pegangan (Abu Hasan Sham, 1993: 272).

 Hikayat Amir Hamzah yang didasarkan daripada kisah sebenar penghidupan bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w., Amir Hamzah ibnu Abdul Mutalib, adalah merupakan wira Islam yang telah berjuang bersama nabi untuk menegakkan syiar Islam di bumi Allah ini.  Bagaimana akhirnya beliau telah terkorban syahid dalam peperangan Uhud yang menyaksikan kekalahan tentera Islam kepada tentera musyrikin Quraisy.  Amir Hamzah merupakan tokoh pahlawan masyarakat Arab Quraisy daripada keturunan Bani Hashim dan anak kepada Khoja Abdul Mutalib, pemimpin masyarakat Quraisy ketika itu yang mempunyai anak lelaki seramai 12 orang, termasuk ayahanda Nabi Muhammad, Abdullah dan Abu Jahal yang menjadi penentang kepada Nabi Muhammad, sepanjang baginda menegakkan Islam di Mekah.

 Gambaran kehebatan dan keistimewaan Amir Hamzah sebenarnya sudah mula dikesan sejak beliau kecil lagi.  Seorang Menteri Raja Kobat Syah yang bernama Khoja Buzur Jumhur Hakim telah meramalkan akan kehebatan Amir Hamzah apabila beliau besar nanti, dengan berdasarkan kepada tanda tahi lalat hijau yang terletak di antara dua kening Amir Hamzah yang menurut Jumhur Hakim, itu adalah tanda keagungan daripada keturunan anak cucu Nabi Allah Ibrahim.  Jumhur Hakim yakin bahawa;
"… budak inilah yang membuka agama Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w., ialah yang empunya tujuh qiraat daripada al-Quraan dan ialah yang menghukum tujuh penjuru dunia dengan mengalahkan negeri-negeri yang besar …."
       (WSSMT, 1996: 223)

Kegagahan dan kepahlawanan Amir Hamzah sebenarnya sudah mula diserlahkan oleh pencerita ketika beliau berumur tujuh tahun lagi.  Dalam cerita Amir Hamzah Di Masa Kecil jelas telah digambarkan beberapa peristiwa aneh oleh pencerita terhadap kekuatan Amir Hamzah itu yang walaupun susah untuk diyakini, tetapi kerana ketokohan beliau sebagai pahlawan agung Islam, kemungkinan kekuatan seperti itu tetap berlaku atas kehendak Allah s.a.w.  Antara keistimewaan yang ditunjukkan itu termasuklah:
· kemampuan beliau mengalahkan seorang ahli gusti yang tiada tandingannya ketika itu, yang ternyata mempunyai sifat takbur yang amat tidak disenangi oleh Amir Hamzah.
· keadaan yang sama juga berlaku dalam satu pertandingan gusti yang lain ketika Amir Hamzah yang hadir pada mulanya sebagai penonton sahaja dalam pesta tersebut telah sanggup menyahut cabaran Pahlawan Tahir yang angkuh apabila beliau menyebut;  "Manalah pahlawan Kastan dan pahlawan Dustan, marilah sekarang melihat kekuatanku."
Walaupun masih kecil, kekuatan Amir Hamzah tidak berjaya ditandingi oleh keangkuhan Pahlawan Tahir itu.  Dan akhirnya Pahlawan Tahir mati di tangan Amir Hamzah setelah Amir Hamzah
menghempasnya ke bumi.
· kekuatan Amir Hamzah juga amat menakjubkan apabila beliau berjaya mencabut pokok kurma dengan akar-akarnya sekali.
· dan kerana kelahiran beliau adalah untuk menegak kemungkaran, Amir Hamzah dengan telah berani membakar sebuah rumah berhala yang selama ini menjadi tempat orang-orang kafir membuat kemungkaran.  Ini jelas seperti yang dinyatakan oleh Umar Umaiyah kepada Khoja Abdul Mutalib sebagai alasan supaya Amir Hamzah tidak dikenakan tindakan.
" … bahawa kerja yang dikerjakan oleh orang kafir itu bukannya kerja benar, itulah kerja salah … maka dengan sebab itulah berhala itu hamba bakar supaya jangan lagi disembah oleh sekalian orang banyak."

 Seperti yang dijelaskan sebelum ini, Hikayat Amir Hamzah adalah sastera epik yang membawa persoalan peperangan.  Sebagai seorang wira, Amir Hamzah bukan sekadar dianugerahkan kekuatan semata-mata, tetapi beliau juga telah dilengkapkan dengan pelbagai ilmu dan kemahiran peperangan.  Dan sebagai manusia biasa Amir Hamzah terpaksa mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan peperangannya itu daripada orang lain.  Ini dapat kita dilihat dalam cerita Amir Hamzah Mendapat Alat-Alat Kebesaran Peperangan.

 Selain mendapat ilmu memanah daripada pembuat busar, Amir Hamzah juga telah mempelajari ilmu peperangan ini daripada Jibrail alaihissalam ketika beliau membawa diri ke Bukit Abu Qabis.  Dan sebagai pahlawan yang istimewa, Amir Hamzah juga telah dibekalkan dengan pelbagai kelengkapan perang antaranya busar Kiani, anak panah Judanggi, pedang Sumsum Qoamamtum kuda Janggi Ishak, baju sarung Nabi Allah Ismail, ketopong Nabi Allah Hud, muza Nabi Allah Salleh dan ikat pinggang Nabi Allah Ishak, yang kesemuanya digunakan untuk membantu mengalahkan musuh.
 Peperangan yang memainkan peranan penting mengawal keseluruhan isi cerita Hikayat Amir Hamzah ini, cuma terserlah dalam cerita Amir Hamzah Berperang dengan Jin Kafir di Bukit Kaf yang jelas telah menonjolkan kepahlawanan sebenar Amir Hamzah sebagai panglima perang.  Dan selaku epic heroic yang menjadi sanjungan pendengar, Amir Hamzah berdiri sebagai legenda terulung di kalangan masyarakat Islam setempat, dan menjadi wira yang mampu menegakkan kesucian agama Allah daripada penentang-penentangnya.  Amir Hamzah adalah penegak keadilan dan kebenaran di samping menjadi penghapus penyelewengan dan kerosakan.

 Amir Hamzah tidak sahaja berperang dengan manusia tetapi juga mampu mengalahkan jin kafir yang diketuai oleh Dewa Afrid.  Dengan berbekalkan tunjuk ajar Nabi Allah Khidir, Amir Hamzah telah berjaya mengembalikan takhta negeri Sahasrstan Zaban kepada raja jin Islam, Arzuk yang sebelum ini telah ditawan oleh jin-jin kafir.  Kepahlawan Amir Hamzah sebagai pahlawan Islam yang unggul diperakui sendiri oleh jin kafir.
 Maka ada seorang jin tua dalam jin yang banyak itu, katanya, "Hai Afrid, bahawa aku mendengar daripada Raja Sulaiman alaihissalam, pada akhir zaman bahawa Allah Taala menyampaikan manusia amir Hamzah ke Bukit Kaf ini.  Segala jin peri dibukti ini habislah dibunuhnya Amir Hamzah itu.  Maka pada bicaraku inilah gerangan Hamzah itu."

       (WSSMT, 1996: 251)

 Sebagai sebuah hikayat yang bercorak Islam, motif cerita ini jelas mahu menggambarkan bahawa agama Islam adalah agama yang benar dan perjuangan membela agama Islam sentiasa mendapat pertolongan Allah sehingga setiap peperangan yang dilalui oleh Amir Hamzah pasti akan memperolehi kemenangan.
 Dan yang nyata, peperangan yang berlaku digambarkan sebagai suatu perjuangan untuk menegak dan membela agama Islam dan membanteras musuh-musuh Islam yang menyeleweng dan menjadi perosak di muka bumi Allah ini.  Keganasan Dewa Afrid  ketua kerajaan jin karif, yang dilambangkan sebagai musuh Islam, walaupun mempunyai kekuatan tentera seramai sembilan puluh ribu tentera, sehingga mampu merampas negeri Islam yang diperintah oleh Raja Arzuk, akhirnya tetap juga kalah di tangan pahlawan Islam.
 Amir Hamzah, biarpun berseorangan menentang jin kafir melalui peperangan selama tiga hari tiga malam, tetap mampu membunuh lima puluh ribu tentera jin kafir pimpinan Dewa Afrid itu.  Malah kepahlawanan Amir Hamzah diserlahkan dengan kemampuan beliau membunuh ketua jin kafir itu.
 Maka diparang Amir Hamzah dengan pedangnya yang bernama Sumsum Qomantum penggal kedua, maka Afid pun matilah.  Setelah dilihat oleh segala jin yang banyak rajanya mati itu, maka sekalian jin itu pun mengepung Amir Hamzah.  Maka Amir Hamzah menetak dengan kedua belah tangannya.  Berperanglah Amir Hamzah dengan jin itu sekira-kira tiga hari tiga malam lamanya perang.  Maka jin itu banyaklah mati kira-kira lima puluh ribu jin yang dibunuh oleh Amir Hamzah.

       (WSSMT, 1996: 252)

 Sampai begitu sekali sanjungan yang diberikan terhadap keperwiraan Amir Hamzah yang begitu berani berperang menentang orang kafir yang mahu mencabar kewibawaan orang Islam di bumi Arab.  Dan memang pada asal penyebaran, sastera epik seperti Hikayat Amir Hamzah atau Hikayat Muhammad Ali Hanafiah ini sekadar mahu memaklumkan sejarah kehebatan pahlawan-pahlawan Islam kepada orang-orang Islam di rantau sebelah timur ini sahaja yang jelas ketika itu hanya menjadi bahan bacaan di sekitar istana sahaja.

 Namun kerana kebetulan ketika itu orang-orang kafir dari barat juga sudah mula mencari tapak baru di rantau sebelah timur, terutama di alam Melayu yang penduduknya beragama Islam yang ketika ini sedang dikuasai sepenuhnya oleh pedagang-pedagang Islam dari Timur Tengah, maka Hikayat Amir Hamzah dengan sendirinya telah diangkat menjadi kafir, khasnya orang-orang Portugis yang sudah mula mencari tapak baru di Melaka.

 Pedagang-pedagang Islam yang datang ke Melaka telah membantu Sultan Ahmad menyebarkan naskhah Hikayat Amir Hamzah ini bersama Hikayat Muhammad Ali Hanafiah kepada para hulubalang Melaka bagi menaikkan moral perjuangan mereka.  Keperwiraan Amir Hamzah dan Muhammad Ali Hanafiah telah dijadikan model kegagahan pejuang Islam yang tidak pernah luntur semangatnya dalam menghadapi orang-orang kafir.
 Amir Hamzah sejak dari kecilnya lagi telah berusaha menegakkan kebenaran agama Allah dan menentang kemungkaran, adalah tokoh yang harus disanjung.  Kehebatan Amir Hamzah tidak sahaja terserlah melalui kekuatannya, tetapi juga melalui keyakinan beliau yang tidak berbelah bagi kepada Allah Subhanawataala.
 Ketika berperang dengan Dewa Afrid misalnya, Amir Hamzah mengakui beliau berlindung kepada Allah dan tidak kepada perisai yang digunakannya.
 

Lalu dibangkitnya satu batu hendak dilontar kepada Amir Hamzah.  Maka Amir Hamzah menjunjung perisai di atas kepalanya.  Maka kata Amir Hamzah "Ya Tuhanku, bahawa aku tidak berlindung kepada perisaiku.  Yang aku berlindung kepada Tuhanku juga."

  (WSSMT, 1966: 251)

 Keadaan yang sama ditunjukkan Amir Hamzah ketika beliau berjaya mengalahkan Dewa Afrid dan tentera jin kafir dengan mengucap syukur atas kemenangan itu dengan mengerjakan sembahyang dua rakaat.
 Dan nilai inilah sebenarnya yang mahu ditinggalkan oleh cerita-cerita yang terdapat dalam Hikayat Amir Hamzah itu, iaitu satu nilai kecintaan manusia terhadap khaliqnya di samping memperlihatkan keutuhan dan perpaduan orang Islam terutama ketika berhadapan dengan musuh.
 Pendewaan terhadap Amir Hamzah sebagai pahlawan yang ulung tidak sahaja terselit kerana keperwiraan beliau, tetapi juga kepada tingkah laku baik beliau yang dapat menjadi teladan kepada masyarakat pembaca.  Beliau seperti kanak-kanak lain misalnya masih mahu belajar mengaji daripada Mu’alim Sofian.  Amir Hamzah juga masih mahu berguru ilmu peperangan walaupun beliau ternyata sudah memiliki kekuatan yang luar biasa.  Selain itu Amir Hamzah juga pernah menangis kesedihan apabila guru yang mengajarnya memanah, meninggal dunia.  Inilah antara sifat-sifat kemanusiaan yang dimiliki oleh seorang tokoh besar seperti Amir Hamzah.  Beliau juga tidak pernah merasa besar diri walaupun sudah memiliki segala keistimewaan yang melebihi daripada orang lain.
 Dan inilah yang membezakan beliau dengan Umar Umaiyah, watak pembantu yang menjadi orang penting di belakang pergerakan Amir Hamzah.  Umar Umayah mempunyai peribadi yang agak kontras berbanding dengan peribadi Umar Umayah.  Banyak kelakuan melampaui Amir Hamzah didalangi oleh Umar Umayah.  Walaupun ada kalanya nasihat yang diberikan oleh Umar Umayah kepada tindakan Amir Hamzah ada rasionalnya yang tersendiri, namun tindakan itu tetap akan meninggalkan kesan tidak baik kepada pembaca.  Antaranya:
· Ketika menyahut cabaran ahli gusti yang sombong, Umar Umayah menasihatkan Amir Hamzah,
 "Ya Amir tangkap kedua-dua kakinya, maka hempaskan ke bukit."
 Tindakan ini tentu sahaja keterlaluan yang boleh menjejaskan imej Amir Hamzah sebagai pahlawan yang agung.
· Membunuh penjaga rumah berhala serta membakar berhala berkenaan, yang rasionalnya memang mahu menghalang orang menyembah lain daripada Allah, namun tindakan itu tetap akan menjejaskan kewibawaan Amir Hamzah dan Khoja Abdul Mutalib.
· Ketika berehat di bawah pokok kurma, Umar Umayah mencadangkan supaya Amir Hamzah mencabut sahaja pokok kurma yang lebat buahnya kerana Amir Hamzah ingin memakannya tetapi tidak tahu memanjat.
 "Jikalau engkau tidak tahu menaiki pokok kayu pergilah engkau korek pohon itu."  Maka Amir Hamzah pun mencabut pokok berkenaan tanpa meminta izin tuannya dahulu dan memakan buah kurma yang masak.
 Kelakuan sebegini tentu sahaja berlawanan dengan prinsip yang dihajat oleh Islam supaya tidak mengambil hak orang lain tanpa kebenarannya terlebih dahulu.
· Umar Umayah mencuri kaus gurunya dan menjualkannya kepada penjual halwa kerana mahu membalas dendam kepada tuan guru Mualim Sofian yang telah merotannya kerana terlalu banyak jenaka ketika mengaji.
 Tindakan ini tentu sahaja tidak direstui oleh Islam.
· Umar Umayah menipu pemilik unta dan mencuri unta-unta gembala itu setelah dia mengenakan ubat pelali kepada gembala tersebut.

 "Beri apalah akanyalah kami muz tuaifi itu barang sedikit".  Atas hal demikian, oleh Umar diambilnya muz tuaifi yang sudah diubatinya dengan ubat bius itu.  Hatta demi di makan orang gembala itu, sekalian pun berbiuslah tiada khabarkan diri masing-masing.  Maka segera kuda dan unta itu dihalau oleh Umar itu serta dibawa kepada Amir.

 Tindakan sebegini sebenarnya tiada dalam Islam tetapi ia tetap diamalkan oleh Umar Umayah yang dianggap menjadi orang penting Amir Hamzah.  Inilah sedikit kurang ketelitian yang ditonjolkan oleh pencerita.

 Hikayat Amir Hamzah, yang cuba memperlihat ketinggian dan kemuliaan sifat penganut-penganut agama Islam sepatutnya tidak dicemarkan dengan sifat tidak bermoral Umar Umayah itu.  Namun barangkali kerana pengarang mahukan penampil Amir Hamzah sebagai tokoh pahlawan, yang lebih ditonjolkan, maka kisah-kisah humor Umar Umayah yang diselitkan bersama kegemilangan Amir Hamzah itu tidaklah ketara sangat kalau pembaca tidak menelitinya dengan berhati-hati.  Dan Hikayat Amir Hamzah yang dijadikan perangsang hulubalang Melayu menentang penjajah zaman Portugis, harus dilihat sebagai hikayat yang berjaya menonjolkan keutuhan perpaduan di kalangan orang Islam.  Dan keunikan sifat kepahlawanan Amir Hamzah itulah yang menjadi lambang kemegahan masyarakat Islam yang mahu menghadapi musuh-musuhnya walau di mana sahaja.
 

Bibliografi
A.  Bahar Hamid, 1967, Beberapa catatan Mengenai Sastera dari Susut Pertumbuhan Masyarakat  dlm Jurnal Dewan Bahasa 11:9 September.
Abu Hasan Sham, ‘Sastera Epik’ dlm. Kesusasteraan Melayu Tradisional, 1993, Kuala Lumpur, DBP.
Arne, Antti dan Thomson, The Type of Folktale dlm. Warna Sari Sastera Melayu Tradisional, Majlis Peperiksaan Malaysia.
Emeis M.G. 1988, Bungai Rampai Melayu Kuno, cet. 15, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Halimah Hassan, Hajah, Mac 1997, Kertas kerja Taklimat Pendedahan Sukatan Pelajaran Baru Kesusasteraan STPM, Penghayatan Prosa Tradisional.
Majlis Peperiksaan Malaysia, 1996, Warna Sari Sastera Melayu Tradisional, Kuala Lumpur, DBP dan Penerbit Fajar Bakti.
Safian Hussain, et. al. 1998, Glosari Istilah Kesusasteraan, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Hawa Haji Salleh, 1987, Cendekia Kesusasteraan Melayu Tradisional, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

RUJUKAN DEWAN SASTERA EDISI INTERNET