Oleh OTHMAN PUTEH
MEMAHAMI kritikan sastera merupakan hasil pentafsiran pembaca (pengkritik)
terhadap karya sastera tertentu yang dihayatinya dengan teliti dan rapi.
Pengkritik bertanggungjawab menghuraikan pengalaman pembacanya sesudah
menghayati dan memahami sesuatu karya sastera.
Tulisan kritikan sastera menampilkan pengalaman dan pengetahuan
pengkritik yang berusaha secara objektik menghuraikan, mentafsir dan memperjelaskan
nilai teks atau karya sastera. Pengkritik yang baik dan berwibawa,
dalam usaha meletakkan nilai sesuatu karya itu, seharusnya mengetahui poetika
pengarang. Apatah lagi, sastera dan kritikan sastera itu saling memerlukan
dan saling melengkapi dalam upaya meningkatkan dan memartabatkan kesusasteran
bangsa.
Di Malaysia, terdapat enam ciri kritikan sastera iaitu sanjungan,
terguran, saranan, pendekatan, penganalisisan, dan penilaian (STSPPP).
Berikut ini, dibincangkan setiap satu ciri kritikan sastera itu.
1.Kritikan Sanjungan
ISTILAH sanjungan bermaksud pernyataan rasa kagum atau senang terhadap
orang lain. Jadi, kritikan sanjugan bermaksud memuji karya dan pengarangnya
yang menyerlahkan pemikiran bernas, di samping menampilkan elemen dalaman
karya yang baik dan menarik.
Kritikan sastera berciri sanjungan ini ketara, seawal sebelum
tercetusnya Perang Dunia Kedua dan selepas itu, terutamanya pada era pascaperang
dan pra-ASAS '50. Pengkritik pada era tersebut terdiri daripada pengarang
kreatif seperti Keris Melayu (Muhammad Yassin Maamor) dan Anak Negeri (Mohd.
Yusof Ahmad).
Kritikan mereka tertumpu pada Sejarah Melayu karya Tun Seri Lanang
dan Hikayat Abdullah oleh Abdullah Munsyi. Kedua-dua buah karya itu
merupakan ciptaan sastera yang penting, malah sebagai magnum opus atau
karya agung. Kerus Melayu umpamanya, dalam tulisannya. "Tun
Seri Lanang dan Abdullah Munsyi" (Majalah Guru, 1 Julai 1935) berusaha
mengangkat atau menyanjung Sejarah Melayu kerana memberikan fokus kepada
ketokohan, kebijaksanaan dan kepahlawanan watak-watak seperti Tun Perak,
Bendahara Seri Maharaja dan Hang Tuan lima bersaudara. Watak-watak
itu dikagumi dan disanjungi sebagai kebanggaan bangsa.
Dari aspek gaya bahasa, Keris Melayu juga menyatakan bahawa "bahasa
Melayu yang digunakan oleh Tun Seri Lanang asli, jelas serta sedap pula
didengar kalau dibacakan" (Sejarah Kesusasteraan Melayu Jilid II, 1990:
402). Di samping berusaha mentafsir makna tersirat beberapa pantun
dalam Sejarah Melayu, sikap memuji dan mengagumi hasil karya Tun Seri Lanang
itu dibauri sentimen. Namun hal itu bukan aneh kerana ia sinambungan
ciri tradisional masyarakat Melayu zaman-berzaman.
Kritikan sanjungan ditujukan juga kepada pengarang kerana memiliki
daya intelektual, ketajaman, dan kebernasan pemikiran. Abdullah Munsyi
umpamanya diiktiraf pelopor atau Bapa Kesusasteraan Melayu Moden, terutama
dilihat dari perspektif gaya bahasanya, iaitu penulisan berbentuk autobiografi
yang bersifat kewartawanan.
2. Kritikan Teguran
TEGURAN bermaksud mengkritik dan memberi peringatan secara ikhlas.
Oleh itu kritikan teguran praktikal kerana pengkritik melaksanakan tulisannya
dengan lebih berimbang -- menyatakan keistimewaan, kekuatan sesebuah teks
dan serentak menunjukkan kekurangan.
Tokoh terawal dan penting dalam kritikan teguran ialah Aminuddin
Baki apabila beliau menulis artikel yang berjudul "Pandangan Seorang Penuntut
Tinggi Kita Tentang Sebuah Buku Melayu" (Utusan Zaman, 12 Jun 1949).
Aminuddin Baki melaksanakannya sewaktu mengulas novel Korban Kesucian oleh
Keris Mas, terbitan Utusan Melayu. Antara lain beliau menegur.
… plotnya yang dikatakan bergerak seperti aliran sungai yang
tidak dapat menentukan letak kedudukan serta pendirian watak-watak … gaya
bahasa Keris Mas yang terlalu dipengaruhi oleh bahasa Inggeris …
(Sejaran Kesusasteraan Melayu Jilid II. 1990: 408)
Yang agak ketara dalam kritikan Aminuddin Baki adalah sikap intelektualnya
dan jika dibandingkan dengan kritikan Keris Melayu pada 1935 itu, ternyata
beliau tidak dipengaruhi emosi dan sentimen serta tidak mengecam pengarang
seperti kritikan Anak Negeri terhadap Abdullah Munsyi.
Banyak sarjana setempat bersetuju dan mengklafikasikan kritikan
Aminuddin Baki itu menepati konsep kritikan kesusasteraan. Malah,
Wong Seng Tong menganggapnya Muhammad Yassin Maamor sebagai kritikan praktikal
terbaik yang pernah dihasilkan. Daripada tulisan Aminuddin Baki itu,
jagat kritikan tanah air memperoleh landasan yang lebih kukuh dan mantap
setelah melalui suatu era yang agak sarat dengan tulisan kritikan yang
ekstrem menyanjung atau mengecam.
3. Kritikan Saranan
ISTILAH saranan bermakna anjuran atau sesuatu yang disarankan. Bagaimanapun,
istilah ini membawa konotasi lain iaitu sebagai propaganda. Oleh
itu, kritikan saranan merupakan kritikan yang cenderung menganjurkan sesuatu
untuk memperbaiki kekurangan atau memantapkan lagi unsur-unsur yang membina
sesebuah karya atau memberi alternatif dari sisi teknik umpamanya.
Jelas, kritikan saranan mengalirkan nilai positif dan amat signifikan kepada
khalayak pembaca, pengarang dan ujana kritikan sastera ;itu sendiri.
Kita menyedari betapa teks sastera itu bersifat subjektif sifatnya. Dalam melaksanakan kerja kritikan sastera pula pengkritikan sewajarnya bertindak secara objektif dan prihatin serta profesional. Dalam konteks ini, kritikan Aminuddin Baki terhadap novel Korban Kesucian, karya Keris Mas menepati kehendak atau konsep kritikan saranan. Malah, ketika menegur, Aminuddin Baki memberi saranan positif tentang unsur kreatif seperti gaya bahasa, plot, teknik, dan watak sserta perwatakan dalam karya Keris Mas. Kesemuanya itu dilaksanakan bertujuan untuk pembaikan bagi menghasilkan cereka novel yang berkesan, bermutu dan berjaya.
Kritikan saranan ini banyak dihasilkan oleh pengkritik di tanah air sehingga akhir abad ini. Ramli Isin, Abdullah Hussain, Kala Dewata, dan Hashim Awang pernah menghasilkan kritikan saranan ini dalam media cetak sejak tahun 1960-an, di samping memberi kritikan penilaian dan menerapkan pendekatan tertentu pula.
Kritikan saranan yang cenderung kepada propaganda agak dominan lantang dan jelas pada era kegemilangan ASAS '50. Ini berlaku kerana tercetusnya polemik dalam memperjuangkan falsafah berkarya antara konsep "Seni untuk Masyarakat" yang dipelopori oleh Asraf dengan konsep "Seni untuk Seni" yang dianuti oleh Hamzah.
Golongan "Seni untuk Masyarakat" mementingkan perutusan, pengajaran, dan berfungsi memberi kesedaran kepada masyarakat. Jelas bahawa fungsi sosial itu menjadi matlamat berkarya. Jika tidak, karya dianggap gagal. Hamzah dan pengikutnya tidak menyetujui konsep itu. Karya sastera seharusnya memiliki dwifungsi - menghibur dan mendidik. Faktor keindahan seharusnya tidak terabai untuk mengelakkan karya daripada terjerumus ke kekancah propaganda.
Polemik yang berkisar pada tahun 1950 - 1951 itu mencetuskan pergeseran
yang seru dan hebat. Asraf dan pengikutnya dalam kelompok "Seni untuk Masyarakat"
amat cenderung kepada sastera komited atau literature engage yang ada ketika
itu popular di Perancis. Sementara di Indonesia pula, Lembaga Kebudayaan
Rakyat (LEKRA) ditubuhkan dengan konsep seiras dengan "Seni untuk Masyarakat".
malah, LEKRA lebih berani, lantang, dan agresif mengangkat karya sastera
sebagai medium propaganda membentuk kehidupan rakyat yang menjurus kepada
ideologi politik.
Pada ghalibnya, kritikan saranan itu memperlihatkan nilai positif
bagi memperbaiki dan memenatapkan karya pengarang selagi ia tidak mendorong
atau memaksa sesuatu anutan kepada pengarang dan selagi ia bersikap terbuka
tanpa sebarang kekangan yang membelenggu.
(Bersambung)
RUJUKAN : DEWAN SASTERA VERSI INTERNET