Make your own free website on Tripod.com
PENGHAYATAN SASTERA STPM
Penghantar Kritikan Sastera

Oleh OTHMAN PUTEH

DI MALAYSIA, kritikan sastera sudah diterima sebagai satu sains atau disiplin ilmu. Kritikan sastera yang dihantar dalam bentuk tulisan merupakan usaha mencari dan menentukan nilai karya sastera secara jujur.  Tugasan ini dilaksanakan dengan kaedah yang bersistematik, sama ada secara selejang terbang mahupun secara serius.
Lazimnya tulisan kritikan selejang terbang ini disebut kritikan impresionistik. Kritikan ini sering pula mendapat wadah di akhbar, lalu dikenali sebagai kritikan jurnalistik.  Sementara itu tulisan kritikan yang serius, dilaksanakan dengan penelitian bersandarkan pelbagai disiplin ilmu, dikenali sebagai kritikan ilmiah. Kritikan ilmiah banyak dilaksanakan pada peringkat pengajian tinggi dan diterbitkan dalam jurnal atau buku.
 Dalam usaha menentukan nilai sesebuah karya sastera, pengkritik harus memanfaatkan ilmu pengetahuannya sesuai dengan pendekatan yang dipilihnya. Lebih daripada itu, pengkritik harus menurunkan hujahnya yang relevan dan munasabah bagi memperkukuhkan apa yang dikritiknya.
 Di akhbar dan majalah, sering ditentukan ruangan ulasan buku atau resensi.  Kedua-dua bentuk tulisan itu dikenali juga sebagai kritikan impresionistik atau kritikan jurnalistik. Terkadang-kadang ditemukan esei sastera yang membicarakan gagasan atau teori. Tulisan sedemikian dapat dikategorikan sebagai kritikan teoritis.
 Hashim Awang (1984: 81) mengklasifikasikan kritikan sastera kepada dua kategori yang penting, iaitu kritikan amali @ terapan dan kritikan teori. Berikut ini dihuraikan kedua-dua kategori kritikan itu dengan pecahannya sekali:
? Kritikan Amali @ terapan, merupakan usaha melaksanakan pertimbangan dan perbincangan terhadap sesuatu teks genre sastera. Perbincangan yang dilakukan secara kritis dan jujur terhadap karya sastera ciptaan pengarang dan bukannya terhadap peribadi pengarang.  Bagaimanapun, apakala pengkritik menerapkan prinsip dan pendekatan tertentu dalam tulisan kritikannya, maka pengarang akan ikut diperkatakan terutamanya yang punya kaitan dengan proses penciptaan karya sastera itu. Hal ini dapat ditelusuri melalui pendekatan psikologi atau kemanusiaan kerana pendekatan ini ikut menyelami gejolak jiwa dan pemikiran pengarangnya.
Kritikan amali @ terapan ini mempunyai dua pecahan pula:
i. Kritikan impresionistik yang cenderung mempersoalkan kesan emosi yang mungkin dicetuskan oleh sesebuah karya sastera. Di samping itu, pengamal kritikan ini mungkin menyatakan sikap dan emosinya sendiri terhadap karya yang dinilai.
ii. Kritikan penghakiman yang cenderung menghuraikan dan menganalisis nilai isi, teknik, dan organisasi yang menunjang sesebuah karya.
? Kritikan teori merupakan esei sastera yang secara langsung tidak mengkritik karya sastera. Ia menampilkan teori yang ada kaitannya dengan masalah kritikan, justeru lebih membincangkan prinsip dan istilah yang ada perkaitan dengan kerja pentafsiran sesebuah karya. Ketika melaksanakan tugasnya pengkritik menetapkan kriteria yang diaplikasikan bagi menilai karya dan pencapaian pengarangnya.
Dalam konteks sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu, genre kritikan ini dianggap sebagai yang bongsu kelahirannya berbanding dengan genre lain. Malah, kelahiran kritikan sastera itu merupakan reaksi terhadap karya daripada genre sastera yang lain.  Bagaimanapun, istilah kritikan sastera itu yang kini amat popular, sebenarnya memiliki hayat sejarah yang relatif panjang.
Kritikan sastera itu dikatakan buat pertama kalinya dilaksanakan oleh bangsa Yunani, kira-kira 500 tahun Sebelum Masihi.  Pengkritik itu ialah Xenophanes dan Heraclitus yang bertindak mengecam hebat pengarang Homerus yang begitu ghairah memaparkan kisah palsu dan tidak senonoh tentang dewa-dewi seperti pencurian, penipuan, dan penzinaan.  Jelas bahawa Xenophanes amat mementingkan nilai moral.
Istilah kritikan yang sering kita pergunakan dalam bahasa Melayu berasal dari bahasa orang-orang Yunani kuno, krites yang bermaksud "hakim", dan istilah ini berasal daripada kata kerja krinein yang bererti "menghakimi" yang merupakan pangkal daripada istilah kriterion yang bermaksud dasar penghakiman. Hanya kemudian muncul kata atau istilah kritikos yang bererti hakim karya sastera (Andre Hardjana 1981: 2).
Dalam Glosari Istilah Kesusasteraan (1988: 163) terdapat penjelasan yang menyatakan bahawa "kritik" merupakan esei atau  artikel yang menyorot secara kritis sesebuah hasil seni, biasanya sastera, dengan tujuan menentukan sifat yang dimilikinya dan menuntut mutunya menurut suatu ukuran tertentu yang telah ditetapkan atau sering digunakan. Kritik jauh lebih serius, adil, dan bijaksana daripada ulasan. Sementara kritikan pula merupakan cabang pengajian yang berhubungan dengan hal-hal mendefinisi, mengelaskan, menghurai, dan menilai karya kesusasteraan (Ibid. 1988: 164).
Daripada pernyataan di atas, dengan mengangkat anologi itu dapatlah dikatakan bahawa kritikan sastera adalah penelitian yang kritis, penilaian yang jitu, dan pertimbangan yang adil tentang buruk baiknya nilai suatu karya sastera, dengan memanfaatkan pendekatan tertentu ataupun tidak, dan memberi manfaat kepada khalayak pembaca, peneliti lainnya, dan karyawan itu sendiri.
Baik di Malaysia mahupun di Indonesia istilah dan definisi kritikan sastera bukanlah merupakan tradisi tulen yang terdapat di kalangan masyarakat Nusantara. Istilah dan definisi kritikan sastera itu baru wujud sesudah pengarang kita memperoleh pendedahan daripada sistem pendidikan Barat pada abad kedua puluh. Bagaimanapun, peryataan itu tidak pula menafikan tentang wujudnya kata-kata "teguran keras", "kecaman", "bidasan", dan "celaan" dalam masyarakat kita. Malah, dalam tradisi sastera klasik, pada zaman Nuruddin ar-Raniri, syairnya dibakar kerana muatan mistiknya bertentangan dengan ajaran penyair Hamzah Fansuri, dan dianggap amat berbahaya pada ajaran agama secara keseluruhannya.
Tradisi kritikan sastera yang berasal daripada Barat itu dapat ditelusuri berawal mula pada tahun 1935 apabila tersiarnya tulisan Keris Melayu (Muhammad Yasin Maamor atau terkenal juga sebagai penyair dengan nama pena Pungguk) bertajuk "Tun Seri Lanang dan Abdullah Munsyi (Majalah Guru,  1 Julai 1935). Menurut Sejarah Kesusasteraan Melayu Jilid II (1990: 399), wujud tiga faktor utama maka tulisan itu dianggap sebagai kritikan sastera yang pertama di tanah air kita.
? Keris Melayu menganalisis secara kritis, berdasarkan keupayaan ilmiah dan zamannya, tentang isi dan gaya bahasa Sejarah Melayu.
? Keris Melayu berupaya menyelami dan mengupas hal yang tersirat dalam dua buah karya Abdullah Munsyi yang terkenal iaitu Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah.
? Fokus tulisan Keris Melayu ialah teks Sejarah Melayu, Hikayat Abdullah, dan Kisah Pelayaran Abdullah serta amat sedikit memperkatakan aspek luaran seperti biografi.

Kritikan sastera ternyata begitu mementingkan rasional dan menuntut kehadiran ilmu pengetahuan.  Dan hasil tulisan Keris Melayu itu, maka muncul satu lagi bidang intelektual Melayu yang berkaitan dengan penulisan genre kreatif.
Pada keseluruhannya, tulisan kritikan sastera Keris Melayu itu tidaklah seobjektif dan tidak juga menepati tuntutan kritikan sastera kini. Hal ini dapat dimengertikan apabila dihubungkan dengan faktor zaman yang melibatkan keadaan politik, ekonomi, sosial, dan pendidikan. Walaupun tulisannya itu longgar dalam bentuk dan definisi, namun usahanya mengkategorikan perwatakan berlandaskan susun lapis masyarakat pada zaman feudal itu -- golongan raja, pembesar, hulubalang, dan rakyat -- jelas memperlihatkan ketelitian dan keprihatinan penulisnya.  Apatah lagi Keris Melayu turut menilai watak-watak dalam Sejarah Melayu.
Dalam tulisan kritikannya itu, Keris Melayu memberi komentarnya terhadap gaya bahasa pengarang Tun Seri Lanang. Menurut tinjauannya, didapati bahasa Melayu Tun Seri Lanang jelas, sedap didengar dan asli, di samping berusaha mentafsirkan makna tersirat yang terungkap pada beberapa rangkap pantun Sejarah Melayu.
Kritikan sastera memang penting dalam usaha menentukan kelangsungan hayat kesusasteraan, malah berupaya mengangkat tamadun bangsa kerana berteras pada hujah pemikiran yang bernas. Tetapi sejak lahirnya tulisan sedemikian, istilah kritikan sastera itu sering cuba dihindari kerana mempunyai makna negatif, tajam, dan keras pada pendengaran, dan dianggap selalu merosakkan atau mematikan.
Seperti yang wujud dalam bidang penulisan kreatif juga, masyarakat pengarang Melayu -- tidak mudah menerima sesuatu deviasi apatah lagi inovasi dalam penulisan. Justeru, kritikan Keris Melayu segera mendapat reaksi pro dan kontra daripada kalangan teman pengarang sendiri. Yang ketara dua reaksi yang wajar diperturunkan sebagai melihat senario bidang kritikan pada tahap awal kelahirannya.
Pertama, reaksi kontra penulisan Anak Negeri (Mohd. Yusof Ahmad) terhadap tulisan Keris Melayu. Anak Negeri, membantah keras melalui tulisannya "Kita dengan Munsyi Abdullah" (Majlis, 22 Ogos 1935) kerana beliau berpendapat Abdullah Munsyi pengampu orang asing, tidak wajar dipuji, dan memalukan. Apatah lagi, melalui kedua-dua karya autobigrafinya, Abdullah mencerca raja dan masyarakat Melayu.
Kedua, Kahbaa-Batu Pahat memberi reaksi pula terhadap tulisan Anak Negeri melalui artikelnya yang berjudul "Anak Negeri dan Abdullah Musnyi" (Majlis, 2 September, 1935).  Dikatakan tulisan Kabhaa lebih rasional dan intelektual. Dari situasi begini, dapat dirumuskan betapa masyarakat pada ketika itu, terutama khalayak pembaca, mempunyai sikap kritis dan semangat nasionalisme yang kental. Dan hal ini secara tidak langsung merupakan ilustrasi betapa masyarakat mula menyedari hakikat teks sastera yang diwarisi sejak berzaman itu bukannya kisah khayalan tanpa signifikannya. Malah, khazanah pemikiran yang amat bernilai.
Hampir setengah windu pula, tiada kritikan sastera ataupun polemik yang muncul dalam majalah dan surat khabar. Yang dirintis oleh Keris Melayu dan reaksi awal pro-kontra Anak Negeri dan Kabhaa-Batu Pahat tidak dilanjutkan dan tradisi itu terputus. Pada tahun 1939, barulah tulisan bersifat kritikan kembali muncul apabila tersiar karya Perawan Muar yang berjudul "Ikut Suka Luka" (Warta Ahad, Ogos 1939) yang membicarakan kecenderungan pemilihan tema cerpen yang stereotaip tentang cinta pandang pertama dan dihantar melalui teknik surat.  Beliau secara sedar menyarankan pengarang agar mengangkat persoalan sosial, ekonomi, dan politik. Selang lima bulan, tampil Marbi-Perak yang menyokong dan menyarankan agar penulis memanfaatkan isu agama, pelajaran, perniagaan, kebangsaan, dan ketenteraan dalam karya mereka. Hal ini dipaparkan dalam artikelnya "Cerita-cerita Rekaan Cermin Kehidupan" (Utusan Zaman, 21 Januari 1940). Tulisan lain yang memberikan respon positif ialah karya Ahmad Alkaf - Pontian dan Mahanum Haji Abdul Razaik.
Sementara itu, pada akhir era pra-Perang Dunia Kedua, tersiar sebuah esei kritikan yang berbentuk sejarah dan perbandingan karya Abdul Kadir Sheikh yang bertajuk "Cerita-cerita Melayu Hari Ini" (Warta Ahad, 3 Ogos 1941). Dalam tulisannya itu, Abdul Kadir Sheikh melaksanakan analisis perbandingan dan senario cerpen sejak tahun 1930-an.
Ngumba @ Embong Yahya pula merintis bentuk kritikan terhadap sebuah cerpen secara khususnya bertajuk "Shamsuddin Salleh dengan Kolej Tanjung Malim" (Warta Ahad, 9 Jun 1940). Kritikan Ngumba bertolak daripada cerpen Shamsuddin Salleh berjudul "Cermin Pergaulan Hidup di Dunia" (Enam siri dalam Utusan Melayu, 27 April--1 Jun 1940) yang dianggap menjejaskan nama baik maktab tersebut. Umang-umang Tangkak dan Lebai Ketayap, kemudiannya ikut berpolemik mengecam Shamsuddin Salleh.
Daripada perbincangan ini, dapat ditelusuri betapa kritikan sastera yang bermula sejak tahun 1935, dengan Keris Melayu sebagai perintisnya, sehinggalah tercetusnya Perang Dunia Kedua terlaksana tanpa menerapkan sebarang pendekatan secara khusus dan lebih merupakan kritikan umum. Penulisnya pula terdiri daripada pengarang kreatif cerpen-puisi seperti Muhammad Yasin Maamor, Mohd. Yusof Ahmad, dan Ngumba yang kebetulan pada lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris serta profesion mereka sebagai pendidik. Apabila perang tercetus, maka tradisi penulisan kritikan sastera turut terencat dan terhenti buat beberapa tahun pula.
 Rujukan
Hashim Awang. 1994. Kesusasteraan Melayu dalam Kritikan dan Sejarah. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Hashim Awang. 1984.  Teman Pelajar Kesusasteraan. Petaling Jaya: Fajar Bakti
Hashim Awang. 1988. Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Henry Guntur Tarigan. 1984. Prinsip-prinsip Dasar Sastera. Bandung: Angkasa.
Ahmad kamal Abdullah et. al. 1990. Sejarah Kesusasteraan Melayu Jilid II. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Andre Hardjana, 1981. Kritik Sastera: Sebuah Pengantar. Jakar: Gramedia.
Othman Puteh. 1995. Pengisian Dunia Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari. 1989.  Berkenalan dengan Kritikan Sastera. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Rahman Shaari. 1994. Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Safian Hussain et. al. 1988. Glosari Istilah Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

RUJUKAN : DEWAN SASTERA EDISI INTERNET