Make your own free website on Tripod.com
PENGHAYATAN SASTERA STPM
Pengkritik pada Era Asas 50
(Bahagian Akhir)

Oleh OTHMAN PUTEH

JIKA Asraf dikenali sebagai pengkritik yang begitu yakin diri memperjuangkan konsep "Seni untuk Masyarakat" pada era Asas 50, maka Hamzah merupakan tokoh yang berada di pihak lain dan mempelopori perjuangan menegakkan kosenp "Seni untuk Seni". Kedua-dua tokoh Asas 50 ini berada di dua kutub yang berlainan dan secara tidak langsung merancakkan jagat kesusasteraan Melayu dengan tulisan-tulisan kritikan atau polemik mereka yang agak berlarut-larut juga.
Hamzah @ nama sebenarnya Hamzah Abdul Majid bin Hussin adalah anak kepada seorang penerbit, penjual buku dan pencipta syair, berasal dari Singapura, lahir pada 27 Julai 1927. Beliau memperoleh pendidikan di sekolah Melayu, Sekolah Inggeris di Victoria hingga tamat darjah lapan, dan pada zaman Jepun beliau terdidik dan Sekolah Agama Darul Ma'arif al-Islamiah. Berdasarkan latar pendidikan itu, Hamzah memiliki pengetahuan agama yang kuat juga.

Pengalaman kerjayanya amat luas dan rencam. Umpamanya, beliau pernah bekerja dengan surat khabar Melayu Raya dan menjadi pemimpin majalah Filem Raya, di samping ikut terlibat dengan penerbit Harmy dan Royal. Pernah menjadi anggota redaksi untuk majalah dan surat khabar seperti Hiboran dan Fashion, di samping memberi sumbangan tulisan untuk media cetak lain seperti Mutiara, Mastika, Belia, Kisah, Utusan Zaman dan Bintang. Di majalah dan surat khabar tersebut Hamzah banyak menghasilkan karya sastera seperti cerpen dan esei kritikan.

Minatnya juga cukup besar dalam bidang perfileman. Begitu berhenti dari Melayu Raya Press pada 1953, beliau bertugas dengan Syarikat Filem Cathay Keris sebagai pegawai penerangan. Di sinilah beliau banyak menghasilkan skenario filem.

Kira-kira 17 tahun kemudian atau dalam tahun 1972 beliau berpindah ke Kuala Lumpur untuk bertugas dengan Perusahaan Filem Sari Artis, dan kemudian dengan Citra Filem sebagai pengarah eksekutifnya. Hamzah pernah menjadi Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menghasilkan memoir @ autobiografinya dalam lapangan perfileman dan kesusasteraan pada pertengahan dekad 1990-an.

Sesungguhnya latar kehidupan Hamzah berwarna-warni dan menarik. Hamzah memiliki horizon pembacaan yang relatif luas dan mencakupi karya-karya dari Indonesia dan Barat. Malah beliau amat senang dengan karya-karya Ernest Hemingway dan pengarang wanita Pearl S. Buck.

Hamzah, sebenarnya, merupakan pengasas Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) dan menjadi Setiausaha yang pertama sewaktu penubuhannya pada 6 Ogos 1950, di Henderson Road, Singapura. Tegasnya, Hamzah seorang daripada orang kuat dan tenaga penggerak ASAS 50 sebelum terlibat dalam polemik tentang konsep seni. Bagaimanapun, pergolakan yang tercetus di tanah air pada ketika itu dengan gerakan politik yang kurang disenanginya, apatah lagi dengan ideologi yang tidak secocok dengan jiwanya, akhirnya menimbulkan polemik yang hebat dan rancak antara Hamzah dengan Asraf, terutama dalam tahun 1951-1953.

Polemik yang berterusan itu yang dibauri dengan hal-hal yang saling bertentangan dengan fahaman dan sikap peribadinya, akhirnya Hamzah menarik diri, keluar daripada ASAS 50 dengan beberapa orang pengarang lain. Mereka, kemudiannya, menubuhkan Persatuan Angkatan Persuratan Melayu Baru pada 17 April 1954, tetapi persatuan altelrnatif yang memperjuangkan konsep "Seni untuk Seni" itu tidak punya hayat yang panjang untuk bertahan.

Konsep atau gagasan "Seni untuk Masyarakat" cenderung membela rakyat kelas bawahan dan sebagai sastera komited. Pengarah @ ideologi politik kiri yang menyerap ke dalam ASAS 50 menyebabkan Hamzah diterpa kecurigaan dan menimbulkan semangat ingin memberontak. Justeru itu, hasil daripada kebangkitan itu lahirlah "Seni untuk Seni" sebagai suatu pernyataan protes Hamzah terhadap "Seni untuk Masyarakat."

Di Barat, penganut aliran "Seni untuk Seni" mempunyai multi definisi. Lazimnya mereka dikatakan sebagai anti-sosial dan individualistik. Bagaimanapun, suatu hakikat tidak dapat dimungkiri betapa konsep "Seni untuk Seni" itu merupakan satu aliran baru dalam ujana kesusasteraan Melayu pada ketika itu. Cuma malangnya konsep itu tidak dapat bertahan lama justeru Persatuan Angkatan Persuratan Melayu Baru tidak dapat hidup lama.

Dalam usaha dan upaya Hamzah memperkenalkan konsep seninya itu, banyak sekali kupasan tentang pemikiran tersebut untuk menghujah kembali dapat @ dakwaan Asraf. Hamzah berusaha memperjelaskan konsep yang diyakininya akan tetapi gagasan estetika @ keindahan yang diyakininya tidak berupaya dihantar dengan jelas. Hal ini terjadi ada kaitan dengan kemudahan sarana dan ruang takdir sejarah kurang memihak kepada mereka, apakah lagi negara kita masih dijajah!

Dalam "Prakata" kumpulan cerpen Hamzah Hussain Pagar Bukan Penjara (1996) A. Aziz Deraman menyatakan

"Polemik "Seni untuk Seni" dan "Seni untuk Masyarakat" yang hangat itu menghidupkan suasana dunia kesusasteraan Melayu, sesungguhnya merupakan suatu hikmah, malah sebagai aset yang bernilai dalam khazanah kesusasteraan itu sendiri. Ia harus dilihat dan ditelusuri secara positif dan penuh dengan keterbukaan sikap bagaimana pejuang-pejuang bahasa dan kesusasteraan pada era tersebut memperjuangkan keyakinan diri dan tenaga fikir mereka dalam usaha dan upaya mengangkat martabat dan maruah kesusasteraan Melayu."
 

Dari polemik Hamzah-Asraf itu dapat ditelusuri betapa antara lainnya membicangkan tujuan kesusasteraan dan hubungannya dengan masyarakat @ manusia. Hamzah sendiri mempunyai tanggapan betapa sastera bukan senjata perjuangan. Sebaliknya ia merupakan satu kaedah bagaimana sesuatu bangsa itu melipahkan apa yang terletak di dalam benaknya dengan tulisan. Dengan kata-kata lain hasil karya sastera dicipta kerana tekanan jiwa pengarangnya dan sewajarnya pula memiliki nilai keindahan.
Berbanding dengan Asraf yang menekankan betapa pengarang harus menggambarkan hidup rakyat dan menyatakan hasrat dan keinginan rakyat dalam bentuk cereka yang mengandungi mutu kesenian yang tinggi. Dari sini kita melihat Asraf tidak sama sekali menafikan kehadiran nilai keindahan dalam karya tetapi lebih mementingkan sastera sebagai alat masyarakat.

Hamzah merupakah seorang daripada pengarang yang prolifik dalam dekad 1940-an terakhir dan pada dekad 1950-an, karya pertamanya ialah genre cerpen (cerpendek) yang berjudul "Pengkhianat Bangsa" (Hiburan, 1 Januari 1947). Genre cerpen yang dihasilkan pada era awal penglibatannya dalam ujana penulisan lebih bersifat kembara. Karya-karyanya banyak mengisi ruang sastera majalah dan surat khabar seperti Puteri Melayu, Ibu Melayu, Kencana, Hiburan, Mastika, Bintang, Fesyen, Mutiara dan Utusan Zaman. Keproduktifan Hamzah mengarang cerpen pada awal dekad 1950-an semakin menyerlah apabila pembaca-pembaca majalah Mutiara memilihnya sebagai "Pengarang Pujian" untuk dua tahun berturutan.

Hamzah juga terkenal sebagai novelis. Antara karya novelnya yang wajar disenaraikan ialah Cinta dan Perjuangan atau Tarikh Berlari Liar (1949), Di Mana Terbitnya Si Matahari (1950), Rumah Itu Dunia Aku (1951), Pemburu Pulang ke Rumahnya (1952), Hujan Air Mata (1958), Samseng(1956), Rumah Kosong (1956).

Dari perbincangan ini, dapat dirumuskan betapa Hamzah sebagai pengarang ASAS 50; ingin membawa perubahan dalam berkarya, terutama apabila beliau menyaksikan adas sesuatu yang kurang disenangi melanda institusi itu. Lantas Hamzah mahukan kebebasan dalam berkarya - freedom of expression - dan untuk itu Hamzah menegaskan:

" orang yang mengatakan bahawa aliran kesusasteraan mengikut lunas yang suatu sahaja maka anggaplah itu sebagai insan yang tidak percaya adanya perubahan yang dibawa zaman di dalam hal fahaman saya , "Seni untuk Seni" saya menjawab dengan ringkas: "Seni untuk Masyarakat" kedua-duanya sastera, kedua-duanya mungkin berjasa (Hiboran, 30 Disember 1950: 22)
 

Sesungguhnya pula polemik antara dua orang tokoh pengkritik/pengarang ASAS 50, Hamzah-Asraf itu adalah sesuatu yang wajar dan sering tercetus dalam ujana kesusasteraan. Cuma kelahiran konsep "Seni untuk Seni" di tanah air kita agak berlainan dengan apa yang terjadi di Barat, Indonesia, dan Filipina. Di tanah air kita, kelahirannya lebih peribadi sifatnya dan bukan sangat sebagai satu perjuangan tentang konsep kesusasteraan itu sendiri.
Jadi, baik Hamzah mahupun Asraf, masing-masing ikut menyumbang pada kehidupan kesusasteraan sesuai dengan pemikiran dan keyakinan pegangan mereka. Sumbangan itu pasti sahaja ada signifikan dan relevannya.
 
 

Rujukan:

Athi Sivan Mariappan. 1997. Hamzah Hussin: Sekitar Pemikiran Seni untuk Seni. Bagi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Othman Puteh (peny.). 1996. Pagar Bukan Penjara: Kumpulan Cerpen 1947-1968 Hamzah Hussain.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rahman Shaari: 1994. Kritikan Sastera Melayu: Pendekatan dan Pemikiran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kritik Sastera di Malaysia. Kuala Lumpur: Kementerian, Belia dan Sukan.
1982. Warisan Asas 50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
1988. Wajah Biografi Penulis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
 

RUJUKAN : DEWAN SASTERA EDISI INTERNET