Make your own free website on Tripod.com
PENGHAYATAN SASTERA STPM
Soalan Popular Tentang Puisi Tradisional

Oleh AWANG ABDULLAH

CALON akan mendapat markah yang baik sekiranya dapat menjawab seperti yang diminta oleh kehendak soalan; ertinya kita mampu memberi (jawapan) seperti apa yang dikehendaki (diminta).  Markah akan 'kempis' sekiranya kita hanya mampu memberi apa-apa yang kita tahu tetapi bukan yang soalan mahu; lebih teruk lagi kalau calon yang tidak tahu terus merapu.

 Secara umumnya, soalan tentang puisi tradisional akan berkisar pada persoalan bentuk, aspek tema, gaya bahasa, peranan puisi dalam masyarakat, dan apresiasi (penghayatan) ke atas puisi itu, sama ada dalam bentuk penilaian terhadap keindahan, unsur imaginasi atau makna yang didukung oleh puisi itu sendiri (terutama makna yang tersiratnya).

 Sebagai persiapannya, calon-calon haruslah mengambil beberapa langkah yang perlu untuk mendekati soalan untuk puisi tradisional ini.  Oleh sebab sastera cerminan masyarakat dan zamannya, maka dalam usaha kita mendekati puisi Melayu tradisional, mahu atau tidak mahu kita perlu terlebih dahulu mendekatkan diri kita (fahaman kita) terhadap masyarakat Melayu tradisional itu sendiri.  Sesuatu masyarakat tentunya dibina di atas asas sistem pentadbiran serta perundangannya.  Di sini wujud yang dinamakan golongan feudal dan golongan rakyat bawahan (marhaen).  Kedua-duanya mempunyai ciri sosial yang khusus.  Mendekati sesuatu masyarakat pula bererti kita harus menyelami hati budi dan batas nurani mereka. Di sinilah timbul aspek adat, kepercayaan, bahasa, dan budaya masyarakat itu.

 Langkah kedua dan terpenting adalah menyelami isi sastera atau lebih tepat lagi masuk ke dalam aspek kurikulum. Hal ini bermakna kita perlu tahu apa-apa yang ada dalam Sukatan Pelajaran STPM yang baru serta barusaha memahami pelbagai istilah sastera yang digunakan (yang berkaitan dengan puisi tradisional ini).  Kalau kita keliru, jawapan kita akan menjadi haru.  Sebagai contoh, rima dilihat pada persamaan bunyi suku kata akhir, bukannya persamaan bunyi huruf akhir pada baris-baris puisi.  Antara simbol dan perbandingan juga berbeza.  Dalam ungkapan "kumbang menyeri bunga", kumbang adalah simbol jejaka dan bunga simbol wanita/gadis. Manakala dalam ungkapan "bodoh macam lembu", wujud perbandingan bukannya simbol.  Dalam ungkapan ini, bukannya orang itu disimbolkan sebagai lembu tetapi kebodohan orang itu sama (dibandingkan) dengan lembu (yang memang bodoh).  Kesimpulannya, calon perlu benar-benar faham akan istilah personifikasi, simili, metafora, anafora, epifora, ironi, paradoks, simbol, perbandingan, hiperbola, alusi, perulangan, inversi, asonansi, aliterasi, onomatopia, rima, skema, rima serta tahu pula membezakan yang mana puisi tradisional dalam kategori bentuk bebas dan yang mana pula bentuk terikat.

 Puisi tradisional berbeza daripada puisi moden dan puisi itu pula berbeza daripada prosa. Puisi tradisional ada banyak jenisnya. Oleh itu setiap calon perlu mengenali setiap jenis puisi tradisional itu yang mencakupi seloka, teromba, talibun, peribahasa berangkap, mantera, pantun, gurindam, syair, endoi, rejang, zikir, rubai, nazam, masnawi, ghazal, dan qita’ah perbezaannya dengan puisi lain. Pantun dan syair misalnya, wujud persamaan dalam kelainannya. Kita perlu mengetahui perbezaan dan persamaannya.

 Penguasaan istilah (isi) sastera itu harus dilengkapkan dengan kemahiran menguasai trend dan kehendak soalan.  Hal ini bermakna calon perlu tahu skema jawapan yang diperlukan untuk sesuatu soalan itu. Untuk itu calon-calon perlulah mengkaji bentuk-bentuk soalan lepas.  Lihat kecenderungan serta bentuk soalan itu.  Kadang-kadang, soalan tidak sama tetapi kehendaknya serupa. Memahami kehendak soalan dapat mengelak kita memberi apa-apa yang kita tahu sahaja sedang kita perlu memberi apa-apa yang diminta (dikehendaki).
 Selain itu, calon perlu mengetahui bentuk soalan STPM (yang baru ini).  Berdasarkan soalan contoh STPM yang termuat di dalam Sukatan pelajaran STPM terbitan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) 1997, Puisi Melayu Tradisional terkandung di dalam Kertas 922/2 – Penghayatan Kesusasteraan Melayu Tradisional bersama-sama dengan Karya Agung (Bahagian A), dan Prosa Melayu Tradisional (Bahagian B). Calon perlu menjawab empat soalan dengan satu soalan daripada Bahagian A, B, dan C; manakala satu soalan lagi daripada mana-mana bahagian.  Masa yang diperuntukkan untuk kertas ini adalah tiga jam.
 Akhirnya diperturunkan senarai bentuk soalan tentang puisi tradisional ini untuk dijadikan bahan kajian dan latihan calon peperiksaan:
(1) Apakah jenis puisi di atas?
(2) Apakah bentuk kedua-dua ungkapan dalam petikan di atas?
(3) Apakah tema (sebuah/kedua-dua buah) puisi di atas?
(4) Jelaskan corak isi puisi di atas.
(5) Huraikan ciri-ciri puisi di atas.
(6) Jelaskan ciri-ciri puisi di atas dari segi bentuk.
(7) Bincangkan ciri-ciri puisi di atas dari segi isi.
(8) Huraikan persoalan yang terkandung dalam puisi di atas.
(9) Apakah idea yang ingin disampaikan oleh penyair?
(10) Huraikan perbezaan dan persamaan antara kedua-dua puisi di atas.
(11) Apakah mesej puisi di atas?
(12) Apakah unsur pengajaran yang ingin dipaparkan oleh penyair lewat puisinya itu?
(13) Huraikan kesan pemakaian rangkai kata dalam usaha membangkitkan nada.
(14) Huraikan kesan penggunaan teknik pengulangan.
(15) Huraikan kesan pemakaian bahasa kiasan.
(16) Huraikan kesan pemakaian unsur citra dan citraan dalam konteks menyampaikan pemikiran.
(17) Apakah maksud ungkapan yang bergaris dalam puisi di atas?
(18) Nilaikan keindahan pada puisi tersebut.
(19) Huraikan gambaran masyarakat seperti yang dipaparkan oleh puisi di atas.
(20) Nyatakan jenis puisi di atas.
(21) Berdasarkan puisi di atas, bincangkan suku katanya.
(22) Nilaikan penggunaan asonansi dan alterasi pada puisi di atas.

Akhir sekali saya suka berpesan bahawa sekiranya kita ingin menjadi pelajar sastera yang baik, kita perlu masuk ke dalam sastera itu sendiri. Maknanya kita bukan hanya mengambil kertas ini kerana menganggap bahawa sastera mudah dan sekadar untuk lulus peperiksaan semata-mata.  Belajarlah dengan penuh minat barulah Nur Sastera itu akan cepat sampai pada lubuk jiwa, hati nurani kita.
 
 

RUJUKAN: DEWAN SASTERA EDISI INTERNET