Pendidikan Berkualiti Bertaraf Dunia


Oleh Abd Hamid Bin Ahmad (Unit Pengajian Perdagangan)

Antara matlamat Kementerian Pendidikan adalah untuk menjadikan pendidikan di negara ini "bertaraf dunia". Ini merupakan satu reformasi bagi menghadapi alaf baru. Reformasi pendidikan ini amat perlu disegerakan kerana segala perubahan yang berlaku amat pantas terutamanya di dalam era teknologi maklumat.

Kementerian Pendidikan kini telah banyak melaksanakan perubahan. Segala dasar dan perubahan yang diperkenalkan menuntut seluruh kaum pendidik memahami, menghayati dan melaksanakanya dengan sebaik mungkin. Ini bermakna di bahu kaum pendidiklah dipertanggunjawabkan tugas berat bagi merelisasikan segala perubahan yang di bawa.

Persoalan sekarang ialah mengapa kita perlu menjadikan pendidikan Malaysia bertaraf dunia? Apakah selama ini taraf pendidikan kita cukup berkualiti bagi mencapai taraf dunia? Apakah pula kreteria-kreteria kualiti dan penentu-penentu lain yang diperlukan dalam sistem pendidikan untuk menjadikannya bertaraf dunia?

Langkah permulaan kerajaan bagi menjadikan pendidikan negara bertaraf dunia ialah dengan menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa dan menggalakkan penubuhan institusi-institusi pengajian tinggi swasta dari luar negara atau dalam negara. Pada tahun lepas Parlimen Malaysia telah meluluskan Akta Pendidikan Tinggi Swasta bagi memastikan pihak swasta mewujudkan pusat-pusat pengajian tinggi. Ianya bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat negara ini dan rakyat asing melanjutkan pelajaran di negara ini.

Kehadiran ramai pelajar dari negara-negara asing di UIA merupakan satu petanda awal bahawa kita berupaya mewujudkan pusat kecemerlangan ilmu di peringkat serantau mahupun di peringkat antarabangsa. Sekali gus hal ini diharap dapat meningkatkan aliran kemasukan wang ke dalam negara dan dapat membaiki imbangan pembayaran negara.

Bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan institusi pengajian tinggi kerajaan juga sedang giat menjalankan kajian bagi menswastakan beberapa institusi pengajian tinggi sedia ada. Melalui konsep penswastaan adalah diharapkan institusi pengajian tinggi swasta dapat memberi perkhidmatan yang lebih berkesan dan mempertahankan kualiti pengajian tinggi. Keupayaan pihak swasta, terutamanya dari negara-negara tertentu dalam bidang pendidikan berkualiti tinggi, sudah lama terbukti.

Penggubalan Akata Lembaga Akreditasi Negara 1996 (LAN), bagi mengadakan peruntukan-peruntukan khusus untuk menentukan piawaian dan kualiti kursus-kursus pengajian yang dijalankan di institusi-institusi pengajian tinggi swasta dan awam adalah satu bukti kesungguhan Kementerian Pendidikan menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan pendidikan tinggi di rantau ini.

Kerajaan juga berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan kualiti ISO 9000 dalam sektor Perkhidmatan Awam. ISO 9000 adalah satu standard sistem pengurusan berkualiti, yang merupakan satu panduan kepada organisasi untuk meningkatkan proses kerja. Sektor pendidikan juga boleh memperolehi pengiktirafan ini, bagi memastikan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan adalah sentiasa tinggi.

Selain daripada institusi pengajian tinggi, semua peringkat pendidikan di seluruh negara, sudah sampai masanya memastikan satu tahap kualiti yang sewajarnya dilaksanakan. Hal ini terbukti apabila sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah pertama di Negeri Perlis telah berjaya memperolehi sijil pengiktirafan ISO 9002. Ini membuktikan bahawa sektor perkhidmatan pendidikan juga berkeupayaan meningkatkan kualiti sistem pengurusan dan proses kerja mereka.

Adalah dirasakan bahawa kepastian tahap kualiti yang tinggi di peringkat persekolahan rendah dan menengah merupakan penentu kesinambungan tahap kualiti yang ingin dicapai di peringkat institusi pengajian tinggi di negara ini. Perkara ini penting ke arah memertabatkan sistem pendidikan negara supaya bertaraf dunia.

Oleh hal yang demikian seluruh kaum pendidik hendaklah merobah pandangan dan persepsi mereka terhadap perubahan-perubahan yang berlaku. Mereka juga perlu mempunyai pandangan, visi, wawasan dan keterampilan bagi menghadapi cabaran alaf akan datang. Oleh yang demikian kaum pendidik wajarlah mempunyai ciri-ciri kecemerlangan dan melakukan anjakan paradigma bagi membolehkan mereka diiktiraf, sekali gus menjadikan kualiti pendidikan negara bertaraf dunia.

Bibliografi

Abu Bakar Nordin, 1994. Reformasi Pendidikan Dalam Menghadapi Cabaran 2020, Nurin Enterprise, Kuala Lumpur.

Chek Mat, 1996. Pengurusan Berkualiti Dalam Perkhidmatan, Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.

Tajul Ariffin Bin Nordin, 1992. Pendidikan Dan Wawasan 2020, Arina Ilmu Sdm. Bhd., Kuala Lumpur.

Wan Mohd Zahid Mohd Nordin, 1993. Wawasan Pendidikan Agenda Pengisian, Nurin Enterprise, Kuala Lumpur.