Ucapan Pengetua

[Webmaster][e-mail][Comments][View Comments]

(c) 1997 Payung Production


Aassalamualaikum w.t.h. Yang dihormati saudara pengerusi majlis Yang berusaha Tuan Timbalan Pengetua Tn. Hj. Mohd. Badarudin bin Abu Hanafiah Ketua-ketua jabatan dan Ketua-ketua unit Para pensyarah Barisan kepimpinan pelajar Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, saya mengucap berbanyak syukur kepada Allah SWT kerana dipertemukan, buat pertama kalinya dengan tuan-tuan dan puan-puan di majlis perhimpunan ini. Saya merasa sangat gembira dapat bertemu tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Hari pertama saya memasuki kampus IPDA, sebuah kampus yang cantik. Saya lihat sebuah surau, diikuti bangunan pentadbiran, bilik-bilik kuliah dan padang-padang permainan. Saya sangat tertarik dengan susunannya. Ia menggambarkan hiraki keutamaan pendidikan, bermula dengan pendidikan ruhaniah, pendidikan intelek dan pendidikan jasmani. Susunan ini menterjemahkan dengan jelas intipati Falsafah Pendidikan Negara. Inilah ketelitian orang-orang yang merancang pembangunan kampus ini. Sungguh pandai dan bijak. Kemudian saya dibawa ke kamar pejabat, tempat saya akan bekerja sepanjang perkhidmatan saya di sini. Saya sungguh terkejut kerana kecanggihan dan keluasannya, lebih luas dari rumah saya di Johor. Saya merasa gerun dan takut, kerana ia sesungguhnya menuntut tanggungjawab yang besar. Mampukah saya menunaikan tanggungjawab yang besar ini ?

MENERUSKAN YANG BAIK

Saya suka menjelaskan di sini bahawa saya tidak berhasrat untuk mengubah apa-apa yang telah dirancang dan diputuskan. Saya akan bersama membantu usaha-usaha tuan-tuan dan puan-puan. Segala yang baik yang telah dilakukan dan dilaksanakan akan saya hargai dan yang kurang baik kita tinggalkan. Walaubagaimanapun, anjakan paradigma mesti dibuat bagi kita mencipta kejayaan. Mengulangi aktiviti tanpa penilaian adalah membazir dan menjemukan.

DESA PENDIDIKAN IDEAL

Di majlis ini , saya ingin mengajak saudara saudari merenung beberapa perkara yang menjadi hasrat dan impian saya. Semoga impian ini akan menjadi kenyataan, insyaAllah. Saya mengajak saudara saudari untuk sama-sama mengangkat martabat IPDA menjadi sebuah "Desa Pendidikan Ideal". IPDA akan menjadi sebuah institusi pendidikan guru yang paling terkemuka. Segala sesuatu yang wujud di sini akan memancarkan nilai pendidikan yang bermutu tinggi, baik sistem pengurusan, pelaksanaan kurikulum, tenaga pengajar, sumber dan peralatan, bilik-bilik kuliah, longkang dan tandas, bahkan segala apa juga termasuk burung-burung yang berterbangan di udara IPDA akan menjadi contoh terbaik kepada orang lain. Andainya ini berlaku, nescaya kita akan dapat melahirkan guru-guru bestari yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berakhlak mulia, berktrampilan, berdaya tahan dan boleh berperanan dengan berkesan di sekolah-sekolah. Guru-guru yang dilahirkan oleh IPDA akan menjadi guru ideal yang sangat diminati oleh sekolah, dihormati dan diberi pengiktirafan tinggi oleh masyarakat lantaran kebolehan dan keunggulan mereka.

SYURGA PENDIDIKAN

Saya percaya, institut ini boleh menjadi syurga pendidikan dengan segala nikmat yang tidak ternilai harganya sekiranya kita mahu berbuat demikian. Kita boleh menjadikannya tempat untuk membina kecemerlangan diri dan mencapai cita-cita hidup kita. Tempat melahirkan tokoh dan pakar dalam bidang pendidikan. Tempat untuk mengembalikan kemuliaan dan kewibawaan profesion perguruan, kebanggaan dan harga diri yang kian terhakis.

Adalah malang sekali, guru-guru yang setiap hari menghirup udara perguruan, hidup dan bekerja berpuluh tahun di dalamnya, tiba-tiba menjadi pembenci diri sendiri, mengutuk dan menghina profesion yang mulia ini. Setiap hari tidak lain yang terbit dari lidah kita, selain kutukan dan kekesalan kerana telah memilih profesion ini. Berpuluh tahun kita hidup tersiksa. Bagaimanakah kita boleh merasa tenang dan berbahagia bersamanya dalam keadaan sedemikian ? Tidak mungkin kita boleh berbangga dengan profesion ini, apalagi mencintai serta mencurahkan pengorbanan untuk meninggikan martabatnya. Akibatnya, potensi diri tidak

dapat dibangunkan, kita menjadi lemah dan lesu dan akhirnya menjadi pengemis belas ikhsan pihak-pihak lain.

MENCIPTA SEJARAH

Kita perlu meletakkan kembali diri kita di tempat yang sewajarnya. Kita perlu melihat perguruan sebagai profesion yang tinggi. Kita perlu mencipta sejarah. Kita perlu berganjak daripada kerja-kerja rutin yang tidak membawa apa-apa perubahan. Kita perlu menjadi manusia pertama dalam menghasilkan sesuatu. Tokoh-tokoh terkenal di dunia ini disebut bukan kerana mereka membaiki sesuatu yang sudah ada, tetapi kerana menjadi orang pertama menghasilkannya. Sebutlah apa sahaja ciptaan yang dihasilkan, baik rekacipta, falsafah, teori, ideologi maupun sistem atau metodologi, yang tercatit namanya di dalam sejarah ialah orang pertama menciptanya, bukan yang kedua atau ketiga.

BUDAYA INSTITUT MADANI

Untuk mencipta sejarah kita perlu mempunyai budaya yang sihat, budaya yang boleh mendorong ke arah kemajuan dan kecemerlangan, budaya mencipta, kreatif dan inovatif. Andainya budaya kita penuh dengan ciri-ciri dinamisme seperti rajin, bersungguh-sungguh, bersikap terbuka, cintakan ilmu pengetahuan, sanggup berkorban, tidak mementingkan diri sendiri, bekerjasama dan sentiasa mengejar kecemerlangan, sanggup hidup dan bekerja sebagai sebuah keluarga dan pasukan yang padu, beradab dan berprotokol, sudah tentu kita boleh mencapai ketinggian dan keagungan. Janganlah kita menjadi seperti daun, apabila terlerai dari tangkainya, ia akan jatuh menjadi sampah yang menyakitkan.

Saya percaya, IPDA mungkin sudah mempunyai sebahagian daripada budaya tersebut. Budaya yang baik, kita mantapkan, yang buruk kita buang dan yang belum ada kita wujudkan.

Saya ingin mengingatkan saudara saudari agar tidak menunggu masa yang lama untuk melakukan perubahan. Bergeraklah secepat mungkin, kerana saya bimbang, kalau-kalau saya ditukarkan ke tempat lain, tidak sempat untuk berbuat sesuatu, sekadar menjadi seekor nyamuk yang menggigit dan menghisap darah saudara saudari, kemudian pergi. Saya mengharapkan agar dapat kekal lama di sini serta membuat perubahan untuk kebaikan kita bersama.

[Menu][Members][Lingua Franca][News][Tech Talk]