PENYELIDIKAN YANG DIJALANKAN PADA TAHUN 1996



1. TAJUK: KEUPAYAAN GURU PELATIH BARU DALAM MENYELESAIKAN MASALAH BUKAN RUTIN MATEMATIK

OLEH:

LIM KEAT HENG (Ketua), FOO KIEN KHENG, NAGARAJAH LEE, MOHD. JAMIL bin M.NOOR, NOORIZA KASSIM, RAHMAH MURSHIDI, (Jabatan Matematik)

TAHUN: 1996 (Sebuah projek dibawah pembiayaan agensi pusat Kementerian Pendidikan Malaysia)



ABSTRAK

Kajian ini dilakukan untuk menentukan keupayaan menyelesaikan masalah bukan rutin di kalangan guru pelatih baru pengkhususan Pengajian Matematik (DPM) di Maktab Perguruan Sains Bintulu. Kajian ini meninjau sejauhmanakah tahap keupayaan guru pelatih baru dalam tiga langkah proses penyelesaian masalah mengikut Model Polya (1993). Di samping itu kajian ini juga melihat hubungan faktor sikap dengan keupayaan penyelesaian masalah. Instrumen kajian terdiri daripada 2 set soalan berbentuk masalah bukan rutin ditadbirkan ke atas 40 orang guru pelatih yang menjadi sampel kajian ini. Satu inventori sikap juga ditadbirkan. Skim pemarkahan analitik digunakan untuk mendapat skor keupayaan guru pelatih dalam menyelesaikan masalah. Berdasarkan skim pemarkahan ini didapati keupayaan guru pelatih adalah pada tahap sederhana, skor min mereka ialah 76.28 daripada 120 (skor penuh). Dari segi proses penyelesaian masalah, guru pelatih didapati lemah dalam langkah merancang strategi dan melaksanakan strategi dengan betul. Namun begitu, mereka tidak menghadapi kesulitan dalam proses memahami masalah. Kajian ini juga mendapati bahawa hubungan sikap guru pelatih terhadap proses penyelesaian masalah dengan skor keupayaan dikenal pasti satu korelasi yang positif. Ini mencadangkan bahawa sikap adalah salah satu faktor yang perlu diberi perhatian dalam peningkatan keupayan penyelesaian masalah. Berdasarkan dapatan yang diperolehi, kajian ini merumuskan bahawa program peningkatan harus dijalankan supaya guru pelatih dapat meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam penyelesaian masalah terutama sekali masalah bukan rutin. Perhatian juga harus diberikan kepada pendedahan guru pelatih dengan pelbagai jenis masalah bukan rutin. Kajian ini juga mencadangkan beberapa tindakan yang perlu diambil bagi meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah di kalangan guru-guru pelatih.



2. TAJUK: PERSEPSI GURU PELATIH YANG SEDANG MENJALANI PRAKTIKUM TERHADAP KANAK-KANAK BERMASALAH DAN BERKEPERLUAN KHAS DI DALAM KELAS MEREKA. KAJIAN DI BEBERAPA BUAH SEKOLAH DAERAH BINTULU.

OLEH:

ABD. RASHID MOHD. ALI (Jabatan Sains) dan MOHD. KASSIM HJ. JAAFAR (Jabatan Ilmu Pendidikan)

TAHUN: 1996

ABSTRAK


Tujuan kajian ini adalah untuk mengetahui persepsi guru pelatih yang sedang menjalani praktikum terhadap kanak-kanak bermasalah dan berkeperluan khas di dalam kelas mereka. Persepsi yang dikaji terhad kepada empat sudut iaitu persepsi terhadap diri pelajar, terhadap penglibatan dalam pengurusan kelas, terhadap penyediaan ABB dan terhadap strategi pengajaran dan pembelajaran. Adalah dihipotesiskan bahawa persepsi guru pelatih MPSB terhadap kanak-kanak ini adalah pada tahap yang tidak memuaskan. Kajilan ini cuba mencari jawapan kepada beberapa persoalan utama iaitu apakah persepsi guru pelatih terhadap kanak-kanak ini, bagaimana persediaan dan penerimaan guru pelatih terhadap kanak-kanak ini, bagaimana keupayaan mereka mengaplikasikan teori pedagogi di kelas dan apakah mereka telah bersedia untuk menerima dan melaksanakan program Pendidikan Inklusif. Kaedah kajian ini ialah melalui temubual, pemerhatian dan soalselidik untuk mendapatkan data dan maklumat. Kajian ini dijalankan di 12 buah sekolah rendah dan menengah di Bahagian Bintulu. Responden terdiri daripada guru-guru pelatih semester 5, KPLD dan KPLI. Data dianalisa, statistik perihalan iaitu jumlah, kekerapan dan peratusan digunakan untuk memperlihatkan hasil kajian ini. Dapatan penting kajian keseluruhan menunjukkan: a) persepsi guru-guru pelatih terhadap kanak-kanak bermasalah dan berkeperluan khas ini adalah pada tahap yang memuaskan, b) guru-guru pelatih belum bersedia secukupnya untuk menghadapi kehadiran kanak-kanak ini di dalam kelas, c) guru-guru pelatih juga tidak begitu berkeupayaan merealisasikan.



3. TAJUK: PENGAMALAN KOMUNIKASI BERKESAN DI KALANGAN GURU PELATIH SEMESTER 3 DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI BILIK DARJAH KETIKA MENJALANI PRAKTIKUM 1

OLEH:

ROSLI B. ABDUL RAHMAN (Jabatan Bahasa)

TAHUN: 1996

ABSTRAK


Kajian ini bertujuan untuk menilai sejauh manakah pengamalan komunikasi berkesan di kalangan guru pelatih semester 3 semasa pengajaran dan pemelajaran di bilik darjah ketika menjalani praktikum1. Kaedah kajian yang digunakan ialah tinjauan menerusi soal selidik. Sampel kajian terdiri daripada 87 orang guru pelatih semester 3, ambilan Julai 1995, pengkhususan sains dan matematik. Aspek yang dikaji dalam komunikasi berkesan ialah tentang kandungan isi pelajaran, kejelasan isi pelajaran, konteks sosial, kepercayaan daripada murid-murid, kaedah penyampaian dalam pengajaran, kesinambungan isi pelajaran dan keupayaan murid-murid. Pada bab akhir, pengkaji menyarankan beberapa perkara yang perlu diambil berat oleh guru pelatih dalam komunikasi agar menjadi lebih berkesan.


4. TAJUK: PELAKSANAAN MATA PELAJARAN KEMAHIRAN HIDUP DI SEKOLAH RENDAH

OLEH:

ANITA KOSNAN (Jabatan Sains Sosial)

TAHUN: 1996

ABSTRAK


Tujuan penyelidikan ini adalah untuk mengkaji pelaksanaan mata pelajaran Kemahiran Hidup di sekolah rendah di Bintulu, Mukah dan Kapit di Sarawak.

Penyelidikan ini cuba mencari jawapan kepada empat persoalan utama iaitu:-

(i) Bagaimanakah pelaksanaan mata pelajaran Kemahiran Hidup sekolah rendah pada masa kini. (ii) Apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh sekolah rendah semasa melaksanakan mata pelajaran Kemahiran Hidup. (iii) Apakah keperluan dan bidang latihan bagi guru-guru Kemahiran Hidup dalam melaksanakan mata pelajaran tersebut. (iv) Apakah cadangan-cadangan yang sesuai untuk mengatasi masalah-masalah di atas.

Dapatan penting kajian menunjukkan:-

(i) Pelaksanaan mata pelajaran Kemahiran Hidup sekolah rendah tidak berjalan lancar sepertimana yang diharapkan. (ii) Masalah utama pelaksanaan mata pelajaran Kemahiran Hidup sekolah rendah ialah ketiadaan bengkel, peralatan yang tidak cukup dan sebahagian besar guru yang mengajar Kemahiran Hidup tidak mempunyai latar belakang dan latihan formal dalam bidang tersebut. (iii) Guru-guru yang mengajar Kemahiran Hidup sangat memerlukan Kursus Dalam Perkhidmatan tentang pengajaran mata pelajaran tersebut kerana sebahagian besar daripada mereka tidak pernah mengikuti sebarang kursus Kemahiran Hidup.