Penyelidikan yang dijalankan pada tahun 1997

1. TAJUK:

MASALAH KEGAGALAN PELATIH DIPLOMA PENDIDIKAN MALAYSIA OPSYEN SAINS DAN MATEMATIK

OLEH:

DR. HJ. AKBAR B. IBRAHIM (Ketua), ROSLI B. ABD RAHMAN, CHUAH KIM HWA, SUKHDAVE SINGH, TEE KIM TIAN

TAHUN: 1997

ASBTRAK: Tujuan kajian ini untuk menyingkap masalah kegagalan pelatih Diploma Pendidikan Malaysia opsyen sains dan matematik. Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah temubual untuk mencari jawapan kepada masalah yang dikaji iaitu apakah sebenarnya yang menjadi masalah kepada pelatih Diploma Pendidikan Malaysia opsyen Sains dan Matematik sehingga menyebabkan ramai daripada mereka gagal dalam peperiksaan sains dan matematik semester 1. Sampel yang dipilih terdiri daripada guru pelatih semester 2 Diploma Pendidikan Malaysia opsyen sains dan matematik, Maktab Perguruan Sains Bintulu. Berdasarkan kajian, didapati masalah yang menyumbang kepada kegagalan pelatih ialah lemah dalam asas sains dan matematik. Disamping itu, faktor kekurangan masa, masalah pengajaran pensyarah, masalah kertas peperiksaan dan cara belajar pelatih. Pengkaji telah mengemukakan cadangan terhadap masalah ini iaitu keperluan bimbingan dan bantuan dalam sains dan matematik serta teknik belajar yang khas diperlukan.

2. TAJUK:

KESEDIAAN GURU-GURU PELATIH KPA AMBILAN JULAI 1995 (MAKTAB PERGURUAN SAINS BINTULU) MENGHADAPI PRAKTIKUM II

OLEH:

BASKARAN A/L SUBRAMANIAN (Jabatan Ilmu Pendidikan)

TAHUN: 1997

ABSTRAK: Program Latihan Mengajar atau Praktikum adalah satu komponen penting dalam kurikulum di maktab-maktab perguruan di Malaysia. Ianya memberi peluang kepada guru pelatih mempraktikkkan teori yang mereka pelajari dalam konteks sebenar bagi membolehkan mereka meneroka dan memahami perkaitan antara teori dan amalan. Kajian ini bertujuan meninjau kesediaan guru pelatih KPA ambilan Julai 1995 (Maktab Perguruan Sains Bintulu, Sarawak) menghadapi praktikum (peringkat II). Kesediaan mereka dilihat dari aspek mental dan fizikal, pengetahuan dan kemahiran serta sosialisasi. Kaedah kuantitatif dan kualitatif digabungkan dalam pengumpulan data bagi kajian ini. Teknik statistik deskriptif telah digunakan bagi menganalisa data yang dikumpul. Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru pelatih KPA ambilan Julai 1995 (Maktab Perguruan Sains Bintulu) mempunyai kesediaan dalam menghadapi Praktikum II. Namun begitu, ada beberapa perkara yang mempengaruhi tahap kesediaan guru pelatih iaitu penempatan praktikum, maklumat tentang sekolah dan tempat praktikum (bengkel/taklimat praktikum), pengalaman praktikum (Peringkat I), pengalaman sosialisasi di maktab dan pendedahan pengajaran mikro/makro.

3. TAJUK:

PENCAPAIAN KEMAHIRAN PROSES SAINS DI KALANGAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH RENDAH

OLEH:

ZALIHA BT MUSA (Ketua), KAMARIAH BT HJ JINI, TEE KIM TIAN, (Jabatan Sains)

TAHUN:1997

ABSTRAK: Objektif kajian ini ialah untuk menentukan pencapaian pelajar-pelajar sekolah menengah rendah di dalam kemahiran proses sains dan membandingkan pencapaian di antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Instrumen kajian, Ujian Kemahiran Proses Sains Asas (UKPSA) dan Ujian Kemahiran Proses Sains Bersepadu (UKPSB) yang diterjemah dan diubahsuai daripada Vantipa Roadrangka et. al. (1996) digunakan untuk mengukur pencapaian pelajar di dalam kemahiran proses sains. Sampel kajian terdiri daripada 200 pelajar tingkatan dua (min umur 14.28 tahun) daripada 3 buah sekolah di bandar Bintulu yang dipilih menggunakan persampelan rawak berlapis. Hasil kajian mendapati bahawa pelajar dikaji mempunyai min respon betul melebihi 50% untuk semua kategori kemahiran proses sains asas yang dinilai kecuali di dalam kemahiran meramal. Pencapaian pelajar di dalam kemahiran proses sains bersepadu adalah lemah di mana min respon betul untuk semua kategori kemahiran proses sains bersepadu yang dinilai adalah kurang daripada 50%. Pelajar perempuan mempunyai min skor yang lebih tinggi secara bererti (p<0.05) daripada pelajar lelaki di dalam kemahiran mengenal pasti pembolehubah.

4. TAJUK:

KEMAHIRAN MENYOAL DI KALANGAN GURU PELATIH SEMESTER LIMA DALAM PENGAJARAN MATEMATIK

OLEH:

MOHD. SHUKOR B. ABAS (Jabatan Hal Ehwal Pelajar) dan NOR ALIZAH BT ALIAS (Jabatan Sains Sosial)

TAHUN:1997

ABSTRAK: Kajian ini melihat apakah aras-aras soalan lisan yang digunakan oleh guru-guru pelatih dalam pengajaran matematik semasa praktikum. Data-data dikumpul melalui rakaman audio sesi pengajaran satu jam disamping pemerhatian. Kajian ini mendapati purata soalan lisan yang dikeluarkan adalah 36 soalan dan 80.46% daripada soalan yang dikemukakan oleh responden adalah aras tertumpu rendah dan 14.21% pada aras tertumpu tinggi. Manakala cuma 5.33% adalah soalan mencapah rendah dan tiada soalan langsung pada aras mencapah tinggi. Kesimpulannya hampir 86% soalan lisan adalah pada aras yang rendah iaitu pada aras pengetahuan, kefahaman dan aplikasi sahaja.

5. TAJUK:

KAJIAN TINJAUAN MENGENAI KEBERKESANAN BIMBINGAN KEPADA GURU PELATIH MPSB SEMASA PRAKTIKUM II, MAKTAB PERGURUAN SAINS BINTULU.

OLEH:

MOHD. YUSOFF HJ. MOHD. SHARIFF (Jabatan Sains)

TAHUN: 1997

ABSTRAK: Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk meninjau keberkesanan bimbingan kepada guru pelatih Maktab Perguruan Sains Bintulu semasa praktikum II. Kajian ini cuba mencari jawapan kepada dua persoalan utama iaitu adakah bimbingan yang diberikan oleh pensyarah pembimbing berkesan serta menepati objektif praktikum dan adakah bimbingan oleh guru pembimbing mampu menyediakan guru permulaan yang berketrampilan.

Kaedah tinjauan menggunakan soal selidik telah digunakan untuk memperolehi data dan maklumat. Lokasi kajian ini ialah di sekolah-sekolah di Bahagian Miri, Bintulu dan Sibu di mana pelatih MPSB menjalani praktikum II. Responden adalah terdiri daripada guru-guru pelatih KPLI dan KPLD Semester II (Sains dan Matematik) serta KPA Semester V. Data dianalisa secara statistik perihalan iaitu jumlah, peratusan, min dan kekerapan digunakan untuk memperlihatkan hasil kajian ini. Dapatan penting kajian keseluruhan menunjukkan bimbingan oleh guru pembimbing kurang diyakini oleh guru pelatih; terdapat percanggahan dari aspek bimbingan di antara pihak MPSB dan pihak sekolah; dan bimbingan pensyarah pembimbing telah mencapai objektif yang diharapkan.

6. TAJUK:

KESAN PENDEKATAN PENYELESAIAN MASALAH KE ATAS PENCAPAIAN MATEMATIK DAN SIKAP TERHADAP MATEMATIK.

OLEH:

NAGARAJAH LEE (Ketua) , FOO KIEN KHENG, LIM KEAT HENG, ABD. GHAFFAR MOHD. NOOR & NOORIZA KASSIM ( Jabatan Matematik)

TAHUN: 1997 (Sebuah projek dibawah pembiayaan agensi pusat Kementerian Pendidikan Malaysia)

ABSTRAK: Kajian ini bertujuan mengkaji keberkesanan Pendekatan Penyelesaian Masalah berbanding dengan Kaedah Penyampaian Langsung (Direct Instructional Method) dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran matematik. Ujian pra dan pasca serta satu set soal-selidik ditadbirkan untuk mengumpul data kajian. Data menunjukkan bahawa terdapat peningkatan yang signifikan terhadap pencapaian matematik guru pelatih ambilan Jun 1996 bila pendekatan penyelesaian masalah digunakan berbanding dengan Kaedah Penyampaian Langsung. Pendekatan Penyelesaian Masalah memberikan kesan positif ke atas sikap guru pelatih terhadap matematik. Adalah disyorkan agar para pendidik maktab dan sekolah menggunakan pendekatan ini disamping mencuba kaedah tradisional sebagai alternatif kepada Kaedah Penyampaian Langsung.