Visi Muslim
1 Februari 1998

Memperkasa generasi muda mendepani era mega maya

GENERASI muda adalah generasi terbaik untuk mengalami proses pembentukan mental, pembangunan sahsiah dan ketangkasan fizikal. Mereka memiliki potensi pelbagai dan kejayaan mencernanya dengan baik boleh menyumbang ke arah pembangunan sumber daya insan berkualiti. Satu aspek yang amat penting dalam pembangunan potensi generasi muda ialah aspek kepemimpinannya. Kepemimpinan tidak hanya dibatasi dalam pengertian sempit, tetapi merangkumi aspek kepemimpinan diri, keluarga, organisasi atau institusi, masyarakat, negara dan umat.

ERA mega maya dalam aspek teknologi dan sistem maklumat sedang memberikan perubahan yang amat radikal terhadap orientasi kepemimpinan. Generasi muda yang berpeluang menimba ilmu pengetahuan dan ketrampilan sedang menikmati kesan perubahan sosial, ekonomi, politik, pemikiran dan kebudayaan, memerlukan cara gaya kepemimpinan baru yang mampu menangani cabaran semasa yang kompleks. Cabaran kepemimpinan baru tidak saja perlu mengukuhkan landasan yang menjadi tunjang kekuatan seperti bahasa, budaya, agama dan pemikiran tetapi juga keupayaan melakukan penyesuaian secara dinamik dan kreatif dengan mengambil kira aspek masa lalu, masa kini dan masa depan sebagai faktor pengukuh dan penyambung.

Kepemimpinan dalam pengertian luas bermula dengan kepemimpinan diri. Fokus mengenai upaya kepemimpinan diri tidak hanya disandarkan kepada kekuatan mental tetapi lebih utama kepada faktor dalaman iaitu hati. Pembinaan hati menjadi kunci pembinaan sahsiah dan tingkah laku kerana keteguhan hati mampu memberikan landasan keikhlasan, kejujuran, amanah dan ketinggian hemah. Faktor ini amat penting dalam mengisi makna kepemimpinan dan kepemimpinan itu tidak harus dilihat sebagai suatu kesempatan, sebaliknya ia suatu amanah. Akauntabiliti kepemimpinan tidak saja dihubungkan antara diri dan orang lain tetapi lebih utama ialah hubungan diri dan Penciptanya.

Apabila hubungan diri dan Penciptanya erat, hubungan dengan persekitaran diri pasti bertambah kuat. Keeratan hubungan diri dan Pencipta dalam manifestasi yang pelbagai (sembahyang, puasa, haji, zakat, sadekah, amal jariah dan sebagainya) tidak hanya dalam batas peribadatan khusus (ritual) tetapi kesan atau hikmahnya merentasi manfaat kehidupan yang sebenar. Di sinilah terletaknya cabaran kepemimpinan diri dalam kedudukan yang pelbagai. Manifestasi ibadat bukan hanya terbatas kepada keperluan fardi (diri) tetapi ia merentas faktor di luar diri. Faktor luar diri inilah cabaran terpenting bagi mereka yang beriman dan berilmu supaya keimanan dan keilmuan dapat diserlah dalam pengertian amal yang luas maksudnya.

Kepemimpinan dalam era mega maya tidak saja dituntut memiliki dan menguasai ilmu dan ketrampilan yang seimbang, semasa dan sezaman tetapi memerlukan upaya strategik yang tinggi kerana wujudnya faktor di dalam dan luar lingkungan diri dan kelompok yang tidak memihak kepada kita. Era mega maya tidak saja meletakkan kita sebagai diri dan umat pengguna tetapi penumpang kepada arus perjalanan sejarah yang kencang dan laju. Sama ada kita menyumbang ke arah pembentukan kepemimpinan, budaya, pemikiran telus ataupun sebaliknya bergantung kepada setakat mana generasi muda melihat pentingnya kepemimpinan berkualiti terhadap umat.

Ada tiga tahap yang perlu dibina dalam konteks kepemimpinan khususnya bagi menghadapi cabaran era mega maya. Era mega maya dalam konteks Koridor Raya Multi-Media (MSC) umpamanya memberi implikasi wujudnya kerajaan elektronik dan penguasaan elektronik secara meluas dan aplikasi MSC bukan saja berpusat di bidang pengurusan organisasi dan institusi tetapi merentasi bidang pendidikan dan pengilmuan, kesihatan, perdagangan dan ekonomi di samping sistem pemaklumatan itu sendiri. Mendepani alaf mendatang, kepemimpinan muda harus memiliki ciri penguasaan dan pemikiran elektronik dan digital tetapi sekali gus mengukuhkan aspek keinsanan dan keihsanan.

Hal ini dibangkitkan kerana aspek elektronik adalah aspek alat atau perkakasan tetapi mutu keinsanan dan keihsanan diukur setakat mana alat dan maklumat mampu membangunkan hati dan diri sekaligus tidak mengbilangkan akauntabiliti insan dengan Khaliqnya. Akauntabiliti insan menghubungkan matlamat pembangunan manusia seutuhnya tanpa menafikan kepentingan teknologi dan sistem elektronik. Aspek elektronik, secanggih mana sekalipun tetap berfungsi sebagai alat dan ia akan berguna dan bermenfaat jika mampu membangunkan minda umat dengan nilai yang baik dan berguna. Nilai itu pula dapat membantu membentuk sikap yang betul dan sempurna. Asas inilah yang menjadi titik-tolak lahirnya tamadun meskipun faktor elektronik semakin canggih.

Tahap pertama ialah keupayaan kepemimpinan memiliki ilmu asas yang sepadu sekali gus memahami faktor semasa yang sifatnya berkembang. Realiti kehidupan bukanlah suatu kekosongan (vacuum) tetapi tersedia dengan cabaran yang pelbagai dan kompleks dan menuntut tampilnya alternatif serta pendekatan. Pada tahapini kepemimpinan muda harus mampu memiliki kesedaran sekali gus membina pula kesedaran terhadap rakan sebaya dan masyarakat mengenai pentingnya mutu kepemimpinan dibina dan sekali gus menginsafi cabaran sezaman, masa depan yang sengit dan kompleks. Dalam era mega maya, perkembangan aspek komunikasi, telekomunikasi dan multi-media berlaku dengan pesat sekali. Yang terdengar oleh kita ialah respon reaktif dan rasa bimbang mengenai kesan internet E-mail, homepej dan lain-lain terhadap pemikiran generasi muda dan masyarakat pengguna.

Respon terhadap kesan negatif Internet adalah sesuatu yang wajar. Tetapi melupakan menfaat Internet sebagai alat menyampaikan maklumat adalah sesuatu yang tidak wajar. Lebih tidak wajar lagi kalau generasi muda hanya menjadi pengguna setia terhadap 'information enterprise' dalam bentuk perisian yang bersifat memihak dengan melupakan tanggungjawah membangunkan khazanah maklumat berasaskan nilai, budaya dan tradisi. Sikap proaktif ini perlu bagi kepemimpinan muda supaya kesedaran ini menjadikan kita arif mengenai faktor berbanding yang bermanfaat di samping usaha membangunkan rangkaian maklumat kita sendiri yang sifatnya menyumbang ke arah yang lebih baik.

Tahap kedua yang perlu ada bagi kepemimpinan muda ialah keupayaan menguasai ilmu dan ketrampilan di samping pembinaan sahsiah yang tinggi. Tahap kesedaran yang tinggi saja tidak mamadai jika limu pengetahuan terbatas, ketrampilan baru tidak dikuasai dan kekuatan peribadi tidak dibina dan dimatangkan. Mendepani faktor ruang dan masa yang sifatnya dinamik menuntut berlakunya proses latihan serta latihan semula di samping mengukuhkan aspek pendidikan berterusan. Perkembangan dunia pengkomputeran umpamanya amat maju dan pelbagai. Maklumat baru dan tidak terbalas sifatnya mudah diperolehi dari lnternet. Hal ini tidak sama dengan perkembangan konvensional alaf terdulu. Keberkesanan kepemimpinan muda menerusi proses pengupayaan ini penting untuk membolehkan kualiti kepemimpinan dapat dipertahankan berasaskan tahap pengupayaan yang berterusan.

Hal berkaitan juga merujuk kepada aspek pengurusan elektronik masa depan. Kepemimpinan muda sewajarnya melengkapkan diri dengan aspek ini supaya kehadirannya sebagai pemimpin di peringkat yang berlainan bersifat menyumbang bukan membebankan. Menyumbang bermaksud keupayaan limu dan ketrampilannya mampu memacu daya juang umat dengan memberikan kepemimpinan yang baik dan kepengikutan membina. Membebankan bermaksud ketidakupayaan intelek berkembang, kebekuan ketrampilan yang dimiliki menjadikannya hilang kekuatan.

Tahap ketiga ialah pencernaan atau menterjemahkan idea atau gagasan yang baik ke dalam realiti kehidupan dan sistem. Kesedaran, keilmuan dan pendidikan merupakan tahap penting ke arah kepemimpinan berkesan. Keberkesanan hakiki hanya dapat dilihat jika realiti kehidupan dan sistem melalui proses transformasi yang bermakna. Masyarakat atau umat diberikan model alternatif atau yang lebih baik supaya dalam konteks perubahan mega maya yang sedang berkembang pesat di segenap peringkat, kepemimpinan muda memiliki kemampuan mengemukakan perisian yang menyerasikan maklumat dengan kebenaran, multimedia dengan pembinaan diri dan peribadi.

Tahap ini adalah amat kompleks menginsafi proses perubahan berkesan menuntut kesabaran, kebijaksanaan dan pemahaman terhadap faktor strategik. Keupayaan kepemimpinan dalam teknologi maklumat dan multimedia bakal menjadi landasan kukuh untuk melepasi diri daripada tahap pengguna dan penumpang ke tahap penyumbang. Kepemimpinan seperti inilah yang mampu meletakkan asas tamadun tinggi yang bukan saja memiliki dinamika untuk berubah tetapi sekali gus menitipkan perubahan yang bermakna.

Generasi muda Islam harus menginsafi globalisasi dalam bentuknya yang ada bukanlah agenda kita. Meskipun ada aspek berbanding yang bermanfaat boleh kita jadikan sumber bandingan namun tasawwur lslami selamanya mendukung proses pensejagatan seimbang. Universalisme dalam pengertian Islam mengajukan faktor 'litarrafu' iaitu faham kekenalan mengenai wujudnya kepelbagaian dan rahmah alamiah (rahmatan lil 'alamin) dalam misi kerasulan supaya manusia kembali kepada fitrah diri dan kehidupan. Di dalam apa bentuk perubahan dan kemajuan, manusia sebagai khalifah dan hamba akan sentiasa melihat kepemimpinan sebagai suatu akauntabiliti atau amanah dan meletakkan akauntabiliti itu dalam rangka abdillah (hamba Allah). Falsafah kehambaan kepada Allah meletakkan manusia dengan akauntabilili. Rasa ketaatan, keakuran, penyerahan dan ketundukan seperti yang dilakukan pada waktu ruku dan sujud dalam solat diterjemahkan dalam batas tidak melakukan kekejian dan kemungkaran atau perkara yang menyalahi perintah Allah. Jika pemimpin memiliki rasa kehambaan yang tinggi, ia sering menghubungkan penanggungjawaban sebagai suatu amanah yang nanti akan dihisab semula di depan Khaliq. Natijah inilah yang melahirkan pemimpin berkualiti tinggi yang bukan saja hebat ibadatnya tetapi memberi hikmah yang cemerlang kepada manusia.

Kepemimpinan ummatik dalam era mega maya bukan saja mengundang pemimpin yang celik ilmu, ketrampilan dan celik teknologi dengan memberikan pimpinan yang tepat ke arah keperluan sezaman dan hari depan.

Kepemimpinan ummatik pada era ini menuntut upaya strategik yang luar biasa kerana kemelut umat Islam itu sendiri semacam menyulitkan mereka keluar dari suatu belenggu yang amat mencengkam. Terbebas daripada suatu episod penjajahan politik dan ekonomi, kemerdekaan negara umat meletakkan mereka dalam penjajahan pemikiran yang parah. Proses kemajuan di Barat dijadikan titik-tolak kemajuan tanpa kembali kepada diri dan tradisi unggul sebelum dijajah. Ia menyebabkan pengukuhan kembali elemen sekular dan materialisme sehingga penjajahan pemikiran merintis jalan ke arah penjajahan kebudayaan.

Apalagi di tengah kemakmuran ekonomi yang banyak digerakkan faktor di luar lingkungan, kita semakin gawat untuk melepasi diri dari belenggu yang amat mencengkam. Di sinilah perlunya kepemimpinan berwibawa tinggi yang memiliki kualiti sejagat, menekuni isu dan masalah dengan bijaksana sekali gus bertekad menyusun kembali struktur kepemimpinan, pendidikan, teknologi maklumat, sosial dan ekonomi yang sentiasa mempertahankan nilai persamaan, kemanusiaan dan keadilan.

Oleh itu, generasi muda harus memiliki kepekaan mengenai apa yang sedang berlaku di sekelilingnya. Kepekaan tidak hanya difahamkan sebagai memberi kesedaran tetapi perubahan dan kepemimpinan berkesan mesti dikukuhkan dengan penguasaan ilmu khususnya berkaitan faktor mega maya yang sedang berkembang pesat. Harus ada suatu tekad ilmu dan ketrampilan akan hanya memberi makna yang sebenar jika diterjemahkan ke dalam realiti. Menterjemahkannya ke dalam realiti terutama yang bertunjangkan tasawwur Islami menuntut upaya strategik yang luar biasa. Di sinilah letaknya cabaran generasi muda di era mega maya.