Visi Muslim
1 Februari 1998

Musyawarah cara terbaik tangani masalah

APABILA Perang Badar berakhir dan umat Islam menawan beberapa orang Quraisy, Rasulullah bertanyakan Abu Bakar dan Umar: "Apa pendapat kalian berkenaan tawanan ini?" Abu Bakar menjawab: "Wahai Rasulullah, mereka itu saudara mara dan handai taulan.

"Pada hemat saya, kita berikan mereka kebebasan dengan syarat mereka membayar wang tebusan. Maka kita akan memiliki kekuatan dan mudah-mudahan Allah akan memberi hidayat kepada mereka untuk masuk Islam."

Nabi berpaling kepada Umar seraya berkata: "Apa pendapat engkau, wahai Ibn al-Khattab?" Umat menjawab: "Demi Allah, saya tidak sependapat dengan Abu Bakar. Tapi, pada hemat saya jika engkau membolehkan kami untuk membunuh mereka, maka Ali membunuh Aqil, saya membunuh saudara saya sipolan dan seterusnya. Sesungguhnya mereka itu pemimpin kafir dan penguasanya."

Nabi bagaimanapun condong kepada pendapat Abu Bakar dan membebaskan mereka yang membayar tebusan. Hukuman ringan tidak diberikan kepada Ibn Baida yang selalu mempersendakan Islam. Dia dihukum bunuh. (Perhatikan hadis riwayat Ahmad & Muslim)

Musyawarah Nabi tidak hanya dilakukan dalam peperangan, bahkan baginda meminta pendapat mengenai banyak perkara daripada sahabat.

Abu Hurairah berkata: "Aku tidak pernah melihat sesiapa pun yang lebih banyak melakukan musyawarah dengan sahabatnya daripada Rasulullah." (HR Tarmizi)

Musyawarah adalah perundangan dengan pihak lain untuk menyelesaikan masalah atau mencapai persetujuan. Ia diperintahkan oleh al-Quran menerusi ayatnya bermaksud: Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah kepadamu (wahai Muhammad), engkau sudah bersikap lemah kepada mereka (sahabat-dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

"Oleh itu ma'afkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan) itu.

"Kemudian apabila engkau sudah berazam (sesudah bermusyawarah untuk membuat sesuatu), maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya." (QS Ali Imran: 159)

Dalam sistem demokrasi Islam, pendapat minoriti mestilah mengikut pendapat majoriti dalam perkara yang berorientasikan ijtihad. Ini pernah dicontohkan oleh Nabi dengan sabdanya kepada Abu Bakar dan Umar: "Andainya kalian bersetuju dalam memusyawarahkan sesuatu, aku pasti tidak akan berbeza pendapat dengan kalian." (HR Ahmad)

Perkara di atas ditunjukkan oleh Nabi kerana Islam menganggap orang yang melaksanakan musyawarah termasuk ke dalam golongan orang beriman yang tinggi darjatnya.

Al-Quran menyatakan, maksudnya: "Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermusyawarah sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian daripada apa yang kami beri kepadanya." (QS asy-Syura: 38)

Ibnu Atiah (w 542H), seorang ulama terkemuka pada zamannya menyatakan: "Musyawarah adalah bahagian daripada kaedah syarak dan ketentuan hukum.

"Pemimpin yang tidak bermusyawarah dengan ulama dan cendekiawan mesti dijauhi dan ini adalah perkara yang tidak ada perselisihan mengenainya."

Jika ada orang yang datang kepada kita untuk bermusyawarah dan kita boleh memberikan pendapat, maka ia merupakan suatu kewajipan. Nabi bersabda: "Jika salah seorang daripada kalian memohon pendapat suadaranya maka berikanlah pendapatnya." (HR Ibn Majah) Dan dia mesti amanah dalam memberikan pandangannya itu agar tidak dianggap pengkhianat (lihat hadis riwayat Ahmad) kerana "Penasihat akan selalu dipercaya." (HR Abu Daud)

Menerusi musyawarah, pelbagai masalah dengan mudah dapat ditangani dan ia adalah asas keharmonian dan kejayaan seperti disabdakan Nabi: "Sekali-kali orang yang selalu bermusyawarah tidak akan sengsara manakala orang yang tidak menghiraukannya tidak akan berbahagia." (Lihat Tafsir al-Qurtubi)