From astra@tm.net.mySat Apr 18 10:43:02 1998
Date: Fri, 17 Apr 1998 01:22:09 +0800
From: Ayah Aji (astra@tm.net.my)
To: "hizb@hizbi.net"
Subject: H-Net* JIKA KITA SAYANGKAN AHLI UMNO ***************************************** DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI ***************************************** Assalaamu?alaikum wa RahmatulLaahi wa Barakaatuh *****************************************

"Jika kita benar-benar sayangkan saudara kita yang berada di dalam UMNO, selamatkan mereka daripada dosa syirik atau dosa bersubahat dengan mereka yang mensyirikkan Allah SWT. Nyatakan dengan sejelas-jelasnya bahawa perjuangan UMNO yang menolak tepi atau mengkesampingkan hukum Allah dengan hukum ciptaan manusia yang berlawanan dengan hukum Allah SWT, serta menjunjung dan mendaulatkan Perlembagaan Lord Reid adalah satu kemungkaran besar, adalah suatu penderhakaan terhadap Allah Yang Maha Berkuasa yang tidak akan dapat ditebus oleh sejuta masjid yang telah, sedang dan akan dibina oleh UMNO.

Nyatakan dengan penuh kasih sayang bahawa dasar perjuangan dan yang dilakukan oleh UMNO bertentangan dengan dua kalimah syahadah yang dilafazkan, solat yang dilaksanakan, zakat yang dikeluarkan, puasa yang dilakukan dan haji yang disempurnakan. Dasar UMNO dan apa yang dilakukan oleh kerajaan UMNO/BN menyanggah Tauhid Asmak was Sifat dan Tauhid Uluhiyyah.

Kasihanilah mereka, serulah mereka kepada jalan tauhid, selamatkan mereka daripada jalan dan perjuangan syirik. Oleh sebab aqidah adalah tunjang agama Islam, kita perlu berterus terang dalam membicarakan isu tauhid dan syirik kepada saudara-saudara kita dalam UMNO. Terangkan dengan sejelas-jelaskan agar mereka faham dan insaf. Insya-Allah apabila sudah faham, ahli-ahli UMNO yang ikhlas dan sayangkan iman dan agamanya akan tidak teragak-agak keluar dari UMNO. Inilah yang saya lakukan hampir setiap hari kepada saudara mara saya, sahabat handai saya yang menjadi pemimpin, ahli atau penyokong-penyokong UMNO. Di samping itu, kita perlu berdoa agar mereka diberikan hidayah dan taufik oleh Allah SWT untuk dapat membezakan antara hak dan batil, menolak yang batil dan menerima yang hak.

Orang UMNO yang ikhlas berjuang untuk agama dan untuk mendapat keredhaan Allah SWT, bukan untuk kerana habuan dunia, insya-Allah akan mudah dapat mengenal yang mana hak dan yang mana batil. Orang UMNO yang ikhlas dan berbimbang dengan imannya akan merasa takut dengan dosa syirik yang jelas dapat dilihat pada dasar dan amalan perjuangan UMNO. Orang UMNO yang cintakan Islam amat merasa sedih apabila undang-undang Allah SWT seperti undang-undang hudud ditolak tepi dan mufti yang berani menyatakan kebenaran dipecat, manakala ratu cantik dibela oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Orang UMNO yang takut kepada dosa, tentu benci kepada riba, judi dan arak, pusat-pusat hiburan seperti ?pusat karaoke, ?pusat dangdut', kelab-kelab malam, pergaulan bebas dan pendedahan aurat oleh pemimpin-pemimpin mereka yang berkembang pesat dan meruntuhkan akhlak muda mudi. Orang UMNO yang bencikan rasuah tentu jijik dan tertanya-tanya bagaimana wakil-wakil rakyat, exco dan para menerti mereka dalam masa yang singkat menjadi kaya raya dan menjadi jutawan serta dapat hidup bermewah-mewah, tidak seperti sebelumnya. Tentu mereka boleh mengambil iktibar daripada kenyataan berikut; Ada empat jenis pemimpim,

Pertama, sebelum menjadi pemimpin ia miskin, sesudah menjadi pemimpin ia kaya raya. Kedua, sebelum menjadi pemimpin, ia miskin, sesudah menjadi pemimpin ia tetap miskin. Ketiga, sebelum menjadi pemimpin ia kaya, sesudah menjadi pemimpin ia kaya. Keempat, sebelum menjadi pemimpin ia kaya, sesudah menjadi pemimpin ia menjadi miskin

Orang UMNO yang cintakan bangsanya tentu marah apabila melihat pemimpin mereka berebut-rebut dan bergaduh-gaduh serta mengamalkan politik kotor dan politik wang kerana mengejar jawatan parti, tetapi perjuangan mereka jelas merugikan bangsa sendiri. Kejayaan orang Melayu yang dapat dilihat hanyalah satu fatamorgana hanya satu bayangan yang menipu daya, hanya untuk sebahagian orang Melayu tertentu sahaja. Sekarang semakin menghilang ditelan naga, singa dan ular yang sentiasa menunggu mangsa dan mengambil kesempatan yang ada. Hak-hak istimewa orang Melayu, sudah tinggal hanya pada nama sahaja. Contoh : Biasiswa dah tak ada!!! Hendak melanjutkan pelajaran di IPT yang semakin meningkat kosnya, cari sendiri, atau terpaksa berhutang besar!!! Kelebihan kita sebagai bumiputera, berbanding dengan bangsa-bangsa lain sudah hilang, bahkan bangsa-bangsa lain pula yang nampaknya mempunyai lebih banyak kelebihan!

Orang UMNO yang matlamat hidupnya adalah habuan dan kemewahan dunia; tentang iman, tauhid, syirik, Islam, dosa, pahala maruah diri, akhlak, tidak begitu penting. Yang penting bagi mereka ialah jawatan yang setinggi-tingginya, kuasa yang tidak boleh dicabar oleh sesiapapun, wang, wang, wang, wang, wang berbillion-billion, kaya, kaya, kaya macam Qarun lagi baik, jutawan, jutawan seperti Bill Gates, kemewahan, kemewahan, kemewahan seperti Firaun, hiburan, hiburan dan hiburan seperti Emporer Caligula....... Jika adapun ingatkan akhirat, ia hilang selepas salam dalam solat, ia hilang apabila bertemu dengan ahli-ahli korporat yang tentunya akan menawarkan sesuatu yang dahulunya ia tidak miliki atau mimpikan, dengan syarat......tst lah!!

Orang UMNO macam ini, hidup dalam kepuraan, bersifat nifaq yang amat ketara. Mereka pandai berlakon di hadapan orang ramai terutamanya pengundi. Lakonan mereka amat realistik. Kata-kata mereka amat memukau. Janji-janji mereka amat menggiurkan, sehingga tanah negeri dan hartanah tergadai kepada bangsa asing, hazanah negara kepunyaan rakyat dapat dibaziri, tetap rakyat akan memuji, sebagai pejuang bangsa, agama dan negara yang mesti disokong! Golongan ini tidak ramai, tetapi berpengaruh dalam parti. Mereka menjadikan ahli-ahli parti alat dan kuda tunggangan mereka untuk terus kekal berkuasa dan membolot kekayaan negara!

Dengan kuasa yang ada pada pemerintah, mereka menguasai media massa dan seterusnya menguasai minda rakyat. Apabila minda rakyat telah dikuasai, jiwa dan mereka juga boleh dikuasai oleh pemimpin-pemimpin negara. Kemahiran UMNO dalam komunikasi memang 1st Class. Kemahiran UMNO dalam Perhubungan Awam (PR) memang 1st Class. Kemahiran UMNO dalam melakukan ?Damage Control' memang 1st Class. Kemahiran UMNO dalam melakukan pembohongan adalah 1st Class, hinggakan jika UMNO kata ?yang putih itu hitam, dan yang hitam itu putih', rakyat, termasuk juga golongan intelek separuh masak, akan mempercayainya, walaupun mata mereka nampak putih itu putih dan hitam itu hitam!

Namun, mereka ini pun jika kita terangkan tentang dosa syirik yang mereka lakukan, dan terangkan bahawa amalan mereka bertentangan dengan syahadah mereka, dan jika mereka mahu mendengarnya walaupun sekejap, insya-Allah akan mendapat hidayah dan taufik dari Allah SWT. Tetapi biasanya golongan yang cintakan dunia ini, apabila kita buka mulut hendak menceritakan tentang tauhid dan syirik, siang-siang dah belah dengan berbagai-bagai alasan. Ada yang lebih dahsyat lagi, iaitu menghukumkan kita sebagai golongan fanatik, menyeleweng, sesat, pemecah belah dan sebagainya!

Namun demikian, kita tidak boleh putus asa. Jangan bencikan diri mereka. Kita kena tetap berhubungan dengan mereka dengan penuh kesabaran dan sebutkan nama mereka dalam doa kita. Insya-Allah satu hari nanti mereka (kalau tak semua pun) akan sedar kesilapan mereka, dan kembali kepada perjuangan yang benar iaitu perjuangan Islam.

Sebagai peringatan, usaha memperbaiki UMNO, tidak perlu dilakukan dengan menjadi ahli UMNO. Jika UMNO macam parti Berjasa atau Hamim, mungkin boleh diluluskan syarak, kerana dasarnya kedua-dua parti itu ialah Islam dan matlamatnya pun adalah untuk mendaulatkan Islam, walaupun ia bukan sesuatu tindakan yang baik. Tetapi UMNO terang-terang adalah sebuah parti sekular yang mana sekularisme pada hakikatnya adalah juga satu agama (walaupun ia ciptaan manusia). Ia menjadikan otak/minda manusia sebagai sumber hukum tertinggi, bukannya Al-Quran, Hadis, Qiyas dan Ijmak Ulamak. UMNO mengambil sifat Hakimiyah Allah iaitu sifat/hak membuat hukum. Ini adalah satu kesyirikan kepada Allah. UMNO mengubah hukum Allah SWT. Ini juga juga satu bentuk kekufuran yang nyata! Jadi, jika kita masuk UMNO dengan tujuan hendak memperbaikinya dari dalam, bolehlah diqiyaskan memasuki agama Kristian untuk memperbaiki dari dalam dan menyelamatkan penganut-penganut Kristian! Belumpun mereka jadi orang Islam , kita sudah menjadi kafir! Mungkin orang lain yang bijak pandai, mempunyai fahaman yang berbeza, tetapi daripada pengajian Ayah Aji, masuk UMNO,bererti mencampakkan diri kita ke dalam bahaya, iaitu bahaya syirik, secara terus atau sebab bersubahat.

UMNO boleh diperbetulkan dari luar. Tidak perlu dari dalam. Walaupun usaha ini nampaknya sukar, namun ia bukanlah suatu usaha yang mustahil. Buktinya, ramai ahli UMNO telah keluar UMNO (termasuk diri saya, ayah saya, ibu saya, abang-abang dan kakak saya, termasuk ipar, anak saudara, sepupu dan ramai lagi) apabila datang yang hak, maka runtuhlah kebatilan. Fenomena orang UMNO dan orang atas pagar keluar UMNO jelas kelihatan di mana dakwah dan penerangan Islam giat dijalankan, terutamanya di Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu. Apabila ramai ahlinya keluar, dan UMNO kalah dalam pilihanraya, insya-Allah UMNO akan hancur jika ia terus menolak Islam sebagai dasar dan matlamat perjuangannya.

Kemungkaran UMNO walaupun disorokkan oleh media massa yang mereka kawal, tetap dapat dihidu dan dilihat oleh masyarakat awam. Kemungkaran UMNO diibaratkan seperti bangkai gajah yang ditutup dengan tudung saji. Mungkarnya terlalu banyak, besar dan nyata! Hanya orang yang hatinya dan imannya sudah mati atau berpenyakit ?hub buddunya'/cintakan dunia, tidak akan dapat melihat dan menghidu baunya yang busuk itu. Orang yang masih ada iman dan sensitif hatinya terhadap kemungkaran pasti dapat melihatnya dan pasti jijik melihatnya. Orang yang waras, tentulah akan lari daripada parti yang banyak melakukan kemungkaran itu! Tetapi kalau memang dah jenis lalat dan langau, atau burung mayat, memang itulah yang dikejar dan dicari-cari! Najis dan busuk pun tak mengapa. Janji kenyang perut....Rezki haram pun tak apa. Janji kaya dan senang!

Tulisan ini mungkin menyakitkan hati setengah-tengah pembaca. Tentu ada yang mengatakan, ?Terlalu keras!!!' ?Apa hak kamu menghukumkan syirik dan sebagainya!!!' Syirik adalah dosa paling besar dan dosa yang tidak akan diampun oleh Allah. Tempat musyrikin ialah di Neraka Huthomah, iaitu neraka nombor enam. Mereka yang syirik diazab dengan amat keras dan kekal selama-lamanya di dalam neraka. Wa na ?uuzubillahi min zaalik.... Ayah Aji, bukan sengaja hendak menyakitkan hati orang UMNO. Tak ada faedah. Bukan dapat duit! Tujuan Ayah Aji, adalah untuk menyentakkan orang UMNO daripada lalai dengan dunianya, yang tak ambil kesah tentang keadaan iman lagi, sama ada dalam keadaan baik dan sehat, atau sakit dan rosak atau sudah hilang. Orang UMNO kebanyakannya ?take their iman for granted' Wal hal, Imam Ghazali RA ada menyatakan dalam Ihyanya, barang yang tidak dijaga akan rosak, dan barang yang tidak diambil peduli akan hilang tanpa disedari. Salah satu daripada kabaair ialah rasa senang hati atas iman. Justeru itu, dalam memerangi syirik, kita kena terus terang dan perlu menjadi agenda utama kita dalam dakwah.

Seruan Rasulullah SAW ialah seruan tauhid dan memerangi syirik.. Rukun iman yang pertama ialah mentauhidkan Allah.

Orang UMNO memang beriman kepada Allah SWT, tapi adakah mereka mentauhidkan Allah SWT dari segi Rubbubiyyah, Asmak wa Sifat dan Uluhiyyah? Orang UMNO memang mentauhidkan Allah SWT dari segi zat, tetapi adakah mereka mentauhidkan Allah SWT dari segi Sifat dan Perbuatan? Jika mereka mentauhidkan Allah dari segi Sifat mengapa mereka mengambil sifat Hakimiyyah Allah? Jika mereka mentauhidkan Allah SWT dari segi Perbuatan, mengapakah mereka meminda hukum Allah SWT , dan mengapakah mereka tidak mendaulatkan Al-Quran sebagai sumber hukum tertinggi negara pada mereka berkuasa? Jika mereka mengaku tidak mempunyai kuasa mutlak dalam melaksanakan hukum Allah di negara ini, mengapakah mereka menolak dan mengancam kerajaan PAS Kelantan yang mahu melaksanakan hukum Hudud di Kelantan?

Ingat bahawa ?hukum hanya daripada Allah. Al-Hakam adalah satu nama adalah satu nama daripada nama-namaNya dan satu sifat daripada sifat-sifatNya. Jadi barangsiapa mendakwa bahawa ia berhak membuat undang-undangan dengan kehendaknya, maka sesungguhnya ia mendakwa ketuhanan secara perbuatan. Walaupun ia tidak menguncapnya dengan kata-kata, dan sama ada orang yang mendakwa tersebut terdiri daripada individu atau daripada rakyat seluruhnya, daripada suatu parti atau organisasi. Maka hasilnya adalah satu, iaitu mencabut Hak Allah SWT dalam bidang penggubal undang-undang bagi manusia. Dan hal ini merupakan suatu amalan syirik yang mana akan mengeluarkan pembuat syirik itu dari agama Allah' (Fi-Khadhom Al-Ma'raka, Jilid :3). Bukan sahaja pembuat hukum itu syirik, ?mentaati hukum buatan tangan manusia yang bertentangan dengan syariat, serta ada kerelaan hati dengan hukum tersebut adalah suatu kemusyrikan, mengeluarkan orangnya dari agama kita'. (Fi-Khadhom Al-Ma'rakah, 3/43)

Pada hemat Ayah Aji, lebih ramai orang Islam di Malaysia ini yang terjatuh dalam dosa syirik daripada yang menjadi penagih dadah atau peminum arak dan lain-lain maksiat. Ramai yang jatuh syirik atas sebab kejahilan mereka, ramai juga yang syirik walaupun berilmu, dengan sebab terdinding oleh silauan dan tarikan dunia. Mereka yang jatuh syirik dengan sebab kejahilan, lebih mudah diselamatkan aqidah mereka daripada yang berilmu tetapi cinta dunia. Justeru itu, dalam usaha kita menyeru ahli-ahli UMNO kepada tauhid Rubbubiyyah, tauhid Asmak wa Sifat dan tauhid Uluhiyyah mulakan terhadap mereka yang jahil agama. Jauhi dahulu yang jahil murrakab, kerana mereka selalunya bersikap sombong tak boleh diikut dan bermusuhan. Tawan hati mereka dahulu dengan mengamalkan PR dan Human Relations yang baik, barulah tawan minda mereka melalui perbincangan. Orang yang macamana kuatpun perjuangan mereka, jika kita gauli mereka dengan baik, dan kita nyatakan kasih sayang kita terhadap mereka, kerana mereka saudara kita dalam Islam, dan kita jelaskan dengan baik, dan kita doakan mereka, insya-Allah mereka akan diberikan hidayah oleh Allah.

Parti UMNO Ayah Aji benci, sebab ia parti sekular, yang sesat dan menyesatkan. Tetapi orang UMNO Ayah Aji sayang sebab mereka saudara kita yang mesti diselamatkan. Jika keikhlasan kita terzahir pada wajah, perkataan dan perlakuan Insya-Allah kata-kata kita walaupun pedih, mereka akan dengar dan fikirkan. Dalam dakwah perlu ada ketegasan, namun tidak bererti perlu ada kekasaran.

Jika sesat katakan sesat Jangan melalau, nak jaga hati Bahasa lembut, jangan kesat, Agar terbuka minda dan hati.

Wassalam, Ayah Aji. Pengirim: Ayah Aji