DASAR PAS, UMNO JAUH BERBEZA

PULAI CHONDONG: Setiausaha Lujnah Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri, Norhashimah Deraman, mengingatkan pengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulai Chondong menghentikan fahaman "calon mana yang menang sama sahaja".

Katanya, fahaman itu hendaklah dikikis kerana kedua calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu mewakili dua parti berbeza iaitu Islam dan sekular.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pilihan raya kecil dalam program "mini ceramah" di sebuah peti undi, di sini baru-baru ini.

Turut berucap pada majlis itu ialah Ketua Urusan Muslimat Negeri bagi pilihan raya kecil itu, Ustaz Mustapha Ibrahim dan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri, Ustazah Hunaizah Mohd Nor.

Menurutnya lagi, pengundi hendaklah benar-benar memahami dasar kedua parti berkenaan, di mana PAS dasarnya menegakkan Islam sebagai ad-din berbanding UMNO yang hanya memperjuangkan kebangsaan.

"Amat malang sekali sekiranya kita masih tidak mengenali atau tidak tahu membezakan kedua parti berkenaan kerana perbezaannya umpama langit dengan bumi," ujarnya.

Jelasnya, Kerajaan Kelantan yang ditadbir PAS hari ini misalnya boleh dijadikan contoh terbaik dan untuk mudah difahami oleh rakyat dengan perubahan yang lebih menjurus ke arah Islam.

Tambah beliau antaranya, premis judi telah diharamkan, penjualan arak bebas dikawal dan sebarang pertunjukan hiburan diharamkan.

Pada majlis itu juga beliau memberitahu kerajaan PAS hari ini turut berwibawa dalam melaksanakan pembangunannya iaitu setanding negeri-negeri lain.

Katanya, sekalipun kerajaan Kelantan dikatakan tidak mampu mentadbir negeri kerana di bawah ulama, tetapi dakwaan itu ternyata palsu apabila pelbagai perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani buat setiap bulan.
Dari HARAKAH 23SYA1417/3JAN1997


Pilihanraya Kecil Pulai Condong, Kelantan N.32 pada 6 Jan 1997.
Dari Berita Harian 7 JAN 1997 / 27 SYA 1417

BN kalah tipis di Pulai Chondong

MACHANG, Isnin - Pas menewaskan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti tipis sebanyak 118 undi dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Chondong (N32), Kelantan.

Calon PAS, Zulkefli Mamat memperolehi 4,778 undi manakala calon BN, Yusoff Hamzah mendapat 4,660 undi dalam pertandingan sengit satu lawan satu.

Zulkefli, 37, bekas pensyarah Institut Teknologi Mara (ITM) Kelantan dicabar Yusoff, 51, bekas Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Keputusan pengundian diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya N32, Yusoff Noh yang juga Ketua Jajahan Machang pada kira-kira jam 8.50 malam di Dewan Majlis Daerah Machang (MDM).

Kira-kira 9,531 pengundi di DUN Pulai Chondong keluar mengundi atau kira-kira 75.43 peratus, manakala undi rosak 80. Pengundian berjalan lancar dalam keadaan cuaca cerah sebaik saja semua 11 pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi.

DUN Pulai Chondong mempunyai 12,635 pengundi berdaftar.

Tiada kejadian buruk dilaporkan berlaku sepanjang hari pengundian serta kempen yang berjalan kira-kira sembilan hari.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian bekas wakil rakyat, Kapten (B) Mohd Nor Ahmad yang meninggal dunia pada 4 Disember lalu kerana sakit jantung. Beliau memenangi kawasan itu atas tiket Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang dibubarkan 6 Oktober lalu.

Kerusi DUN Pulai Chondong itu dikuasai S46 sejak pilihan raya umum 1990 walaupun ia menjadi kubu tradisi BN sejak 1959 lagi.

Zulkefli menyifatkan kemenangannya hasil sokongan padu seluruh pimpinan dan penyokong PAS serta bantuan Allah. Beliau berazam meneruskan wawasan mempertahan dan membela kepentingan Islam sejajar dengan matlamat perjuangan parti itu.

Kemenangannya disambut laungan takbir oleh penyokong parti berkenaan.

Ketua Penerangan Pas yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Abdul Halim Abdul Rahman yang ditemui selepas pengumuman keputusan itu, berkata walaupun menang dengan majoriti tipis, ia adalah 'bonus' kepada parti itu.

Beliau yakin penyokong bekas S46 yang dibubarkan untuk menyertai UMNO memberi sokongan kepada PAS.

Calon BN dan pemimpin BN negeri tidak dapat ditemui pemberita di tempat pengiraan undi itu berlangsung.

Dari Berita Harian 7 JAN 1997 / 27 SYA 1417


More...
27081417/07011997