ORANG KELANTAN KUAT MAIN POLITIK

BAHAGIAN II

 Kebelakangan ini banyak perkara yang boleh diketahui daripada dalam periuk nasi parti lawan PAS. Mungkin hal ini terjadi  kerana  ada kaitannya dengan musim pemilihan kepimpinan parti itu di peringkat bahagian.

 Walaupun apa sahaja perkara yang diketahui daripada sebelah parti lawan itu yang penting adakah setiap perkara itu menguntung atau merugikan PAS?

 Dalam kesempatan ini,  satu perkara yang diketahui adalah keputusan pilihan raya kecil Semerak pada 11 Ogos 1997 lalu telah tidak menyebelahi PAS. Daripada suatu sumber melaporkan bahawa parti lawan PAS pernah menganjurkan satu majlis makan malam di salah sebuah hotel di bandar Kota Bharu bagi meraikan kemenangan pilihan raya kecil tersebut. Dalam majlis itu, beberapa pemimpin utama parti lawan negeri Kelantan dan bekas sebuah parti yang dikuburkan turut hadir dan dikatakan berucap menyampaikan rasa kegembiraan masing-masing. Di antara ucapan mereka adalah menggambarkan seolah-olah kemenangan pilihan raya kecil menyebelahi parti lawan itu disebabkan "diwujudkan kumpulan pengundi hantu". Benar atau tidak itulah yang dilaporkan.

 Apa yang penting diambil iktibar oleh PAS adalah sentiasa bersedia menghadapi sebarang taktik kotor parti lawan terutama dalam menghadapi kempen pilihan raya akan datang.

 Begitu juga dilaporkan lagi, dalam majlis tersebut ada bekas pemimpin sebuah parti yang dikuburkan berkata, "dulu pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengalahkan PAS di Kelantan tetapi semua gagal. Di sebalik kemenangan Umno di Semerak ini telah memberi harapan, buah untuk Umno merampas kembali pemerintahan kerajaan negeri dari tangan PAS".

 Beliau seterusnya menyatakan, "pada tahun-tahun 1960-an dan 70-an, orang Umno pernah guna bomoh Siam untuk melemahkan semangat pengikut PAS supaya mengundi Umno. Orang Umno juga pernah mencuri lembu-kerbau orang PAS supaya orang PAS leka dan lupa untuk mengundi".

 Kepada PAS, ucapan sebegitu patut dijadikan panduan, betapa pihak musuh tidak berdiam diri. Malah terus berusaha untuk menumbangkan  PAS di Kelantan.

 Sebenarnya, menurut laporan itu lagi kemenangan Umno di Semerak telah dianggap oleh pemimpin parti lawan sebagai satu harapan bagi Umno merampas Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.  Ia juga dianggap sebagai signal awal perubahan pemerintahan di negeri ini.

 Kepada setengah pemimpin dan orang PAS, laporan itu mungkin tidak sedap didengar. Namun hakikat perjuangan politik seharusnya ia diterima sebagai mesej parti lawan untuk tempoh pilihan raya akan datang. Mesej itu mungkin bermaksud, kot-kot mana cara sekalipun mereka akan gunakan segala cara-cara (mungkin serupa dengan yang digunakan di Semerak) untuk berhadapan dengan PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

 Jikalah itu mesejnya, apakah persiapan PAS?

 Berkata laporan itu lagi, bagi bekas pemimpin sebuah parti yang dikuburkan itu pula menganggap kemenangan Umno di Semerak merupakan aset penting untuk membolehkan ahli-ahlinya diterima sebagai ahli yang sah dalam sebuah parti lawan. Keyakinan itu timbul berdasarkan kerja kuat merekalah membolehkan Umno menang.

 Ekoran daripada itu, baru-baru ini telah  berlakulah suatu peristiwa (sekitar 29 dan 30 Disember 1997) kira-kira 400 orang bekas ahli parti yang dikuburkan itu telah berhimpun beramai-ramai di depan salah sebuah pejabat bahagian parti lawan itu dengan memprotes tindakan pimpinan peringkat bahagian itu yang menolak yuran keahlian mereka. Sambil memprotes mereka mengungkap kata-kata, "tengok di Semerak, bukti yang kita pangkah Umno, kita suruh orang-orang kita undi dacing, tetapi sebaliknya dia tak mahu terima kita".

 Daripada cerita itu, dan dikaitkan dengan apa yang dilaporkan oleh suatu sumber itu, jelas periuk nasi parti lawan PAS sedang bergelegak. Jika untung kepada PAS, hanyalah lelehan air bergelegak sahaja sekiranya PAS tidak terus berusaha mendekati masyarakat atau mendakwah bekas-bekas ahli parti yang dikuburkan itu supaya bersama-sama menyertai perjuangan politik Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

 Bijaknya uslub perjuangan parti Islam adalah menyediakan wadah terbaik kepada sesiapa sahaja yang bersedia menerima dasar Islam dan sanggup berjuang menegakkan hukum Allah di muka bumi ini. Uslub ini dikira menguntungkan PAS sekiranya pemimpin dan ahlinya seia sekata, bersatu padu dan bekerja keras bagi memenangkan perjuangan.

 Sesungguhnya, apa yang dialami oleh parti lawan PAS itu, kita tidak ingin berlaku dalam PAS.
 Wallahu'allam.