Tabung Serambi Mekah telah laksanakan sumbangan kebajikan berjumlah RM 6 juta

MAJLIS ulang tahun pelancaran pungutan derma Tabung Serambi Mekah (TSM) yang berlangsung baru-baru ini berjaya mengumpul sebanyak RM2 juta.

Menteri Besar, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sumbangan itu diterima daripada pelbagai pihak di negeri ini.

Katanya, rakyat di luar Kelantan juga memberi sambutan menggalakkan dengan menghantar bantuan melalui pos untuk Tabung itu kerana ingin turut sama membantu rakyat negeri ini.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas yang  dipengerusikan oleh Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman untuk mengendalikan tabung itu sejak ditubuh kira-kira enam tahun lalu.

Menurut beliau, lebih RM11 juta berjaya dikumpul oleh tabung sejak diwujudkan dan daripada jumlah itu sebanyak RM6 juta telah dibelanjakan.

Perbelanjaan tersebut terbahagi kepada pembangunan kemudahan asas (RM5.4 juta), pembangunan industri (RM280,793), bantuan kemanusiaan (RM317,270), pendidikan (RM35,291), mangsa ribut (RM233,825), mangsa banjir (RM26,850), mangsa kebakaran (RM538,930) dan bantuan sara hidup (RM33,010).

“Manakala baki masih ada RM5 juta untuk bekalan bagi tahun-tahun akan datang yang akan dibelanja di atas prinsip jimat cermat,” ujarnya.


HOME