Lapan hotel di Kelantan terima ‘bintang’

SEBANYAK lapan buah hotel di negeri ini secara rasminya menerima bintang sebagai pengiktirafan daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia terhadap taraf dan mutu perhotelan mereka.

Majlis penganugerahan taraf bintang itu diadakan di Kuala Terengganu tidak lama dulu oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Terengganu, YB Datuk Aziz Awang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Kelantan, YB Haji Omar Mohamed diberi penghormatan menyampaikan plat dan sijil kepada pengurus-pengurus hotel berkenaan.

Daripada lapan hotel di Kelantan, Hotel Perdana dan Perdana Resort diiktiraf sebagai hotel  empat bintang.

Hotel-hotel lain ialah Juita Inn (tiga bintang), Hotel Mawar (tiga), Hotel Ansar (dua), Hotel Temenggong (dua), Dinasti Inn (dua), dan Hotel Murni (satu).

Pengkelasan kepada hotel-hotel terbabit dibuat melalui Skim Pengkelasan Hotel bagi Wilayah Timur iaitu sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.

YB Haji Omar mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menyumbang ke arah kejayaan tersebut terutamanya pihak kementerian terbabit, Majlis Perbandaran Kota Bharu dan Jabatan Agama Islam Kelantan.

“Semoga pengiktiran yang diberikan oleh pihak kementerian itu akan dapat menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan.

“Pengiktirafan ini juga merupakan suatu rahmat kepada negeri ini memandangkan kerajaan negeri sedang giat membuat persiapan untuk menghadapi ‘Tahun Melawat Kelantan’ pada 1998,” katanya.


HOME