Kelantan dikunjungi lebih 2 juta pelancong tahun lalu

BILANGAN pelancong yang datang ke Kelantan meningkat dengan pesatnya dari setahun ke setahun.  Tahun lalu seramai 2,030,902 pelancong berkunjung ke negeri ini berbanding 1,601,043 orang pada tahun 1995.

Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Negeri, Sulaiman Ismail, berkata kunjungan pelancong itu tahun lalu memberikan hasil yang dianggarkan bernilai sebanyak RM592,453,924.44 kepada pelbagai sektor berkenaan di negeri ini.

Beliau memberitahu demikian dalam taklimatnya kepada anggota-anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jajahan, Penyelia Dewan Undangan Negeri dan Penggawa seluruh Kelantan.

Majlis taklimat itu dikendalikan oleh Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Industri Desa dan Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.

Sulaiman berkata, usaha ke arah meningkatkan industri pelancongan akan diteruskan dengan mengadakan pelbagai program menarik sepanjang tahun ini.  Peruntukan sebanyak RM332,720.00 disediakan bagi tujuan ini.

“Kita akan menganjurkan program yang tidak bercanggah dengan dasar kerajaan negeri pada tahun ini sebagaimana lazimnya termasuk Karnival Kebudayaan Kelantan, Pesta Rebana, Gasing, Kertok, Silat dan Pesta Buah-buahan bagi menarik tiga juta pelancong serta perolehan yang dijangkakan lebih RM600 juta pada tahun berikut,” ujarnya.

Katanya angka itu akan menjadi kenyataan memandangkan berlaku peningkatan pelancong setiap tahun iaitu pertambahan sebanyak 10 peratus.

Menurutnya, program pertama pada tahun ini telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu sempena Ramadhan lalu yang mana telah mendapat sambutan ramai.

Beliau juga menyarankan semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk meningkatkan program-program menarik pelancong ke negeri ini terutamanya di kawasan pintu masuk utama seperti di Gua Musang, Jeli, Pasir Putih dan Rantau Panjang.


HOME