Pertambahan pelancong pesatkan pertumbuhan industri hotel

INDUSTRI perhotelan di Kelantan berkembang pesat sekarang dengan bilangan pelancong tempatan dan luar negara  sentiasa meningkat dari setahun ke setahun.

Pada tahun lalu bilangan hotel dan rumah tumpangan yang terdapat di Kelantan berjumlah 148 buah dan dijangka bertambah kepada 163 buah tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan negeri, YB Haji Omar Mohamed berkata, pada tahun ini hotel dan rumah tumpangan dijangka mampu menyediakan sebanyak 4,467 bilik berbanding 3,974 bilik pada tahun 1996.

“Bilangan bilik hotel sentiasa meningkat, misalnya, pada tahun 1992 bilangan bilik sebanyak 1,355 buah bertambah kepada 1,421 (1993), 1,900 (1994) dan 2,404 (1995),” katanya.

Beliau berkata, Kelantan tidak menghadapi masalah menyediakan kemudahan penginapan yang cukup bagi menampung pertambahan bilangan pelancong.

Menurutnya juga pada tahun lalu seramai 2.03 juta pelancong telah berkunjung ke negeri ini iaitu 1.67 juta pelancong tempatan dan 357,000 pelancong asing.

Beliau berkata, bilangan itu bertambah berbanding 1.6 juta pelancong mengunjung Kelantan tahun sebelumnya.

“Pelancong yang datang tahun lalu menyumbangkan pendapatan sebanyak RM592 juta berbanding RM532 juta (1995) kepada sektor ekonomi negeri ini,” ujarnya.

YB Haji Omar berkata, kerajaan negeri melalui pelbagai agensinya sentiasa berusaha mengadakan promosi bagi menarik pelancong luar berkunjung ke Kelantan.

Menurut beliau keunikan suasana kehidupan masyarakat Melayu di Kelantan dan kos hidup yang rendah menjadi tarikan utama pelancong luar berkunjung ke negeri ini.

“Kadar penginapan yang ditawarkan oleh hotel berpatutan, harga jualan barangan makanan dan keperluan harian murah dan keadaan peniaga turut menjadi faktor menarik minat pelancong,” tambahnya.

Begitu juga tambahnya, lokasi membeli-belah seperti di Pengkalan Kubur, Tumpat dan Rantau Panjang banyak menawarkan barangan keperluan harian dan dapur kepada pelancong.

Pada tahun ini dua hotel bertaraf antarabangsa milik anak tempatan mulai beroperasi iaitu Salju Inn Prima di Jalan Pekeliling dan Squre Point Hotel di Jalan Pengkalan Chepa.


HOME