Wakil Chechnya kunjungi MB

WAKIL Tetap Chechnya ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Dr Djamoukhanov Rouscan Soultan Ovich,  mengunjungi Menteri Besar Kelantan di pejabatnya di Kota Darulnaim 13 Mac lalu.
Beliau juga telah menemui rakyat Kelantan di padang Maahad Muhamadi Lelaki pada malam hari tersebut dan memberi taklimat tentang perjuangan umat Islam Chechnya menentang Russia.

Dalam taklimat itu beliau memberitahu bahawa kira-kira 300,000 mangsa peperangan di Chechnya kini menjadi pelarian.  Mereka berada di khemah-khemah pelarian dan hidup dalam keadaan tidak sempurna.

Katanya, kebanyakan mereka sukar hendak kembali ke kampung halaman memandangkan  kampung mereka telah musnah teruk di serang tentera Russia.

Menurutnya, 15 daripada 17 wilayah yang terdapat di negara itu musnah akibat peperangan dengan tentera Russia dan 70 hingga 80 peratus infrastruktur yang dibina sebelum ini telah musnah sama sekali.

TYT Rouscan berkata, 420 buah bandar dan kampung  musnah angkara tentera Russia.
Katanya, rakyat Chechen terpaksa menanggung semua penderitaan akibat tindakan tidak bermoral oleh tentera Russia.

Tetapi akhir-akhir ini   pejuang Chenchen mencapai kemenangan dan  memaksa tentera Russia berundur.

Katanya, pada 11 Januari lalu kira-kira 500,000 tentera Russia telah berundur dan pada 17 Januari diadakan pilihan raya di mana Maslan Maskanof terpilih sebagai perdana menteri republik itu.

Di majlis ceramah perjuangan umat Islam Chenchen itu juga YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyampaikan sumbangan RM10,000 daripada Badan Perhubungan PAS Kelantan kepada Duta itu.


HOME