Pembangunan negeri Kelantan semakin terserlah

Anugerah Allah SWT. untuk rakyat  negeri ini melimpah ruah.  Gas, minyak di pantai, batu marmar, batu granite di bukit selain kayu balak dari hutan-hutan dara di Negeri Serambi Mekah atau Tanah Serendah Sekebun Bunga ini menjadi punca-punca utama sebagai hasil baru yang kelak mengubah taraf dan mutu hidup rakyat.
Kita bersyukur kepada Allah SWT. atas segala nikmat dan rahmat-Nya ini.  Kita bersyukur dengan mengambil pengertian bersyukur yang sebenar-benarnya iaitu dengan memahami bahawa semestinyalah dalam kekayaan yang melimpah ruah ini ada ujian yang lebih getir untuk kita.

Ajaran Islam memaklumkan bahawa ujian biasa kepada mereka yang mendapat rezeki dan harta kekayaan ditimbulkan daripada persoalan untuk apa, kepada siapa dan bagaimana digunakan segala-segalanya itu.  Banyak sekali amaran dan ancaman Allah SWT. terhadap mereka yang mendapat harta.  Nabi SAW. juga selalu mengaitkan kekayaan dan keasyikan mengejar kehidupan di dunia dengan balasan azab di neraka, sehinggakan baginda lebih khuatir terhadap keadaan Islam apabila umatnya menjadi kaya dibandingkan ketika umatnya dalam kemiskinan.  Mencari rezeki adalah kewajipan yang menjadi fitrah kewujudan manusia.  Bersama-sama usaha ini syaitan membukakan kepada manusia nafsu tamak haloba, bermegah-megah, berebut-rebut dan bermusuh-musuhan.  Semakin terhimpun harta kekayaan sesseorang, semakin luaslah dedahan dan tarikan syaitan ke jalan neraka.

Beban harta benda dirasakan sangat oleh sahabat Nabi SAW. seperti Abdul Rahman bin Auf yang mempunyai kebolehan luar biasa dalam perniagaan bagi menjadikannya seorang jutawan.  Walaupun beliau sudah dijanjikan syurga, kekayaannya itu tidak digunakan bagi dirinya sendiri, tetapi diserahkan hampir keseluruhannya kepada perjuangan Islam bagi mengatasi beban soal-jawab di akhirat terhadap setiap butir harta yang sampai ke tangannya.  Kebolehan atau kepandaian beliau telah diserahkan untuk kepentingan Islam kerana kemampuan akalnya itu juga adalah anugerah daripada Allah SWT.

Manusia dicipta untuk menjadi khalifah yang menjaga bumi ini sebagaimana dipadan dan diadunkan dalam tanggungjawab seseorang kepada Allah, kepada sesama manusia dan kepada alam tempat kediamannya ini.  Antara tanggungjawabnya ialah mewariskan bekalan , keindahan, kesempurnaan dan kemudahan di bumi ini kepada generasi akan datang.  Semua nikmat itu datangnya daripada kemurahan Allah SWT. untuk makhluk-makhluknya di bumi ini.  Kita dilarang sama sekali menyebabkan kebinasaan dan kehancuran terhadap bumi ini.

Kita sedang berada di tengah-tengah ujian besar ini. Menghimpun harta benda, bermegah-megah, membazir dan mengguna sewenang-wenang anugerah Allah SWT. yang tersedia di muka bumi ini sudah menjadi tabiat manusia sekarang, berikutan himpunan modal dan kecanggihan teknologi yang diproses oleh tujuan hidup dan sistem kerajaan sekularyang menggalakkan kepenggunaan tinggi.

Tabiat ini merosakkan bumi dan menyebabkan kesukaran teruk kepada seluruh kehidupan; bertentangan dengan tujuan manusia ditempatkan Allah di taman indah dan rumah besar yang lengkap bernama bumi.  Adakah kita sudah menyerah diri kepada Allah SWT. dengan menghadkan keperluan kita dan mengorbankan setiap butir harta dan kebolehan kita kepada Islam?  Inilah ujiannya.


HOME