Tidak yakin Islam punca hudud terhalang

FAHAMAN sekular dan tidak yakin kepada Islam menjadi penghalang utama ke arah melaksanakan hukum hudud di Kelantan biarpun ia telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada November 1993.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah kerajaan negeri, YB Ustaz Mohamed Daud berkata, orang Islam yang lemah iman dan tangan yang kurang bersih menyebabkan hukum itu masih tidak dapat dilaksanakan di negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan Kelantan telah bersungguh-sungguh mahu melaksanakan hukum itu selepas ia diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

Katanya, kerajaan negeri tidak mahu menanggung dosa kerana tidak melaksanakan hukum hudud yang memang diwajibkan ke atas orang Islam.

“Kerajaan berusaha sedaya upaya menyedarkan rakyat bahawa membelakangkan hukum itu adalah salah dan  ini bersifat zalim lagi fasik,” ujarnya pada perasmian sambutan Hari Hudud Peringkat Negeri Kelantan bagi kali kedua tidak lama dulu.

YAB Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merasmikan sambutan itu yang dihadiri oleh lebih 2,000 penduduk tempatan di Balai Islam Lundang, Kota Bharu.

Bagaimanapun YB Ustaz Mohamed berpendapat kesungguhan kerajaan Kelantan itu disekat oleh pihak-pihak lain di Pusat yang kurang yakin terhadap hukum Allah.

Sehubungan itu, acara sambutan tahunan yang diadakan oleh kerajaan negeri adalah untuk menyatakan bantahan rakyat Kelantan terhadap kerajaan Pusat yang tidak merestui pelaksanaan hukum hudud di negeri ini.

Beliau berkata, kita mesti menyatakan tuntutan Islam tidak hanya sekadar soal-soal ibadat semata-mata tetapi ia turut merangkumi perkara lain termasuk masalah jenayah sebagaimana yang termaktub dalam hukum hudud.

“Rakyat wajib berusaha ke arah melaksanakan hukum itu melalui sistem demokrasi yang diamalkan sekarang dan kerajaan pula wajib melaksanakannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Haji Hashim Bani Abdul Hamid berkata, penerangan secara berterusan kepada rakyat terhadap kewajiban melaksanakan hukum hudud perlu dilakukan di semua peringkat.

Tahun ini beberapa jajahan telah mengadakan forum mengenai hudud seperti di jajahan Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Jeli Kuala Krai dan Tumpat.

Menurut Haji Hashim Bani dengan terlaksananya hukum hudud masalah sosial yang membabitkan golongan remaja akan dapat dikurangkan.


HOME