SIKAP KELANTAN DALAM KEGAWATAN BEKALAN AIR

Masalah kemarau dan kehilangan bekalan air yang  melanda negara sekarang tidak semestinya
 meletakkan Kelantan dalam keadaan tergesa-gesa untuk akur kepada kehendak Kerajaan Pusat yang mahu menyambungkan belakan air antara negeri.  Kelantan tidak mahu terjebak dalam banyak salah urus bekalan air yang berlaku di banyak negeri sebagaimana yang dilaporkan.  Kelantan juga tetap dengan dasar bahawa urusan bekalan air adalah amanah yang amat penting, yang perlu dijaga dengan cermat walaupun ketika negeri dan negara ini mempunyai air melimpah ruah.

Kegawatan air di seluruh negara sekarang mendedahkan berbagai-bagai kelemahan dan kebobrokan urusan bekalan air. Penswastaan terhadap bekalan air juga sedang menim-bulkan banyak keraguan.  Apakah air sebagai keperluan asas kehidupan yang maha penting ini patut diletakkan sebagai amanah Allah SWT yang mesti manusia uruskan dengan penuh kebajikan dan keadilan atau ia dijadikan barang dagangan yang direbut oleh saudagar-saudagar yang mahu mengaut keuntungan?  Bagaimana Majlis Air Negara hendak mengendalikan perkara ini juga masih terlalu kabur.  Akan berlaku pula kekecohan tentang soal pembahagian bekalan air mengikut sektor seperti air untuk makan minum dan rumah tangga, perkilangan dan pertanian. Misalnya, penggunaan air di Kelantan yang berasaskan pertanian dengan penduduk desa yang ramai tidak sama dengan di Selangor yang berasaskan perkilangan dengan penduduk bandar yang padat.  Apabila kemarau meluas dan bekalan air terlalu sedikit akan kecohlah soal memberi keutamaan dan kepentingan.

Atas nama pembangunan dan kemewahan, banyak kawasan dan keadaan yang serasi dengan eko-sistem dikorbankan. Sesetengah kerajaan negeri, dan kerajaan pusat juga, telah mengabai atau tidak mempedulikan banyak nasihat oleh pakar-pakar bekalan air, khasnya, dan pakar ekologi, amnya, tentang bencana yang boleh timbul apabila bersikap biadab terhadap eko-sistem. Pengabaian dan penafian terhadap nasihat yang benar itu sejajar pula dengan kedegilan terhadap arahan-arahan yang termaktub dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

Kehilangan bekalan air yang berlaku sekarang adalah bala yang Allah SWT turunkan berikutan pelbagai salah laku tangan manusia dalam mengendalikan urusan hidupnya.  Khusus tentang air, kita telah mengetahui banyak sekali penyelewengan, pencurian, pembaziran dan pencemaran terhadap air telah berlaku di banyak negeri.  Keadaan ini dipercayai umum telah berlaku lama.  Ada yang berlaku dengan begitu ketara sekali tetapi tidak diambil tindakan tegas oleh sesetengah penguasa air atau kerajaan negeri.

 Walau di mana pun air ditempatkan, sumber air adalah daripada satu punca iaitu sebagai sebahagian penting dalam eko-sistem.  Air menjadi terhad berikutan dengan putaran dan imbangan eko-sistem.  Inilah ketetapan Allah SWT. yang Maha Kuasa mentadbirkan alam.  Budaya hidup serba mewah zaman ini menyebabkan air dibazirkan; tadahan, takungan dan alirannya yang asli dirosakkan manakala mutunya sentiasa dicemarkan.  Manusia sudah lupa akan adab penggunaan sumber-sumber alam ketika melayani nafsu ingin hidup mewah.  Dan adab ini tidak hanya tertumpu kepada suasana ketika menggunakan air tetapi juga ketika menjalankan kehidupan keseluruhannya.

Cuaca El Nino tidak boleh dipersalahkan sebagai punca kegawatan bekalan air yang melanda negara sekarang.  El Nino ialah sebahagian daripada peraturan alam yang boleh dikaji dan difahami oleh ahli-ahli sains, khususnya ahli kaji cuaca dan geografi. Bagaimanapun, pakar-pakar sains, kaji cuaca dan geografi mengakui bahawa segala apa tentang cuaca bukanlah ilmu yang dapat dipastikan; ramalannya kucar-kacir dan penelitian atau pengawasan terhadapnya terpaksa dilakukan sepanjang masa.  Keupayaan sains dan tekonologi dalam memahami, mengolah dan menentukan cuaca tidak sepatutnya menjadikan manusia angkuh sehing-ga berfikir bahawa segala kemusnahan eko-sistem akibat hidup mewahnya dapat diatasi.  Kekuasaan Allah dan ilmu sebenarnya tidak banyak diketahui oleh manusia.  Maka arahan atau peraturan Allah sebagaimana yang ditunjuk-kan di dalam al-Quran dan Hadis hendaklah dipatuhi agar kita sentiasa berada dalam pertolongan dan rahmat-Nya.

Justeru, kehendak Kerajaan Kelantan yang mahukan pembangunan dilaksanakan secara Islam bagi menepati arahan Islam supaya hidup bersederhana, berkebajikan dan adil adalah juga meliputi soal bekalan dan pengurusan air. Ini bererti apa-apa penelitian terhadap cadangan Kerajaan Pusat untuk menyambung - pastinya juga akan menyatukan -  bekalan air antara negeri-negeri tidak boleh terhad kepada persoalan hak dan undang-undang supaya air dikuasai oleh  kerajaan negeri tetapi juga hendaklah meliputi jaminan bahawa musibah dan bala yang berpunca di negeri-negeri lain sekurang-kurangnya dapat dielakkan daripada ditimpa atau dibebankan ke atas Kelantan.


HOME