YAB Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa memberi amanat kepada para penghulu dan pegawai Halaqat di Dewan Teratai Kota Darulnaim menegaskan bahawa penjawatan terhadap sesuatu jawatan adalah merupakan suatu bebanan.
Andaikata penjawat jawatan tidak melaksanankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya, maka ianya bukan sahaja menjadi suatu tugas yang tidak selesai di dunia tetapi juga akan menerima jadah dan padah dalam bentuk hukuman dosa di akhirat nanti.
Kerana itu, kata beliau, jika seseorang penjawat jawatan adalah orang ada ilmu, maka soal perebutan jawatan tidak akan berlaku.
Oleh kerana yang bercakap itu bukan sahaja seorang Menteri Besar tetapi juga seorang bertaraf ulamak ( dengan yang hadir pula selain dari terdiri daripada para penghulu dan pegawai Halaqat adalah Wakil Rakyat dan Penyelia DUN ), maka apa yang diperkatakan oleh Menteri Besar itu bukanlah sekadar untuk memenuhi kuota masa berucapnya, tetapi sudah tentu ia mengandungi tujuan dan matlamat tertentu, khususnya yang tersirat untuk renungan banyak pihak.
Sebuah kerajaan adalah juga sama dengan sebatang tubuh. Jika cacat atau sakit mana-mana bahagian, maka seluruh badan akan merasakan siksa dan ketidaksempurnaannya.
Bertolak dari apa yang diperkatakan oleh YAB Menteri Besar, maka setiap di antara kita samada yang secara langsung atau tidak langsung terbabit dalam menegak dan memelihara kerajaan MEMBANGUN BERSAMA ISLAM mestilah sentiasa bertanya kepada diri sendiri apakah kita telah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita atau sebaliknya.
Kita juga mesti bertanya apakah kita telah memudahkan urusan pentadbiran kerajaan atau menyusahkan sebenarnya. Kalau kita menyusahkan, apakah patut kita terus menjadi pengacau.