PERTEMUAN secara bersemuka antara pimpinan kaum dan agama tidak sepatutnya dipandang negatif kerana keraguan dan kesangsian akan dapat dijelaskan secara terus, kata Menteri Besar YAB Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Berucap pada majlis Forum Hubungan Antara Kaum (HAK) di bawah tajuk Nilai-Nilai Sejagat Mengikut Pandangan Agama Masing-Masing di Kota Bharu baru-baru ini, beliau berkata dengan adanya pertemuan dan perbincangan maka dapatlah dipastikan agama mana sebenarnya yang betul.
Walaupun penganut agama lain tidak boleh dipaksa memeluk Islam kerana Islam bukan agama paksaan, sekurang-kurangnya para pendokong agama yang ada di negara ini dapat mencari jalan untuk mewujudkan kemurnian hidup sejagat berdasarkan ajaran agama masing-masing.
Katanya walaupun apa sahaja agama asalkan ianya bernama agama, tujuannya adalah untuk membawa manusia kepada kebaikan dan bukannya untuk tujuan meletakkan manusia dalam keburukkan.
Menteri Besar berkata hakikat yang mesti diterima ialah Islam adalah agama yang baik kerana ia datang terus dari Allah dan diturunkan melalui Rasulullah sebagaimana yang terkandung dalam Kitab Suci Al-Quran.
Yang pasti, tambah Menteri Besar, agama melarang manusia berjudi, minum arak, berzina, menipu, rasuah, mefitnah dan sebagainya yang mana perbuatan-perbuatan seumpama itu akan membawa padah dan jadah kepada manusia.
Kerajaan Kelantan yang ditadbir
berdasarkan ajaran Islam sebagaimana yang terkandung dalam alQuran berusaha
mencegah perbuatan sedemikian dan ianya wajar disokong oleh pelbagai kaum
dan peganut pelbagai agama.