MENTERI Besar YAB Tuan Guru Dato' Haji Nik Abd Aziz Nik Mat mahukan Kelantan terus kekal dengan imej negeri ‘TANPA TOL’.
Katanya dengan imej yang ada terus dipelihara, walau apa pun gambaran buruk yang dituding terhadap negeri ini dan kerajaan yang memerintah, para pelabur tetap akan datang untuk membuat pelaburan.
Berucap pada upacara menandatangi perjanjian antara Majlis Daerah Tumpat dengan Simpura Aktif Sdn Bhd di Hotel Perdana baru-baru ini, beliau berkata mana-mana pihak yang mengamalkan tabiat memungut TOL (ambil komisyen) tidak akan meletakkan kalangan terbabit dalam golongan orang yang cerdik.
Katanya hidup akan resah gelisah kerana takut ditangkap oleh pihak berkuasa seperti BPR dan sebagainya dan kalau pun selamat di dunia, mereka tidak akan terlepas dari balasan di akhirat nanti.
Oleh itu, tambahnya, sama-samalah dibersihkan negeri ini, dari sebarang TOL supaya pelabur merasa selamat dan selesa untuk datang melabur dan faedahnya akan menjadi nikmat kepada setiap lapisan rakyat dan negeri.