RAMAI di kalangan orang Melayu secara automatik menerima hakikat bahawa mereka adalah Islam kerana di dalam sijill kelahiran masing-masing pada ruang agamanya ditulis ISLAM.
Penerimaan hakikat itu menyebabkan hampir seratus peratus orang Melayu tidak pernah teringat untuk membuat pemeriksaan terhadap diri sendiri apakah mereka Islam atau orang kafir tetapi menyangka Islam.
Bukan payah untuk membuat pemeriksaan diri sebenarnya untuk mempastikan samada kita masih Islam atau sebaliknya.
Orang Islam adalah yang Islam dalam serba serbi samada dalam melaksanakan ibadah atau kerja-kerja keduniaan seperti bekerjasama samada makan gaji, berniaga atau bekerja sendiri dan berpolitik.
Malah ketika menarik dan menghembuskan nafas hendaklah secara Islam yakni dengan sentiasa sedarkan diri bahawa segala-galanya milik Allah.
Sekadar memikul dan menjulang panji-panji perjuangan menegakkan Islam semata-mata tidak cukup kalau hati sentiasa tidak jujur, perlakuan sentiasa bertentangan dengan Islam.
Apa gunanya berpuasa dan bersembahyang kalau aurat didedah bagi wanita dan kalau perebutan mencari kesenangan di dunia di kalangan lelaki dan wanita tidak selari denga peraturan Islam.
Barangkali ada yang cukup gembira dengan mendapat kawasan balak tanpa disedari bahawa kemungkinan kawasan balak itu menyebabkannya terkeluar dari Islam atau setidaknya balak-balak yang diperolehi menjadi kayu api di neraka nanti.
Apakah dalam usaha untuk mendapatkan kayu balak itu permohonannya dibuat secara Islam atau diambil segala kesempatan yang ada untuk menterpaksakan pihak yang bertanggungjawab meluluskan kawasan kerana jika tidak akan berlaku pelbagai kemudaratan.
Apakah penerima kawasan balak cukup kelengkapan untuk mengusahakannya jika kawasan yang dipohon berjaya diperolehi atau memang niat asal lagi jika mendapat kawasan akan diali-babakan (termasuk dijual kepada pihak lain dengan mengamalkan perniagaan buluh kasap yakni sekadar ambil komisyen.
Cara sedemikian bukannya cara Islam dan jika ada di antara kita yang melakukan hal sedemikian, cepat-cepatlah bertaubat dan pemeriksaan terhadap ketulinan keislaman perlu dibuat kerana baka sahaja tidak menjamin kekalnya kita dalam Islam walaupun bernaung di bawah kerajaan Islam dan bermenteri besarkan seorang tokoh bertaraf ulamak jika masing-masing tidak berusaha sendiri untuk sentiasa memantapkan iman dan memelihara keislaman diri sendiri dengan mengelak dari apa jua niat dan perlakuan terlarang dalam Islam.