Atasi kegawatan dan kelemahan sistem negara

YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, menyeru para pejuang Islam mengambil peluang daripada kegawatan ekonomi sekarang untuk membaik pulih semua bidang kehidupan dengan penuh hikmah berasaskan ajaran Islam.

“Kelemahan-kelemahan yang terdapat di dalam sistem dan undang-undang yang ada hendaklah ditonjolkan kepada masyarakat bagi meyakinkan mereka untuk kembali kepada Islam,” katanya.
Sehubungan dengan ini beliau menjelaskan bahawa berdasarkan keyakinan kepada undang-undang Islam ini, Kelantan telah meletakkan hudud di dalam senarai undang-undang di negeri ini.

“Itulah tugas dan tanggungjawab pemimpin politik yang diberi kuasa oleh Allah semasa memerintah sementara soal pelaksanaannya adalah tahap yang kedua yang perlu difikir dan diselesaikan oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang disampaikan oleh  YB Timbalan Menteri Besar, Haji Abdul Halim Abdul Rahman, bagi melancarkan sambutan Hari Hudud yang ketiga di Balai Islam, Lundang, Kota Bharu, 9 Februari lalu.  YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar tidak dapat hadir ke majlis tersebut kerana uzur dan dalam rawatan doktor.

Beliau mahukan usaha dipertingkatkan bagi menyebar luaskan desakan dan pengetahuan untuk pelaksanaan undang-undang hudud melalui pelbagai program seperti seminar, forum, ceramah dan sebagainya.

Pada tahun 1993, Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan Kanun Jenayah Syariah II (Pindaan) yang membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan.  Bagaimanapun, pihak Kerajaan Pusat masih belum membenarkan hudud dilaksanakan walaupun di Kelantan sahaja. Berikutan dengan terhalangnya perlaksanaan undang-undang hudud itu, pihak Kerajaan Negeri Kelantan mengadakan sambutan Hari Hudud setiap tahun sejak tahun 1996 bagi mempertingkatan kesedaran dan desakan tentang kewajipan melaksanakan hudud.


HOME