Melayu mulia kerana Islam

YAB Menteri Besar,  Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Nik Mat berkata antara Melayu dengan bukan Melayu tidak ada sebarang perbezaan jika fe'el perangai mereka tidak bercirikan Islam.
Beza Melayu dengan bangsa lain dan keistimewaan Melayu dengan bangsa lain adalah kerana agama, tegasnya ketika berucap kepada jemaah di majlis Tadarus Quran peringkat Jajahan Kuala Krai di Masjid Kampung Telekung 25 Januari lalu.

Katanya, tidak ada sebarang kemuliaan bagi manusia walaupun memiliki kekayaan yang bertimbun-timbun jika tidak berpegang kepada Islam.

“Antara Menteri Besar, D.O., Perdana Menteri dengan penoreh getah, petani dan pengayuh beca tidak ada yang lebih mulia dan lebih hina kerana pangkat, darjat dan standard keduniaan. Penoreh getah akan lebih mulia di sini Allah jika bertaqwa berbanding dengan Menteri Besar, D.O. atau Perdana Menteri yang tidak beriman,” tegasnya.

Orang Melayu, tambahnya tidak boleh menganggap mereka lebih mulia dan lebih standard daripada bangsa lain jika tidak beriman kerana hakikat sebenarnya mereka sama sahaja dengan Cina.
Sehubungan dengan itu beliau menyarankan mereka yang ingin mulia di dunia dan di akhirat serta yang ingin membezakan antara bakal penghuni syurga dengan negara supaya kembali kepada ajaran al-Quran dan Hadis.

“Pilih Quran semuanya akan selamat kerana segala yang terkandung dalam al-Quran sama ada dalam bidang ekonomi, perubatan, politik dan sebagainya mengandungi segala kesempurnaan ilmu yang telah diperakui oleh Allah,” tegasnya. 


HOME