Yang tersirat pada DE 118

Masa begitu cepat berlalu, melalui  proses yang memang tidak diduga, dalam satu kerangka perancangan yang luas. Saya terpilih menjadi wakil rakyat pada 6 Januari 1997 setelah mendapat kelebihan sebanyak 118 undi.

Nombor 118 itu jugalah saya abadikan pada plet kereta saya, hasil daripada sifat bermurah hati seorang mandur di Majlis Daerah Machang, yang memberikan nombor motornya, DE118, kepada saya untuk diletakkan pada Proton Wira 2.0D. Kereta ini juga memberi banyak makna kepada saya. Elok juga saya singkap sedikit kisah tentang Wira 20D sebagai kenangan peribadi dan tauladan.

Semasa bertugas di ITM, saya bercita-cita besar. Maklumlah, baru dapat naik pangkat.  Saya merancang: pada tahun 1997 saya akan tukar kereta Proton Saga 1.5i Automatic dengan Mercedes 230, daripada menginap di rumah sewa kepada membina rumah sendiri.  Langkah awal saya atur.  Saya jual Proton Saga 1.5i itu kepada adik saya pada bulan September 1996 dengan harapan pakai kereta baru awal tahun 1997.  Sementara itu, untuk menjalankan tugas harian, saya meminjam kereta bapa mertua, iaitu Mitsubishi Gallant 1.3GL. Kawan-kawan sentiasa bertanya, “Bila kereta baru nak sampai?”  Saya jawap penuh yakin: “Insya’ Allah, tak lama lagi.” Balik ke kampung, adik beradik tanya pula, “Bila nak buat rumah baru, dengar cerita sibuk cari pelan rumah.”  Saya jawab, “Tunggu tahun depan (1997).”

Dalam sibuk merancang nak beli kereta baru, nak buat rumah baru, saya dicadangkan menjadi calon pilihan raya kecil Pulai Chondong.  Pada 23 Disember 96, saya pun letak jawatan pensyarah ITM.
Sejak 23 Disember saya menyewa sebuah Proton Wira 1.5 dengan harga RM100 sehari sehinggalah pada malam penamaan calon.  Fikiran saya cepat-cepat berputar, kalau terus menyewa kereta, besar juga belanjanya.  Di mana hendak cari kereta yang agak selesa untuk buat kerja kempen pilihan raya?  Lalu teringatlah seorang kenalan saya yang mempunyai banyak kereta tetapi beliau orang kuat UMNO.

Setelah saya diisytiharkan sebagai calon PAS oleh YB Presiden PAS di Masjid Markaz, Pangkal Gong, iaitu pada malam 25 Disember, saya dan beberapa kawan  pergi ke rumah orang kuat UMNO kenalan saya itu untuk ambil kereta.  Kami penuh yakin, beliau akan beri.  Saya bawa seorang pemandu dan dua orang teman sebab saya menjadi orang penting parti pada masa itu.  Sebagai bakal calon, yang beberapa jam lagi akan jadi calon, perlulah berhati-hati.

Kira-kira jam 12.45 malam itu kami sampai di rumah beliau.  Alhamdulillah, beliau belum tidur, cuma sedang bersiap hendak tidur. Saya mulakan cerita tanpa mukadimah. Saya nyatakan kepadanya bahawa saya diisytihar calon PAS tetapi susah hendak bergerak kerana tidak ada kereta. “Nak cari kereta orang lain susah; ambo nak kereta sebuah. Nak kira lagu mana, kita bincang semula,” kata saya.

“Habis nak kata guano, nak kira guano. Ambillah, ambo beri Wira 2.0D; ko nak Perdana,” katanya.  Saya  bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada beliau dengan jawapan ringkas itu. Saya mengambil Wira 2.0D kerana ia dikira sesuai untuk kerja pilihan raya. Dalam perjalanan pulang kawan-kawan saya masih dalam keadaan tidak percaya. “Bui dia dih, tak seka,” kata mereka.

Benda ini semua bukan kerja kita sedangkan Firaun ditakdirkan Allah memelihara Nabi Musa.
Duduk tak duduk yang pasti Tok Wakil terpaksa pinjam duit daripada kerajaan untuk beli kereta dan tunggu masa hendak pinjam duit untuk buat rumah. Nampak sedap, tapi kalau tanggung, baru tahu.

Bagaimanapun, alhamdulillah, isteri sentiasa di sisi. Sebenarnya segala cabaran yang ada,  insya’ Allah, akan dapat diatasi dengan izin Allah.  Yang Tuhan letak syarat hanya kita mesti bertaqwa. Marilah kita berdoa semoga Allah memberi kasihan belas-Nya kepada kita dan membimbing kita ke jalan yang benar.


HOME