Jangan angkuh dan leka ketika pertanian Kelantan asyik menjadi

MENYEDARI makanan penting kepada manusia untuk hidup, kerajaan Kelantan tidak pernah mengabaikan pertanian yang menghasilkan bahan makanan, tegas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar Dan Industri Desa, YB Haji Omar Mohamad.

Menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh hadirin pada Majlis Perjumpaan Hari Raya dan Dialog Menteri Besar Dan Pimpinan Negeri Dengan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan pada 2 Syawal lalu di Hotel Perdana, beliau berkata pada masa ini penghasilan makanan di Kelantan termasuk beras dan buah-buahan melebihi keperluan tempatan dan ada yang dieksport keluar.

“Kemungkinan kerana apa yang kita usahakan diiringi dengan doa dan penyerahan kepada Allah selain ikhtiar, maka padi, ladang buah-buahan mahu pun ternakan asyik menjadi dan membuahkan hasil,”  jelas beliau.

Beliau yakin berdasarkan kepada keadaan sekarang, sokongan padu rakyat kepada kerajaan Kelantan dan iringan doa dan penyerahan kepada Allah SWT., Kelantan akan terus dilimpahkan rezeki dari hasil pertanian dan ternakan.

Bagaimanapun, beliau berharap rakyat Kelantan tidak leka dan  angkuh, sebaliknya hendaklah sentiasa bersyukur dan rendah hati agar kemurahan rezeki ini tidak ditarik balik oleh Allah sebagaimana yang berlaku kepada kedudukan ekonomi negara dan nilai RM sekarang.

Sektor Pertanian menerima peruntukkan sebanyak RM43.91 juta tahun  ini. Antara peruntukkan sebanyak itu, RM4.20 juta adalah untuk menyediakan kemudahan perairan dan memajukan bidang berkenaan, RM3.5 juta bagi program subsidi baja padi dan RM1.87 juta bagi memajukan ternakan lembu/kerbau dan kambing/bebiri serta program menyediakan perkhidmatan rawatan dan khidmat nasihat kepada para penternak. 


HOME