Ahli Exco berhari raya dengan Orang Asli di Pos Pulat

KIRA-kira 200 orang daripada 32 keluarga penghuni Islam di perkampungan Orang Asli Pos Pulat, Gua Musang dirai oleh pimpinan kerajaan negeri pada 8 Februari lalu sempena Hari Raya ‘IdIlftri.

Pengerusi Jawatankuasa  Pembangunan Masyarakat, Hal Ehwal Wanita Dan Hubungan Kaum, YB Haji Hassan Mohamad, serta Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan Belia Dan Sukan, YB Haji Abdullah Yaakub, melakukan lawatan ke perkampungan berkenaan, yang disertai juga oleh beberapa jabatan dan pertubuhan.

Sepanjang dua hari ke perkampungan itu, YB Haji Hassan selaku pengerusi jawatankuasa dakwah dalam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan YB Haji Abdullah berjaya mengislamkan baki beberapa Orang Asli yang belum Islam di perkampungan itu.
Ini menjadikan hampir keseluruhan penghuni kampung tersebut telah memeluk Islam.

Pegawai dan jabatan yang terbabit dalam program mendedahkan Islam dan mengeratkan hubungan antara masyrakat Orang Asli dengan masyarakat moden itu ialah Jabatan Hal  Ehwal Orang Asli (JHEOA), Unit Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Perhutanan, PERKIM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Perbandaran Kota Bharu, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang dan beberapa jabatan lain.

Perkampungan Islam Orang Asli Pos Pulat mempunyai penghuni yang agak ramai dan mereka adalah dari keturunan Temiang - suku kaum Orang Asli teramai di Kelantan.

Kampung mereka dilengkapi dengan sekolah dan pos JHEOA. Sebahagian besar generasi baru mereka boleh membaca dan menulis. Sebuah madrasah dicadang akan dibina di situ.

YB Haji Hassan dan YB Haji Abdullah sempat melawat rumah-rumah di perkampungan itu dengan memulakan kunjungan hormat ke rumah Batin Busu Perajum.

Majlis juga diserikan dengan penyampaian pakaian terpakai dan kuih hari raya. Bola dan pakaian seragam kepada pasukan bola kampung berkenaan turut disampaikan.

Di samping itu unit perubatan PERKIM yang turut disertai oleh seorang doktor mengambil masa sehari suntuk membuat rawatan kesihatan kepada penduduk di situ.


HOME