Motorised paragliding diperkenalkan di Kelantan

SUKAN yang menggunakan jentera dan peralatan berteknologi canggih merupakan antara acara yang digunakan bagi mengembangkan bidang pelancongan di Kelantan.

Pada Oktober tahun lalu, Kelantan Le Tour, iaitu acara menjelajah Kelantan dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda telah mendapat sambutan hangat dengan penyertaan yang amat memberansangkan.

Pada 12 Februari lalu, pertunjukan motorised paragliding di Pantai Chaya Bulan dan di Lapangan Terbang, Pengkalan Chepa pula diadakan.  Ini merupakan antara acara sambutan Tahun Melawat Kelantan ‘98.

Acara dirasmikan oleh Exco Kerajaan Negeri, YB Haji Omar Mohamad, mewakili YAB Menteri Besar Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ke Australia pada 11 Februari untuk menandatangani kerjasama perdagangan dan pelaburan Kelantan-New South Wales, Australia.

Dalam ucapannya pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan, Belia dan Sukan, YB Haji Abdullah Yaakub berkata pertunjukan motorised paragliding adalah antara produk tambahan kepada produk yang telah sedia ada bagi menarik pelancong.

Pertunjukan itu diketuai oleh Lt Kol (B) Basri Abdul Rahman dan disertai oleh lapan peserta dari Perancis, Britain dan Malaysia.

Ini merupakan suatu bentuk sukan berteknologi tinggi yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal penggiatnya.

Gambar( dari kiri): YB Haji Hassan Muhamad, YB Haji Abdullah Yakub dan Pegawai Kewangan Negeri, YBM Tengku Dato’ Shah Buddin dan para jemputan menunggu paraglider turun di Pantai Cahaya Bulan.


HOME