Tanpa belanja promosi besar, pelancongan ke Kelantan terus meningkat

USAHA bagi mengembangkan pelancongan di Kelantan telah dapat dipermudahkan dan tidak memerlukan perbelanjaan besar kerana usaha itu dirujukkan terus kepada al-Qur’an dan kertas kerja buah fikiran YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar.

Demikian dijelaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebuadayaan, Pelancongan, Belia dan Sukan Kerajaan Kelantan, YB Haji Abdullah Yaakub.

Beliau berkata walaupun promosi yang dibuat tidak sehebat negeri-negeri lain tetapi Kelantan tetap menjadi tumpuan kunjungan pelancongan tempatan dan antarabangsa.

Lagi pun, tambah beliau, Kelantan mengamalkan sikap serba sederhana termasuk dalam mempromosikan negeri ini untuk pelancong walaupun tahun ini ialah Tahun Melawat Kelantan. Sebanyak RM1.33 juta diperuntukkan bagi menggalakan industeri pelancongan tahun ini.

“Kerana kita ajak orang yang sudah sedia mahu datang; sikit ajak banyak mari, rakyat Kelantan dapat rezeki,” tegasnya sambil menjelaskan kerajaan negeri tidak mampu untuk membina papan-papan tanda promosi gergasi khususnya di Kuala Lumpur.

Beliau menjawab pertanyaan yang diajukan oleh hadirin pada Majlis Perjumpaan Hari Raya Dan Dialog Menteri Besar Dan Pimpinan Negeri Dengan Anak-Anak Kelantan Di Perantauan pada 2 Syawal di Hotel Perdana, Kota Bharu.

Bagaimanapun, tambah beliau, kunjungan pelancong ke Kelantan melonjak walaupun kunjungan pelancongan ke negeri lain yang berkempen dengan belanja besar merudum.

Sejak tahun 1990 hingga 1997 seramai 9,110,873 pelancong (7,226,723 pelancong dalam negara dan 1,884,232 pelancong antarabangsa) dicatat berkunjung ke Kelantan.

Hasilnya, lebih RM3,200 dibelanjakan oleh mereka semasa di Kelantan.
Kerajaan serta seluruh rakyat Kelantan patut bersyukur dengan perkembangan ini yang berlaku selepas Kerajaan Kelantan bertukar tangan pada tahun 1990, tambah beliau.

YB Haji Abdullah yakin sempena Kempen Tahun Melawat Kelantan tahun ini, lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara akan berkunjung ke Kelantan.

Katanya, mereka mahu melihat kedamaian dan kesejahteraan hidup rakyat negeri ini yang menggunakan pentadbiran berlandaskan plan dan kertas kerja yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis. 


HOME