Anak Kelantan di perantauan mahu lebih dilibatkan untuk berbakti kepada negeri

RATA-RATA anak Kelantan di perantauan cenderung untuk menyumbangkan bakti berakar-tunjangkan kepakaran masing-masing bagi membantu membangunkan negeri tumpah darah mereka dalam bentuk rohani dan jasmani.

Kesempatan Buletin Kerajaan Negeri berbual dengan mereka pada majlis perjumpaan hari raya dan dialog YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar dan pimpinan negeri dengan anak Kelantan di perantuan di Dewan Bunga Tanjung, Hotel Perdana pada malam 2 Syawal lalu mendapati rata-rata mereka ingin ikut sama berbakti memelihara dan menunggak kerajaan sekarang.

Anak-anak Kelantan terbukti unggul dalam pelbagai bidang termasuk bidang kepakaran dan banyak menyumbang kepada pengisian keperluan tenaga pakar kepada negera dan negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Majlis itu yang dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan dihadiri oleh lebih 1,000 orang.

Majlis terpaksa dilanjutkan masa kira-kira setengah jam dari jadual asal kerana terlalu ramai yang ingin mendapatkan penjelasan dan mengemukakan cadangan ke arah mengekalkan kerajaan yang ada sekarang.

Anak-anak Kelantan di perantauan juga kagum dengan keupayaan kerajaan yang diketuai oleh Tuan Guru Menteri Besar selaku ketua pentadbir yang dapat meneruskan kepimpinan kerajaan negeri dengan sumber kewangan yang sangat terhad, malah pernah dibuat andaian secara angkuh oleh lawan bahawa kerajaan ini akan bankrap dalam tempoh kurang dari tiga bulan selepas memerintah.
Manakala dalam borang maklum balas yang diserahkan oleh hadirin kepada Urusetia didapati banyak cadangan supaya acara seumpama ini diadakan setiap tahun.

Ramai juga yang mencadangkan agar pada masa akan datang majlis dibuat pada hari siang supaya tidak berlaku kesuntukan masa.

Cadangan-cadangan  juga dibuat supaya majlis sedemikian diadakan juga di negeri-negeri lain yang terdapat ramai anak-anak Kelantan pada hari yang tidak semestinya Hari Raya kerana kebanyakan mereka tidak berkesempatan untuk hadir pada Hari Raya.

Tuan Guru Menteri Besar terpaksa berkejar dari Pahang untuk menghadiri majlis itu
Dengan penuh wibawa kepimpinan ulama dan mengkagumkan sidang hadirin beliau menjawab segala pertanyaan. Timbalan Menteri Besar Haji Abdul Halim Abdul Rahman, ahli-ahli Exco Kerajaan Kelantan, YB Haji Mohamad Daud, YB Haji Omar Mohamad dan YB Haji Abdullah Yaakub turut memberikan jawapan bernas kepada soalan-solan yang dikemukakan oleh hadirin.


HOME