Saudara baru jangan berasa tersisih, ‘baka Islam’ jangan berasa sudah sempurna

SAUDARA baru tidak patut berasa janggal, tersisih atau terpinggir semata-mata kerana baru memeluk Islam sekiranya mereka ikhlas dan nekad  memilih untuk menganut agama  ini.

Manakala mereka yang sudah lama memeluk agama Islam termasuk dari 'baka Islam' pula tidak boleh merasakan keislamannya sudah cukup sempurna tanpa berusaha untuk membaiki mutu iman dan ibadah masing-masing.

Pesanan sedemikian dibuat oleh YAB Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika berucap di majlis penyampaian zakat dan  sumbangan PERKIM di JKR 10, pada 27 Januari lalu, iaitu menjelang hari raya.

Katanya, semua penganut Islam adalah bersaudara tanpa disempadan, dibeza dan dijarakkan oleh bangsa dan warna kulit.

Oleh itu setiap umat Islam sama ada saudara baru atau dari baka Islam patut saling bantu membantu dalam membina kesejahteraan hidup di dunia dan bantu membantu menyempurnakan ibadah.
Tuan Guru Menteri Besar mahukan umat Islam menerima saudara baru sebagai anggota keluarga yang sangat terhormat, diberi layanan, bantuan dan bimbingan sesempurna mungkin supaya mereka merasakan bahawa Islam adalah cara hidup yang terbaik, merupakan agama yang mesti disayangi manakala seluruh umat Islam perlu dilindungi.

Saudara baru dan mereka yang dilahirkan dari perut ibu Islam hendaklah berlumba-lumba dan bersaing serta berasa tamak untuk meningkatkan kualiti iman, memperbanyakkan ibadah dan menghimpun pahala. Inilah sahaja perlumbaan, persaingan dan sikap tamak yang digalakkan Islam, jelas beliau.


HOME