Kerajaan Kelantan tidak pernah tuntut biaya dari Jabatan Pembangunan Pusat

TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, YB Haji Abdul Halim Abdul Rahman menolak dakyah-dakyah songsang kononnya pembayaran  setiap projek yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dituntut daripada  Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

JPP ialah jabatan dibawah kerajaan pusat yang diwujudkan ekoran kekahalan kerajaan yang terdahulu pada tahun 1990.

Menjawab pertanyaan hadirin pada Majlis Perjumpaan Hari Raya Dan Dialog Menteri Besar dan Pimpinan Negeri anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dan Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan di Hotel Perdana pada 2 Syawal, beliau berkata, JPP tidak ada kaitan dengaan kerajaan negeri kerana ia sebuah agensi Kerajaan Pusat.

Timbalan Menteri Besar berkata, dakyah itu timbul kemungkinan kerana ada yang terkeliru dengan geran wajib yang patut diterima oleh kerajaan negeri sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan nergeri. Geran seumpama itu diterima oleh setiap negeri dan bukan hanya untuk Kelantan sahaja. Peruntukan itu diterima terus dari Pusat dan bukan dari JPP.

“JPP mempunyai rangka kerjanya tersendiri dan bergerak dengan cara dan strategi sendiri. Segala peruntukan pusat disalurkan melalui jabatan itu yang mana dulunya disalurkan melalui Jabatan Kerja Raya Negeri. Segala pembangunan yang menjadi tanggungjawab persekutuan kini, pada keseluruhannya, dilaksanakan oleh JPP,” tegasnya.

Menjelaskan lagi sikap Kerajaan Kelantan tentang hubungan kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat beliau berkata sejajar dengan dasar kerajaan negeri yang berteraskan Islam, pelbagai usaha dibuat untuk menjalin hubungan baik antara negeri dengan pusat serta dengan semua pihak yang sememangnya saling perlu memerlu, guna mewujudkan pengemblengan tenaga ke arah mensejahterakan rakyat terbanyak.


HOME