Perubahan besar dalam pembangunan Kelantan menjelang tahun 2000

Kelantan akan mengalami perubahan paling ketara menjelang tahun 2000 apabila tiga bandar baru wujud iaitu di Kubang Kerian, Pasir Pekan dan Pengkalan Kubur.

Perkara ini diberitahu oleh YB Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Haji Abdul Halim bin Abdul Rahman, di Majlis Perjumpaan Hari Raya Dan Dialog Menteri Besar dan Pimpinan Negeri anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dan Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan di Hotel Perdana pada 2 Syawal lalu.

Katanya lagi, Kelantan akan turut mempunyai pelabuhan di Tumpat dan pusat pengeluaran makanan berasaskan sumber laut untuk eksport di Tok Bali, Semerak dan lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai.

Bandar Kota Bahru pula akan menjadi bandar pertama bersih daripada asap kenderaan apabila hanya pengangkutan awam yang  menggunakan gas akan dibenarkan beroperasi dalam kawasannya manakala perkhidmatan bas dan pengangkutan awam lain yangmenggunakan minyak akan dipusatkan di Kubang Kerian.

Sebanyak RM72.43 juta diperuntukkan tahun ini bagi membiayai projek-projek pembangunan negeri yang mana daripada jumlah itu sebanyak RM71.43 juta adalah dari sumber negeri dan RM1 juta dari sumber Imbuh Balik Persekutuan.

Untuk menghadapi era kepesatan teknologi tinggi, YB Haji Abdul Halim berkata, Kelantan memerlukan lebih ramai tenaga profesional yang pakar dalam pelbagai bidang dan usaha-usaha bagi melahirkan golongan berkenaan dari anak tempatan sedang dibuat sebagai langkah persediaan.
Anak Kelantan yang kini sudah mempunyai kepakaran patut pula membantu, katanya.


HOME