DESAKAN SEMAKIN MENINGKAT SUPAYA HUDUD DILAKSANAKAN

Hudud yang terkandung di dalam Kanun Jenayah  Syariah II yang diluluskan oleh Dewan Undangan  Negeri Kelantan pada tahun 1993 hingga kini belum dapat dilaksanakan.  Sebabnya, Kerajaan Pusat masih belum mahu menerimanya manakala mengikut Perlembagaan Malaysia, Kerajaan Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakannya sebelum disetujui oleh Kerajaan Pusat.

Hudud masih belum terlaksana kerana pihak yang berkuasa di negara ini tenggelam dalam kebingitan canang pembangunan kebendaan.  Dalam suasana itu, rakyat, pemimpin dan korporat - yang bermewah-mewah dengan hutang dan berebut-rebut dalam nilai palsu - tidak pernah terfikir erti hudud bagi mengendalikan kehidupan apatah lagi untuk memikirkan Islam sebagai cara hidup.

Di sebalik suasana berebut-rebut dalam hiruk-pikuk canang pembangunan itu, desakan rakyat yang peka dengan tuntutan Islam semakin meningkat.  Mungkin bukan secara kebetulan desakan ini terus meningkat. Banyak masalah melanda negara yang berkehendakkan hudud dilaksanakan.  Bahkan ada pimpinan agama lain yang turut menyokong hudud dilaksanakan. Apakah yang terjadi?

Keruntuhan masyarakat semakin hari semakin meningkat di negara ini.  Segala gejala tidak sihat dalam masyarakat semakin membebankan negara. Masyarakat bukan Islam juga sedang cemas dengan keadaan-keadaan yang berlaku memandangkan keselesaan dan kesejahteraan hidup di negara ini semakin meleset.

Gejala-gejala tidak sihat yang menimpa umat Melayu, khasnya, terlingkung sebab-musababnya pada canang kebendaan itu. Dalam suasana penjajahan aliran kebendaan dan dunia kapitalis ini, sudah ada orang Islam merasakan agama Islam tidak dapat memberikan kebahagiaan hidup kepada mereka sedangkan pada masa yang sama sistem Islam yang menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat itu sendiri belum pernah mereka lihat dilaksanakan oleh penguasa-penguasa yang ada di dalam masyarakat mereka. Justeru, benteng kemurnian hidup berasaskan agama yang masih ada sedikit sebanyaknya di dalam masyarakat Islam semakin terhakis dan runtuh. Puncaknya ialah derhaka terhadap Islam.  Semestinya ini memerlukan tindak balas.

Kini, kemewahan menyugul, keangkuhan terbungkam. Canang sistem pembangunan kebendaan yang hiruk-pikuk itu nampaknya  mereda.  Ini disusuli dengan resah gelisah untuk mengubah gaya hidup daripada bermewah kepada bersederhana dan mungkin terus jadi miskin.  Ekonomi negara yang merudum sekarang, berikutan daripada kegagalan sistem riba (sistem yang diperangi Allah dan Rasul-Nya), dapat menyedarkan ramai orang betapa dunia sudah menipu mereka lalu menuntut dasar negara diubah.

Bagi umat Islam, kekeciwaan semakin mendalam dan menyesakkan kerana murtad sedang menjadi gejala, lebih-lebih lagi yang murtad itu dari ‘baka Islam’. Kekeciwaan ini menjadi lebih tertekan apabila seorang menteri meremeh-temehkan gejala murtad ini sedangkan beliau pernah berjanji hendak menggubal undang-undang mencegahnya.

Jika mahukan hudud, Kerajaan Pusat tidak perlulah bersusah payah untuk menggubal undang-undang hudud yang baru.  Kanun Jenayah Syariah II (1993) yang termaktub di dalam undang-undang Kelantan itu dikira sudah memadai.  Mungkin sedikit pindaan bagi penyesuaian dengan kuasa Kerajaan Pusat, berbanding Kerajaan Negeri, boleh dilakukan terhadap kanun itu tetapi dasar dan matlamat perlaksanaan hudud tetap serupa di mana sahaja.

YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Kelantan telah berkali-kali menyatakan bahawa Kelantan tidak terkilan sekiranya mana-mana bahagian Kanun Jenayah Syariah II itu dipinda, diperbaiki atau diubahsuai asalkan hudud yang sebenar terlaksana kepada umat Islam di negara ini.

Sebenarnya, Allah mentakdirkan suasana gawat ekonomi dan gejala murtad ketika ini agar kita sedar dan kembali kepada Islam yang menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat Apa kata sekiranya melaksanakan hudud dijadikan langkah pertama di pihak penguasa untuk kembali kepada kedaulatan Islam.


HOME