Desa Taqwa perlukan inisiatif wakil rakyat dan penghulu

INISIATIF para penghulu dan wakil-wakil rakyat adalah perlu bagi memastikan Program Desa Taqwa mencapai matlamatnya sebagaimana yang telah digariskan oleh Kerajaan Kelantan, tegas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Hal Ehwal Wanita dan Perhubungan Antara Kaum, YB Haji Hassan Mohamad.

Bercakap kepada BULETIN Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan di pejabatnya, beliau berkata tanpa sikap ambil peduli dan kecenderungan untuk menjayakan program itu di kalangan para penghulu dan wakil rakyat, matlamat program tidak akan kesampaian.

Matlamat Desa Taqwa adalah untuk mewujudkan kampung-kampung bercirikan Islam dan penduduknya bertaqwa kepada Allah.

Katanya, selain daripada merancang dan menguruskan program-program ke arah menjayakan Dewa Taqwa,  penghulu dan wakil-wakil rakyat juga perlu memberikan maklum balas dari semasa ke semasa bagi membolehkan segala kelemahan dan kecacatan dapat diatasi.

Buku panduan khusus bagi perancangan dan penyeliaan Desa Taqwa telah diterbitkan oleh pihaknya dan diedarkan kepada para penghulu dan wakil-wakil rakyat.

YB Haji Hassan berkata Desa Taqwa berkonsepkan pembangunan rohani dan fizikal. Penekanan diberi kepada pembangunan insan, sebagai intipati pembangunan keseluruhannya, dengan dijalankan sendiri oleh masyarakat setempat manakala jawatankuasa peringkat negeri, jajahan serta daerah akan berfungsi sebagai penyelaras bagi peringkat bawahan masing-masing.

Matlamat  induknya adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang menjadikan syariat Islam sebagai panduan hidup, menerima konsep kesatuan Islam dengan mendokong usaha al-amr bil makruf wan nahyu ani munkar, mewujudkan pemimpin yang mempunyai sifat-sifat yang dituntut dalam Islam, mewujudkan perkampungan yang berdaya maju, aman sejahtera dan mempunyai masyarakat yang produktif, cergas dan berdikari serta mewujudkan suasana persekitaran kampung Islam.

Melalui Dewa Taqwa juga, tambah beliau, pihak penyelaras dikehendaki memainkan peranan untuk membuktikan kepada semua masyarakat tanpa mengira fahaman politik, keturunan, suku kaum dan fahaman agama bahawa Islam dan cara hidup Islam adalah yang terbaik untuk manusia sejagat.


HOME