Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) ‘93
PERLANTIKAN HAKIM-HAKIM

(1)  Hakim-hakim hendaklah dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan dengan Surat Tauliah Perlantikan yang ditandatangani dan dimeteri dengan Mohornya selepas berunding dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri dan Jumaah Ulamak dan sebagai tambahan Baginda boleh berunding dengan mana-mana pihak berkuasa, badan atau sesiapa juga yang difikirkan patut atau munasabah; dan perlantikan itu hendaklah disiarkan dalam Warta.

(2)  Dalam membuat perlantikan di bawah perkara (1), Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan hendaklah menentukan sama ada yang dilantik itu ialah Ketua Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Khas, Hakim Besar Mahkamah Bicara Syariah Khas, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Khas atau Hakim Mahkamah Bicara Syariah Khas.

KEBEBASAN KEHAKIMAN
Prinsip kebebasan kehakiman adalah berkuatkuasa kepada Mahkamah-Mahkamah ini dan tiap-tiap orang hakim yang dilantik di bawah Enakmen ini adalah bebas daripada gangguan oleh mana-mana pihak atau sesiapa.

PEMEGANG JAWATAN
(1)  Tiap-tiap seorang hakim berhak memegang jawatan sehingga dia sendiri meletakkan jawatan itu; melainkan sebelumnya dia terpaksa berhenti kerana tak sempurna akal atau kerana sakit yang hendaklah diakui oleh tidak kurang daripada orang pakar perubatan, atau kerana didapati oleh suatu Suruhanjaya Kehakiman, melakukan suatu kesalahan yang menjadikan dia tidak layak menjadi hakim.

(2)  Pakar-pakar perubatan dan Suruhanjaya Kehakiman itu hendaklah dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan selepas berunding dengan mana-mana pihak yang berkuasa, atau badan atau sesiapa juga yang difikirkan patut dan munasabah.

(3)  Kesalahan yang disebut dalam perkara (1) hendaklah suatu kesalahan di sisi undang-undang sekular atau hukum Syarak dan bukti terhadapnya hendaklah terang dan jelas.

GAJI, ELAUN DAN KEISTIMEWAAN-KEISTIMEWAAN LAIN HAKIM-HAKIM

(1)  Gaji, elaun dan keistimewaan-keistimewaan lain hakim-hakim hendaklah dibayar sebagai satu tanggungan kepada Kumpulan Wang Negeri Yang Disatukan dan hendaklah tidak kurang daripada gaji, elaun dan keistimewaan-keistimewaan lain hakim-hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Borneo atau Mahkamah Agung Malaysia.

(2)  Badan Perundangan Negeri boleh membuat undang-undang untuk menentukan gaji, elaun dan keistimewaan-keistimewaan lain hakim-hakim Mahkamah-Mahkamah yang ditubuhkan di bawah Enakmen ini.