Remaja Berketerampilan
Terampil bermaksud cekap atau  mampu. Keterampilan pula bermaksud kecekapan atau kemampuan. Maka berketerampilan bermakna seseorang itu mempunyai kebolehan dalam melaksana dan menyempurnakan sesuatu tugas serta tanggungjawab dengan cemerlang.

Melihat kepada persoalan remaja masa kini, adalah menjadi tuntutan kepada seseorang remaja itu melengkapkan kebolehan diri menjadi seorang yang berketerampilan. Remaja perlu berketerampilan dalam pelbagai bidang kegiatan lebih-lebih lagi dalam bidang yang boleh menjamin masa depan mereka.

Masa depan remaja dapat dilihat dalam pelbagai sudut. Apa yang utama, remaja mestilah memperlengkapkan diri agar terampil dalam bidang  yang menjaminkan peluang pekerjaan bagi menyara hidupnya setelah memasuki alam berdikari. Bidangnya amatlah luas. Antaranya ialah bidang sains dan teknologi, perkembangan ekonomi, perubahan sosial dan budaya. Setiap bidang ini sudah tentu membuka seluas-luas peluang kepada manusia kini membuat pilihan untuk diceburi.

Kemajuan sains memerlukan lebih ramai saintis. Perkembangan ekonomi pasti menanti lebih ramai usahawan. Perubahan sosial akan memerlukan sokongan daripada pakar psikologi dan kemasyarakatan. Begitu pula, perubahan budaya akan memerlukan lebih ramai tokoh dan pemikir budaya.

Memandangkan keperluan yang terlalu luas dalam setiap bidang tersebut, ada baiknya para remaja memilih suatu bidang yang paling diminati. Jika mahu menjadi saintis, usahawan atau apa-apa profession, yang penting para remaja harus melengkapkan keterampilan diri. Sebagai jalan kejayaan, paling penting para remaja mampu mengurus dan menyuburkan bakat serta minat masing-masing. Asasnya mesti bermula di alam persekolahan lagi. Di sini remaja hendaklah berkomitmen dengan apa yang diminati. Misalnya untuk menjadi seorang usahawan, sewajarnya berketerampilan dalam pelajaran matematik, ekonomi dan pengurusan. Begitu pula jika berminat menjadi seorang pereka cipta berguna sekali jika seseorang remaja itu meminati pelajaran sains dan teknik di samping berminat mengkaji ciptaan terkini oleh pakar sains.

Walau apapun persediaan bagi para remaja merancang masa depannya, yang utama ialah menyediakan diri sebagai seorang berketerampilan bersekali dengan perancangan hidup. Langkah sedemikian adalah positif dan membina. Ini sesuai dengan peringatan Allah SWT bermaksud, "Dialah yang menjadikan kamu  khalifah di muka bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas sesetengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah segera azab seksa-Nya dan sesungguhnya Dia amat Pengampun lagi amat Mengasihani". (Al-An'am:165)