Demikian dijelaskan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Tuan Haji Abdul Halim Abdul Rahman ketika berucap di Majlis Perletakan Batu Asas Bangunan Tambahan Asrama Darul Aitam Puteri yang telah disempurnakan oleh DYMM Raja Perempuan Kelantan pada 25 Januari 1995 lalu.
Menurut beliau lagi, pada tahun 1994 Kerajaan telah membelanjakan RM1.0 juta di bawah Program Pembangunan Rakyat Miskin sahaja. Program ini meliputi bantuan membaiki rumah, bantuan modal asas perniagaan kecil, bantuan peralatan sekolah dan bantuan lain yang telah memberi manfaat kepada rakyat yang terbabit.
“Kerajaan akan tetap merancang dan mengatur program-program yang boleh memberi manfaat kepada rakyat secara berperingkat-peringkat mengikut kemampuan. Rakyat harus bersabar dan jangan terpengaruh dengan dakyah-dakyah pihak tertentu yang menuduh kononnya Kerajaan Negeri tidak menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat. Dakyah itu termasuklah fitnah terhadap DYMM Tuanku Al Sultan dan pihak Istana,” jelas beliau lagi.
Beliau menyeru agar rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah tersebut
kerana ia disebarkan oleh pihak yang dengki terhadap kemakmuran, keamanan
dan kesejahteraan hidup rakyat Kelantan sejak ditadbir oleh Kerajaan Angkatan.
Pihak tersebut cuba memecahbelahkan keharmonian rakyat dan hubungan antara
Kerajaan Negeri dengan pihak Istana. Selain itu mereka juga cuba menutup
mata rakyat daripada melihat kelemahan-kelemahan mereka.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Majlis Agama Islam
Kelantan (MAIK) yang menyediakan asrama kepada anak yatim Darul Aitam dan
kepada petugas-petugas sukarela yang menguruskan asrama tersebut.
Sebelum itu, Yang DiPertua MAIK, YBhg. Dato’ Haji Abdul Razak Salleh
dalam ucapannya menjelaskan bangunan asrama tambahan diperlukan bagi menampung
kemasukan anak yatim yang semakin ramai.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada DYMM Raja Perempuan Kelantan yang memberikan sumbangan peribadi berjumlah RM20,400 dan Kerajaan Negeri melalui Tabung Serambi Mekah sebanyak RM 100,000 untuk pembinaan bangunan asrama tambahan tersebut yang dianggarkan menelan belanja RM200,000.