Demikian dijelaskan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Syakhsiyah Wanita Islam’ di Himpunan Kesedaran Wanita Islam anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan di Sungai Durian, Kuala Krai pada 19 Januari, 1995.
Menurut YAB Tuan Guru lagi, Kerajaan Negeri tidak pernah mengenepikan hak wanita dan tidak melupakan penglibatan wanita dalam perjuangan menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat. Sebaliknya, Kerajaan Negeri sentiasa menghargai peranan dan jasa wanita. Justeru itulah Kerajaan Negeri melantik kaum wanita sebagai Ahli Dewan Negara dan juga Ahli Majlis Daerah.
Kerajaan Negeri Kelantan sebenarnya telah mengangkat martabat dan memelihara maruah kaum wanita sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam seperti menutup aurat. Iklan yang menggunakan kaum wanita juga tidak dibenarkan, cuti bersalin sehingga 60 hari, pekerja wanita seperti pekerja kilang, digalakkan berkerja pada siang hari sahaja dan sebagainya.
Beliau juga mengingatkan kaum wanita agar tidak terpengaruh dengan dakyah dan perang saraf berhubung dengan tanggungjawab Kerajaan Negeri terhadap wanita yang disebarkan oleh parti lawan kerana dakyah tersebut hanya bertujuan untuk melemahkan semangat perjuangan dan mengalihkan kaum wanita dari menyokong Angkatan.