Justeru itu, setiap Majlis Daerah dikehendaki berhati-hati merancang dan melaksanakan projek pembangunan agar projek berkenaan berdaya maju, memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat dan tidak membazir.
Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, YB Dato’ Haji Halim Mohamed, ketika berucap di Majlis Pengakuan Penerimaan Jawatan Ahli-Ahli Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) juga menjelaskan walaupun Kerajaan Negeri tidak ada kemampuan kewangan yang tinggi untuk melaksanakan projek pembangunan yang besar tetapi Kerajaan Negeri tidak mengabaikan projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.
Beliau juga menggesa Majlis-Majlis Daerah agar merancang projek pembangunan dan keindahan untuk faedah rakyat secara berdikari dengan mengumpulkan sumber kewangan sendiri dari hasil cukai dan pelbagai hasil lain, manakala Ahli-Ahli Majlis perlu merancang bagi mendapatkan sumber kewangan Majlis Daerah bagi melaksanakan projek pembangunan yang dirancangkan.
Dalam majlis tersebut juga, beliau menyampaikan peruntukan RM150,000 kepada Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) bagi projek jalan raya dan keindahan bandar.