Umur adalah anugerah Allah yang pada sifat-Nya "maha menghidup dan mematikan" sekalian makhluk. Rasa syukur dan terima kasih kepada-Nya hendaklah diluahkan dengan penuh kesedaran di samping menghisab (muhasabah) diri dan hati kecil kita - ‘sepanjang usiaku ini, apa yang telah aku gunakan umur muda ku ini.’
Meskipun apa yang para remaja sekalian memanfaatkan umur muda, sewajarnya tidak lupa kepada matlamat dan cita-cita masa depan kita. Menurut lumrah ciptaan Allah, para remaja mempunyai waktu yang panjang untuk hidup di dunia yang sementara (fana) ini. Oleh itu, pastikan perjalanan umur itu mendatangkan keuntungan masa depan.
Apa yang saya ingin utarakan ialah betapa ketika ini ramai remaja menghabiskan usia mudanya dengan terlibat dalam pelbagai kegiatan yang merugikan masa depan dan merosakkan perkembangan minda.
Antara kegiatan itu ialah terlibat dengan gejala keruntuhan moral dan salah laku seperti amalan merokok, ketagih dadah, pergaulan bebas dan seumpamanya. Penglibatan dalam perkara ini pasti berbahaya kepada kesihatan, membawa kepada tabiat buruk tanpa batasan agama dan bersifat kebarat-baratan; jika berterusan begini, remaja dengan sendiri terasuh bertindak liar dan rakus yang memungkinkan perancangan hidup terumbang-ambing dan kecewa di kemudian hari.
Misalnya seorang yang sejak belasan tahun terlibat dengan ketagihan dadah, setelah menjangkau umur 40-an jasadnya tak bermaya untuk hidup seperti insan biasa. Fizikalnya lemah dan mindanya buntu lantaran dikuasai oleh ketagihan dadah. Dia akan bersabung nyawa untuk hidup - mengharapkan dadah, dan hidupnya sudah tidak bererti lagi kecuali kematian sedia menunggu. Betapa dia terpaksa membelanja antara RM30 hingga RM50 sehari bagi mendapat bekalan dadah. Dari mana punca wang itu, kalau tidak dengan menipu dan memaksa ibu bapa atau ahli keluarganya atau juga mungkin dengan menipu dan mencuri hak orang lain. Bayangkanlah, betapa teruknya kehidupan sedemikian - bahagia melepas malah kerugian dan maut mengiringi kehidupannya.
Sama-samalah kita berdoa agar kita semua bebas daripada kehidupan yang merugikan di dunia dan di akhirat. Semoga Allah mengurniakan kehidupan yang sempurna dan diredai-Nya. Inilah azam baru kita.