Perasmian penubuhan telah dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat pada 23 Muharam 1415 bersamaan 3 Julai 1994 bersempena dengan perayaan Hari Yayasan Islam Kelantan dan pada hari yang sama bermulanya minggu orientasi atau dikenali sebagai minggu ukhuwwah Islamiah bagi pelajar pertamanya.
Objektif dan matlamat kerajaan Negeri menubuh Maahad al-Dakwah ialah
(1) bagi melengkap dan memberi peluang kepada pelajar lepas sekolah agama
(Arab) supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi; (2) melengkapkan pelajar yang berdisiplin keIslaman dengan pengetahuan
yang tinggi dalam bidang akidah dan syariat Islam; (3) melahirkan generasi
muslim yang aktif dan mampu menyebarkan Islam menurut al-Quran dan al-Sunnah;
(4) melahirkan pemimpin dan pendakwah yang mahir dan terlatih.
Sehingga kini terdapat empat orang kakitangan pentadbiran dan tiga
orang kakitangan akedemik tetap dan 11 orang kakitangan yang bertaraf sambilan,
bertanggungjawab menggerakkan sesi pengajian.
Pengetuanya ialah Ustaz Haji Hassan Mat Leh, seorang yang berpengalaman di bidang pendidikan kerana beliau merupakan bekas pensyarah Akedemi Islam Universiti Malaya.
Tempoh kursus ialah selama 6 semester. Kursus-kursus utama yang diajar di Maahad al-Dakwah ini adalah terdiri daripada Akidah Islam, Sejarah Islam, Mantik, bahasa Arab, bahasa Inggeris dan bahasa Cina. Di samping itu, para pelajar juga diberi pilihan untuk mengikuti kursus keterampilan seperti jahitan dan komputer. Bagi mempastikan setiap pelajar mampu menjadi seorang pendakwah di dalam masyarakat, kegiatan luar telah menjadi satu kursus yang mesti diikuti di setiap semester pengajian. Kegiatan luar utama ialah bacaan dan hafiz al-Quran serta berkhutbah. dalam pada itu juga, setiap pelajar akan didedahkan dengan bidang penulisan atau kewartawanan.
Semua pelajar yang mengikuti kursus-kursus tersebut akan dianugerahkan Sijil Tertinggi Dakwah. Dengan lulusnya pengajian di Maahad al-Dakwah ini, insya’ Allah mereka menjadi pendakwah Islam yang bertanggungjawab kepada Allah di samping mempunyai daya keusahawanan yang boleh berdikari dalam masyarakat.
Kepada sesiapa yang berminat mengikuti kursus Sijil Tertinggi Dakwah mereka hendaklah memenuhi syarat iaitu lulus SPM dengan kepujian bahasa Melayu, lulus STU atau Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) dan juga lulus ujian lisan dan bertulis kemasukan. Untuk keterangan lanjut, mereka juga boleh menghubungi terus Pendaftar, Maahad al-Dakwah waal-Imamah, Petyi Surat 248, Nilam Puri, 15730 Kota Bharu Kelantan Darulnaim; atau melalui telefon 09-7127808.